KANAK-KANAK akan melalui proses perkembangan semula jadi. Mereka akan memperoleh kebolehan membuat sesuatu perkara apabila mereka mula membesar.

Perkembangan itu terbahagi kepada empat domain iaitu pergerakan motor kasar, penglihatan dan pergerakan motor halus, pendengaran dan percakapan, dan psikososial. Kebolehan yang dinilai bergantung pada peringkat umur.

Semakin dewasa kanak-kanak itu, semakin banyak kebolehannya. Perkembangan ini dipengaruhi faktor genetik, sistem saraf, kesihatan fizikal, faktor persekitaran dan emosi.

Mengulas mengenai situasi itu, Pakar Kanak-Kanak merangkap Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan berkata, carta perkembangan normal (atau developmental milestones) tertera di dalam buku imunisasi kanak-kanak atau boleh dicari atas talian.

Jika ibu bapa curiga dengan perkembangan anak masing-masing, sila rujuk ke doktor untuk pemeriksaan lanjut.

“Ketika berjumpa doktor untuk pemeriksaan rutin dan imunisasi, doktor akan menilai sama ada perkembangan bayi itu normal atau lambat.

“Perkembangan ini bermula sejak lahir dan dipantau sehingga mereka berumur lima tahun. Masalah intelektual ialah terma yang digunakan apabila kanak-kanak lebih lima tahun mempunyai pemikiran dan pemahaman yang tidak normal,” ujarnya.

Perkembangan lambat boleh bermula sejak lahir lagi. Kadangkala perkembangan lambat sedikit sahaja.
Maka doktor akan suruh ibu bapa membawa kanak-kanak itu semula untuk berjumpa dengannya apabila dia sudah sedikit membesar.

Doktor akan melihat tanda-tanda amaran utama iaitu:
1. Ukur lilit kepala membesar terlalu cepat atau terlalu lambat.
2. Refleks saraf primitif (seperti refleks menggenggam jari) yang kekal melebihi umur enam bulan.
3. Tiada respon terhadap persekitaran atau ibu bapa pada umur 12 bulan.
4. Tidak berjalan pada umur 18 bulan.
5. Tidak mempunyai sepatah dua perkataan jelas pada umur 18 bulan.
6. Tidak mampu membuat ayat mengandungi dua patah perkataan (seperti ‘nak air’) pada umur dua tahun.
7. Masalah interaksi sosial pada umur tiga tahun.
8. Kecacatan fizikal atau muka mempunyai ciri-ciri sindrom.

Apabila punca perkembangan lambat sudah dikenal pasti dan dirawat, perkembangan kanak-kanak akan mula pulih.

Iklan

Harus ingat bahawa ada sesetengah masalah boleh dirawat (seperti kegagalan jantung, masalah metabolik, masalah pendengaran), dan ada sesetengah masalah yang tidak boleh dirawat (seperti otak tidak membentuk dengan baik, otot distrofi).

Secara umumnya, selagi punca utama perkembangan lambat masih disiasat, kanak-kanak akan dirujuk ke jurupulih fisioterapi dan carakerja untuk melatih otot-otot motor kasar dan halus.

Iklan

Kadangkala kanak-kanak memerlukan bantuan peralatan untuk terapi.

Bagi masalah lambat bercakap, kanak-kanak akan dirujuk ke jurupulih percakapan untuk melatih tumpuan dan percakapan.

Oleh itu, jika ibu bapa merasakan perkembangan anak kecil agak lambat, segeralah dapatkan nasihat pakar bagi mengetahui kondisi terkini si manja anda. Moga bermanfaat.