KUIH penjaram merupakan salah satu kuih klasik yang masih dijual di merata-rata tempat terutama di Sarawak dan Sabah.

Di Indonesia juga, menu berkenaan mudah didapati di pasar-pasar termasuk di warung tepi jalan. Di Jogjakarta misalnya, saiz kuih yang dijual agak kecil, tidak seperti di Malaysia.

Sebenarnya selain dipanggil sebagai penjaram, sajian tersebut turut dikenali dengan nama lain seperti penyaram, pinjaram, cucur jawa atau cucur gula merah.

Kepada generasi sekarang, mereka menggelarkannya sebagai kuih UFO atau Mexican Hats disebabkan bentuknya yang nampak seperti topi.

Salah seorang pembikin kuih berkenaan, Hasnah Aripuddin berkata, lazimnya kudapan berkenaan akan disajikan tatkala meraikan majlis keramaian seperti kenduri kahwin di negeri kelahirannya, Sabah.

Hasnah Aripuddin.

Beritahu Hasnah, bahan-bahan untuk membuat kuih itu agak mudah iaitu hanya memerlukan tepung beras, gula merah dan sedikit air sahaja.

Kata beliau, kuih penjaram sememangnya tidak mempunyai sebarang acuan khusus untuk membentuknya.

“Bentuk topi itu terjadi secara semula jadi setelah adunan dibiarkan semalaman sebelum digoreng,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Namun, syarat lain yang perlu dipatuhi adalah kawalan api yang sederhana ketika menggoreng, selain menggunakan hanya satu sudu minyak.

“Biasanya satu sudu minyak besar boleh menggoreng sekitar lima hingga enam biji kuih penjaram. Itu sahaja petua yang wajib diikuti bagi memastikan bentuknya seragam. Jadi, memang tak guna sebarang alat bantuan pun, tetapi bergantung kepada teknik ketika menggoreng,” ujarnya yang mempelajari kulinari turun-temurun itu daripada ibunya, Nur Salmah Mado sejak kecil lagi.

Hasnah yang turut berniaga kuih penjaram secara kecil-kecilan berkata, lazimnya kuih berkenaan berwarna coklat disebabkan penggunaan gula merah.

Baca juga: Kuih Serunai, pilihan petang Pantai Timur, renyah nak buat tapi sedap

Pun demikian, bagi mengikuti cita rasa pelanggan yang pelbagai, beliau telah memvariasikan warna kepada warna hijau dan ungu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Iklan

“Warna hijau saya ekstrak menggunakan daun pandan, sementara warna ungu diperoleh daripada keladi. Kesedapannya tetap terserlah seperti kuih penjaram yang asli,” ujarnya.

PROFIL

  • Nama: Hasnah Aripuddin
  • Umur: 28 tahun
  • Asal: Tawau, Sabah
  • Menetap: Pitas, Sabah
  • Facebook: Fiqriana Ana

RESIPI KUIH PENJARAM

Iklan

Bahan-bahan

  • 1 mangkuk gula pasir
  • 1 mangkuk tepung beras
  • 1 mangkuk setengah tepung gandum
  • 1 sudu teh garam
  • 1 mangkuk setengah air
  • Gula merah, pewarna pandan dan keladi

Cara penyediaan:

  1. Masakkan gula dengan menggunakan api sederhana sehingga menjadi keperangan.
  2. Kemudian, pastikan gula dikacau tanpa henti agar tidak hangus.
  3. Selepas itu, seusai menjadi karamel, tuang air secara perlahan-lahan dan kacau sehingga adunan menjadi cair.
  4. Pastikan adunan tersebut sejuk terlebih dahulu sebelum dituang ke dalam adunan utama iaitu tepung gandum, tepung beras dan garam.
  5. Jika adunan pekat, boleh ditambah sedikit air sehingga teksturnya cantik (tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat), kemudian titiskan pewarna yang menjadi pilihan.
  6. Masukkan adunan ke dalam bekas dan biarkan semalaman sebelum goreng.

Sumber: Hasnah Aripuddin

Jangan lupa follow kami di Instagram!