SEBELUM ini, penulis mengandaikan pembuatan batik hanya popular di negeri Pantai Timur sahaja. Namun, ketika mengikuti lawatan ke Lahad Datu, Sabah anjuran Tourism Malaysia, persepsi itu berubah.
Kami dibawa ke bengkel Alnisya Collection (Batik Eco Print) yang terletak di Kampung Tabanak di Lahad Datu, Sabah yang diusahakan oleh Immah Pelmbang.

Ujar Immah, 54, bidang pembuatan batik mula diceburinya sejak tahun 2018. Ketika itu, beliau menggunakan teknik blok, ikatan dan celupan untuk penghasilan corak.
Setahun kemudian, wanita itu mencuba proses penghasilan batik dikenali sebagai tekapan eko yang dipelajari daripada anak angkatnya dari Indonesia.
“Pada tahun 2019, dia perkenalkan seni batik itu yang menggunakan 100 peratus bahan semula jadi. Bermula daripada mendapatkan corak, mewarna tekstil sehingga mematikan warna, semuanya menggunakan bahan semula jadi,“ ujarnya.
Melalui pendekatan itu, kata Immah, beliau dapat menghasilkan kemeja-T, selendang dan pelbagai produk lain.
Melihat potensi batik tekap boleh pergi jauh, beliau lantas membuka bengkel sendiri di depan rumah dan merancakkan bisnes tersebut bersama ahli keluarga yang lain.
“Kalau kita dengar, cuma tekap saja. Bunyinya seakan mudah dan menyeronokkan. Pun demikian, cara ketukan dan tekap ke atas helaian daun bagi mendapatkan corak aslinya bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia memerlukan penelitian dan fokus, terutama dalam mendapatkan corak dari urat daun tersebut.
“Andai ketukan terlalu kuat, warna yang diserap atas tekstil akan mengembang dan corak yang dihasilkan kurang menarik,“ kongsi wanita itu penuh kesungguhan.
View this post on Instagram
Menceritakan tentang proses bagaimana corak yang sempurna boleh dihasilkan, Immah menerangkan satu persatu.
Ujarnya, setiap daun yang digunakan perlu direndam dalam air terlebih dahulu. Kemudian, ia dikering dan diletakkan ke atas kain sebelum diketuk bagi mendapatkan corak atau paten diingini.
Setelah itu, dibiarkan kering seketika.Untuk menyiapkan sesuatu rekaan, akui pengusaha tersebut, prosesnya mengambil masa agak lama iaitu lebih kurang sebulan!
“Kita terpaksa melalui pelbagai proses bagi memastikan warna asli yang membentuk motif atas kain itu tidak luntur.
“Dari segi pemilihan daun juga, ia tidak senang. Kebiasaannya, saya hanya mengambil tiga helai daun daripada pucuk kerana di bahagian tersebut mempunyai warna yang lebih baik berbanding bahagian yang lain,“ jelas beliau yang dibantu oleh dua orang anaknya dalam perniagaan yang diusahakan itu.
Tidak hanya soal pemilihan daun, mereka juga perlu kreatif dalam memilih bahan alam semula jadi lain demi mendapatkan warna dominasi tekstil tersebut.

Sebagai contoh, kulit kayu diguna pakai kerana bahan berkenaan dikatakan mampu mengeluarkan rona yang diinginkan selepas melalui proses rebusan.
Imaginasi & eksklusif
Seni batik tekap Immah memang istimewa. Kaedah yang dipraktikkannya itu secara tidak langsung akan membuatkan produk yang dihasilkan bersifat eksklusif.
Masakan tidak, setiap desain yang dihasilkan tidak sama. Itu bermaksud, pemilikan setiap produk yang dibeli pelanggan berbeza dengan individu yang lain.
“Ini kerana bahan asal yakni daun semula jadi yang dipilih mempunyai warna yang berbeza dan setiap satunya memiliki bentuk yang unik.
Baca lagi ‘Cantiknya wet kitchen ala tepi taman.’ Ruang Dapur Memey Suhaiza curi perhatian. Kemas & kreatif!
“Antara daun yang digunakan adalah dari pokok jati, daun telang dan lain-lain.
“Namun, paling penting untuk menghasilkan batik jenis ini, kita perlu miliki kreativiti atau imaginasi tersendiri. Selain itu, kita kena bijak menyusun dan memilih daun jenis yang bagaimana untuk dijadikan motif atas kain, “ katanya.
Kepada SinarPlus, Immah meluahkan rasa syukur dan terharu kerana sambutan yang diterima untuk batik tekapan eko begitu menggalakkan.
“Alhamdulillah, sehingga kini saya tidak putus-putus menerima permintaan. Setakat ini, kami mampu menjual lebih kurang 50 helai tudung sebulan.
“Dari segi harga untuk tudung bermula RM45 sehelai. Pakaian yang sudah siap dijahit pula, saya jual pada bermula RM120 hingga RM400 sepasang,“ katanya.
Semua item daripada sentuhan hebat Alnisya Collection (Batik Eco Print) tidak hanya dipasarkan di Sabah, sebaliknya, sudahpun menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia termasuk Indonesia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.