Air masuk dalam telinga ketika mandi-manda. Ini tindakan segera yang perlu anda lakukan
SUASANA selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan sudah berubah.
Kini, ramai yang akan membawa keluarga pergi bercuti sama ada di hotel mahupun di tepi pantai, sungai atau air terjun.
Pastinya, mandi-manda akan menjadi agenda utama buat seisi keluarga.
Pun demikian, kadangkala aktiviti itu boleh menyebabkan air masuk ke dalam telinga dan tersumbat.
Kesannya, keadaan tersebut akan memberikan rasa tidak selesa, sama ada dalam kalangan orang dewasa atau kanak-kanak.
Lebih parah, menurut Facebook Medical Mythbusters Malaysia, jika dibiarkan begitu sahaja, ia akan menerbitkan rasa tidak selesa.
"Jika dibiarkan air tersebut berada lama dalam telinga boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman (otitis externa).
"Selain itu, jika dikorek telinga dengan jari atau apa-apa alatan boleh menyebabkan luka dan membawa kepada lebih risiko jangkitan kuman," terang mereka.
Oleh itu, bagaimana hendak keluarkan air yang tersumbat dalam telinga ini?
Antara yang boleh dilakukan dan harus dielakkan adalah seperti:
i) Keringkan bahagian luar telinga dengan kain.
ii) Elak memasukkan kain atau kapas ke dalam lubang telinga.
iii) Sengetkan atau telengkan kepala, tekap tapak tangan pada cuping telinga dan kemudian tarik tangan dengan pantas. Lakukan beberapa kali sehingga air yang tersumbat keluar daripada telinga.
iv) Sengetkan kepala dan tarik cuping telinga agar laluan lubang telinga menjadi lurus dan memudahkan air yang tersumbat keluar.
v) Boleh juga menggunakan alat pengering rambut. Setkan pengering rambut kepada kepanasan paling rendah dan halakan kepada telinga. Pastikan jarak jauh daripada telinga (lebih kurang sekaki).
vi) Elakkan menjolok lubang telinga dengan jari atau kuku, kapas pengorek telinga atau apa-apa alatan tajam mahupun tumpul untuk elak risiko kecerderaan dan terkena gegendang telinga.
Sekiranya berlaku jangkitan dalam telinga pula, orang ramai akan mengalami beberapa gejala antaranya:
- Kegatalan dalam telinga.
- Kemerahan dalam laluan lubang teliga.
- Rasa sakit dan tidak selesa. Rasa sakit ini akan lebih ketara apabila bahagian luar telinga disentuh.
- Terdapat cecair jenih dan tidak berbau keluar daripada telinga.
Jadi, sekiranya para pembaca mengalami gejala tersebut, rujuk doktor untuk mendapatkan rawatan dan preskripsi ubat titis telinga yang sesuai bagi mengatasi masalah jangkitan kuman yang berlaku.
Baca juga: Awas! 4 perkara yang biasa dilakukan boleh menyebabkan telinga pekak
Semoga informasi berkenaan memberi bermanfaat kepada semua pembaca SinarPlus.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang