BARANGKALI di Malaysia tidak seperti penduduk di Amerika Syarikat atau Australia yang menjadi kopi sebagai suntikan energi mereka sepanjang hari.

Sama ada kopi baik untuk kesihatan atau sebaliknya, sebenarnya terlalu subjektif kerana pelbagai teori yang dibangkitkan.

Namun demikian, ibu bapa kena cakna bahawa kopi tidak bagus untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut portal kesihatan antarabangsa healthline.com, kopi adalah satu bentuk ‘ketagihan’.

“Kopi mengandungi kafein yang merupakan perangsang. Di Amerika Syarikat, ia ‘sangat pelik’ untuk memberi minuman berkafein kepada anak-anak.

“Di Kanada pula, pengambilan kafein mempunyai had maksimum iaitu 45 miligram sahaja dalam sehari,” kata laman web kesihatan berkenaan.

Mengapa kopi tidak bagus untuk kanak-kanak? Berikut penjelasan seperti yang dikongsi laman web hellodoktor.com:

1. Mempengaruhi pembentukan kaviti.

Minum kopi dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan kaviti pada gigi kanak-kanak akibat daripada tahap keasidan kopi tersebut.

Ia kerana gigi kanak-kanak adalah lemah berbanding dengan gigi individu dewasa.

Pada masa sama, asid pada kopi lebih mudah untuk merosakkan enamel gigi dan sekali gus akan meningkatkan risiko berlakunya kaviti.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang mengambil minuman tersebut akan lebih cenderung menghidapi masalah kesihatan oral seperti kaviti dan kehilangan enamel berbanding individu dewasa.

2. Menjadi hiperaktif.

Kopi akan menyebabkan anak kecil menjadi hiperaktif.

Selain itu, kanak-kanak yang minum kopi akan berhadapan masalah dalam memberi penumpuan (fokus) dan sering alami kegelisahan.

Ketahuilah, kesan kafein daripada kopi akan bertahan berjam-jam lamanya.

Oleh itu, ia menyebabkan kanak-kanak yang minum kopi ketika berada di sekolah akan mengalami kesan negatif terhadap pembelajarannya.

3. Punca insomnia.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun memerlukan sekurang-kurangnya 11 jam sehari untuk tidur.

Namun demikian, tidak ramai kanak-kanak mendapat masa tidur secukupnya akibat kepadatan jadual seharian mereka.

Perkara berkenaan akan mengundang gejala kurang tidur.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan kafein oleh kanak-kanak yang mengalami kecelaruan keresahan hanya akan menyebabkannya menjadi lebih teruk.

4. Hilang selera makan.

Perlu diketahui bahawa otak kanak-kanak sebenarnya jauh lebih sensitif terhadap kafein berbanding otak individu dewasa.

Iklan

Kafein akan bertindak balas dengan sistem saraf pusat lalu menyebabkan kehilangan selera makan.

Sekiranya mereka sudah mula ketagih kafein pada usia remaja mereka lagi, ini mungkin akan menjejaskan tumbesaran mereka kelak.

5. Punca tekanan darah menjadi tinggi.

Kafein yang terkandung dalam kopi akan menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Pastinya, jika diambil pada amaun yang sedikit, kopi dapat meningkatkan daya tumpuan.

Sebaliknya, jika diambil terlebih banyak, kafein akan menyebabkan ketegangan, kegelisahan, pening kepala dan peningkatan tekanan darah.

Artikel berkaitan: Berita baik buat penggemar kopi, boleh bantu cegah gout terutama lelaki

6. Tulang kanak-kanak merosot.

Iklan

Penting untuk kita tahu, minum berkafein tidak mempunyai sebarang kalori yang mendatangkan apa-apa nutrien.

Kanak-kanak yang minum kopi tidak akan mendapat vitamin dan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran mereka, lalu menyebabkan mereka lebih berisiko mengalami kondisi kekurangan nutrien.

Bukan itu sahaja, kopi juga bersifat diuretik yang bermaksud kopi akan melajukan proses urinasi yang mana akan menyebabkan kehilangan kalsium daripada badan yang akan menyebabkan kemerosotan pada tulang.

Walaupun tidak terdapatnya larangan terhadap pengambilan kopi, ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengawal pengambilan kopi oleh anak-anak.

Bagi individu dewasa pula, pengambilan kafein dihadkan kepada 200 ke 300 miligram sahaja dalam sehari.

Bagi kanak-kanak pula, separuh daripada jumlah pengambilan kafein individu dewasa juga sudah memadai buat mereka.

Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam mengawal jenis pemakanan yang diambil oleh anak-anak agar dapat memupuk kesihatan ahli keluarga yang lebih baik dan terjamin.