ANAK sudah kenal mana mata, hidung atau telinga? Belum doktor. Saya tidak pernah ajar lagi.”

Itu antara intipati perbualan antara Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor, Dr Redza Zainol dengan ibu bapa yang kadangkala terlepas pandang untuk mengajar anak mereka mengenali bahagian anggota badan.

Dr Redza Zainol.

Dalam hal itu, Dr Redza berkata, walaupun masih kecil, si kecil sebenarnya sudah mula meneroka tubuh badannya sendiri.

“Jika ibu bapa di luar sana perasan, ketika bermain, mereka akan sengaja sentuhkan jari, kepala, tangan atau kaki pada mainan dan permukaan lain.

“Tujuan mereka membuat tindakan itu bagi mengenal tubuh badannya sendiri. Inilah yang dipanggil sebagai ‘body mapping’,” tulis beliau di Facebook miliknya.

Ujarnya, pada usia 18 bulan, anak kecil sudah mengenali beberapa (dua hingga tiga) anggota badan.

“Pada usia 24 bulan pula, mereka akan kenal hingga enam anggota badan jika kita rajin mengajar mereka,” tambah beliau.

Oleh itu, ibu bapa boleh mengajar anak tentang empat asas untuk melindungi diri sendiri.

Berikut perincian yang dikongsikan oleh Dr Redza:

i) Ajarkan sebutan yang betul bagi anggota badan sulit kanak-kanak.

  • Untuk lelaki sebutan yang betul adalah zakar atau penis.
  • Bagi perempuan pula, ajarkan perkataan faraj atau vagina.

ii) Didik anak kecil empat titik tubuh badan yang tidak boleh disentuh, diraba atau dipegang oleh sesiapa pun sama ada dikenali atau tidak.

Iklan
  • Empat titik tubuh badan itu ialah bibir, dada, faraj dan dubur.

iii) Ajar juga anak untuk katakan ‘TIDAK BOLEH’ dan beritahu ibu ayah jika empat titik tersebut disentuh oleh orang lain.

  • Mereka boleh jerit, lari dan melawan.
  • Latih anak untuk berani bersuara.

Iklan

iv) Ajarkan pada anak lelaki yang mereka tidak boleh sentuh perempuan lain termasuklah adik sendiri di empat titik tubuh badan (private part) tadi.

Baca juga: 3 sebab ibu bapa dilarang cium mulut anak walaupun mereka masih kecil

“Ingat, jangan ambil mudah. Semua ilmu ini perlu diberikan pada anak kecil masing-masing,” pesannya.