ARIFFIN MAMAT merupakan salah seorang bekas pesakit Covid-19 yang baru pulih. Bukan mudah untuknya menghadapi ujian itu.

Selama 10 hari ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, Ariffin yang juga Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia tidak menafikan, sifat positif sememangnya perlu ada dalam diri demi melawan virus maut tersebut.

Ariffin turut berkongsi amalan yang dilakukannya sepanjang isolasi iaitu bersenam setiap hari dan mengamalkan vitamin C termasuklah mengambil habbatus sauda yang merupakan makanan sunnah.

Makanan itulah, kongsinya, antara yang membantu dirinya kembali sihat.

Bagi umat Islam, sunnah adalah apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan mahupun pengakuan baginda, dan ia hendaklah diikuti.

Makanan sunnah yang dikaitkan dengan penyembuhan penyakit sentiasa bermain di bibir masyarakat.

Biarpun demikian, apakah definisi sebenar makanan sunnah? Benarkah dari sudut sains perubatan, ia mampu merawat penyakit?

Berkisar persoalan bersarang di minda itu, Sinar Plus mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali.

DR Mohamad Suaidi.

Bukan rawatan utama Makanan sunnah yang lazim didengar termasuklah kurma, buah tin dan delima.

Ia juga boleh didapati dalam bentuk cecair seperti jus, minyak zaitun dan madu. Dr Mohamad Suaidi tidak menafikan, kajian menunjukkan makanan seumpama itu mempunyai khasiat yang baik.

“Bagaimanapun, harus diingat bahawa makanan sedemikian bukanlah untuk digunakan sebagai kaedah rawatan utama kepada sesuatu penyakit.

“Misalnya, kurma mempunyai kadar gula yang tinggi. Jika diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan paras gula dalam darah meningkat,“ katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Selain itu, menurut beliau, buah-buahan kering yang diproses agar tahan lama pula secara umumnya mengandungi kadar garam potasium (kalium) yang tinggi sekali gus boleh membahayakan pesakit yang menghidap masalah kegagalan buah pinggang atau rentak jantung tidak sekata.

Bagaimana pula habbatus sauda seperti yang diamalkan oleh Ariffin yang dikatakan membantu beliau sembuh? Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan seperti rumput kecil.

Batangnya tinggi sehingga setengah hasta. Ia mengeluarkan bunga berwarna biru yang di dalamnya terdapat biji hitam. Itulah yang dipanggil habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa atau black cumin.

Dr Mohamad Suaidi tidak menafikan, ia antara makanan sunnah yang sering diamalkan. Habbatus sauda diibaratkan superfood dalam suplemen, namun ia tidak digunakan untuk rawatan yang khusus.

“Sepatutnya apa yang menjadi keutamaan kepada masyarakat bukanlah makanan sunnah, tetapi pemakanan sunnah.

“Pemakanan sunnah adalah kaedah atau cara makan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW,“ terang Dr Mohamad Suaidi.

Antara tabiat pemakanan yang disyorkan sejak dahulu lagi menurut beliau adalah seperti berikut:

  1. Berhenti sebelum kenyang
  2. Makan dengan perlahan
  3. Kunyah sehingga hancur
  4. Banyakkan berpuasa

“Itulah pemakanan sunnah yang sepatutnya menjadi ikutan dan panduan dalam menjaga kesihatan diri,“ katanya.

Ironinya, menurut Dr Mohamad Suaidi, masyarakat hari ini lebih mementingkan apa yang dimakan berbanding kaedah pemakanan itu sendiri.

“Makan kurma sampai habis sekotak, makan kambing sekali hadap setalam. Itu bukan sunnah, itu hendak ‘bunuh diri‘ namanya. “Seperkara lagi, lebih baik jika mengambil makanan yang asli.

Contohnya, kurma segar dan delima asli, tidak perlu ditambah gula seperti dalam jus,“ katanya.

Beliau turut melahirkan kekhuatiran apabila makanan dan minuman berkenaan dicampurkan semua dalam satu. Hal itu, menurutnya, berkemungkinan boleh merosakkan buah pinggang dan hati.

“Lebih baik ambil makanan dan minuman yang asli tanpa sebarang campuran,“ kata Dr Mohamad Suaidi.

Terpengaruh Sikap masyarakat yang gemar mengambil mudah menyebabkan mereka senang terpengaruh dengan produk yang dijual atas nama makanan sunnah.

Menurutnya, taktik itu juga menyebabkan ramai yang terpedaya biarpun ada antara dakwaan tentang khasiat makanan itu langsung tidak masuk akal.

Akhir-akhirnya ini pula, kata beliau, ada penjual yang mempromosikan ‘produk sunnah‘ yang didakwa dapat menyembuh bermacam-macam penyakit.

“Terbaharu, ada yang menyatakan makanan itu mampu menyembuhkan penyakit Covid-19, padahal tiada kajian atau asas yang kukuh mengenai dakwaan itu,“ tegasnya.

Menurut Dr Mohamad Suaidi, sesetengah makanan sunnah yang dijual hari ini mengandungi campuran kimia yang dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan.

“Tidak dinafikan banyak ‘produk sunnah‘ yang diragui keasliannya,“ terang beliau. Justeru, nasihat Dr Mohamad Suaidi, sekiranya berhadapan masalah kesihatan kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau masalah buah pinggang, dapatkan nasihat doktor yang merawat.

“Bukan semua makanan sunnah sesuai dimakan oleh semua orang. Adakalanya ia boleh memudaratkan sehingga membawa maut,“ jelasnya.

Iklan

‘Makan kurma tidak boleh sembuhkan penyakit kanser‘

Dari segi definisi, makanan sunnah sebenarnya tidak terhad kepada 21 jenis yang lazim didengari sahaja. Makanan sunnah merupakan semua jenis makanan halal yang terdapat di seluruh dunia.

Makanan tersebut haruslah mampu memberikan pelbagai khasiat dan tidak memudaratkan tubuh. Itu kata Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Mohd Hakim Zakaria.

MOHD Hakim Zakaria.

Menurut beliau, pemakanan seharian pula sebenarnya bergantung kepada makanan ruji di sesebuah negara tersebut.

“Sebagai contoh, roti merupakan sunnah kerana Rasulullah SAW tinggal di negara Arab. Roti merupakan sumber utama karbohidrat di sana.

Di Malaysia, makanan ruji harian penduduknya adalah nasi. “Begitupun, memang ada makanan yang disebut secara khusus mengandungi khasiat dan nutrisi tertentu,“ terangnya.

Secara asasnya, tiada makanan yang boleh didakwa mampu menyembuhkan apa-apa penyakit. Tiada kajian yang membuktikan bahawa ada makanan yang boleh mengubati apa-apa jenis penyakit.

Tetapi pastinya makanan sunnah ada khasiat tersendiri, bergantung kepada nutrisi di dalamnya, kata Mohd Hakim.

“Kajian yang ada mungkin fokus kepada aspek peningkatan kesihatan atau lebih kepada khasiat.

Tumpuannya adalah kepada kebaikan nutrisi-nutrisi terhadap fungsi kesihatan. “Contohnya, kurma mengandungi antioksidan yang tinggi dan bagus dalam mengurangkan risiko kanser.

Iklan

Ia membekalkan tenaga secara terus apabila berpuasa selain mampu mengelakkan berlakunya insulin spike. “Namun, kanser tidak boleh disembuhkan dengan memakan kurma,“ tegas Mohd Hakim.

Kongsinya lagi, makanan sunnah lebih sesuai dikatakan membantu dalam aspek pencegahan penyakit dan peningkatan kualiti kesihatan tanpa meninggalkan prinsip asas pemakanan iaitu kesederhanaan, keseimbangan dan kepelbagaian.

Namun begitu, ada juga kisah yang tular mengatakan terdapatnya satu produk yang menggunakan unsur makanan sunnah dapat menyembuhkan penyakit Covid-19.

“Ketahuilah, wabak penyakit itu baru sahaja dikenali pada penghujung 2019. Ubatnya masih lagi dalam kajian.

“Bagi proses peningkatan sistem pertahanan badan, disarankan mengambil makanan yang tinggi vitamin C dan selenium tapi tidaklah secara berlebihan. Juga sangat wajar memakan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan banyak,“ katanya.

Sekata dengan Dr Mohamad Suaidi, Mohd Hakim turut mengakui orang ramai sebaiknya disarankan merujuk kepada aspek pemakanan sunnah berbanding makanan sunnah.

Hal itu berdasarkan gaya pemakanan Nabi Muhammad SAW iaitu menghalalkan makanan yang baik dan melarang makanan yang tidak baik.

Dua perkara penting tentang pemakanan sunnah adalah:

  1. Makanan tersebut halal dimakan.
  2. Pastikan isian perut dengan konsep 1/3 makanan, 1/3 air dan 1/3 dibiarkan kosong untuk memastikan sistem penghadaman yang sihat.