Anak jadi antisosial akibat ibu bapa umpan dengan gajet

A
A
A

MANUSIA dan gajet bagaikan tidak dapat dipisahkan lagi pada zaman teknologi kini. Anak-anak tidak ketinggalan memanfatkan penggunaannya. Barangkali ia diberikan oleh ibu bapa sebagai teman atau hiburan harian untuk si kecil.

Seakan-akan sudah menjadi budaya, ramai juga penjaga dan ibu bapa merasakan gajet merupakan ‘benda wajib‘ untuk memujuk atau membantu mententeramkan anak mereka.

Lihat sahajalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bagi memastikan anak-anak duduk diam di rumah, apa lagi yang disogok kepada anak kalau bukan gajet atau telefon pintar.

Namun harus diingat, anak yang masih hijau itu tidak seharusnya dibiarkan bertemankan gajet tanpa kawalan.

Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Ahmad Bazli Mohamad melontarkan pandangannya mengenai perkara itu.

DR Ahmad Bazli Mohamad.

Obesiti

Mengakui kemudaratan yang timbul, Dr Bazli menyifatkan ia lebih parah jika gajet digunakan secara berlebihan dan tidak terkawal.

Masalah obesiti dan penglihatan merupakan kesan utama kepada kanak-kanak yang kurang pergerakan disebabkan banyak bertumpu kepada paparan skrin telefon pintar.

Lebih menakutkan, kongsi Dr Bazli, kajian menunjukkan penggunaan alat itu secara berlebihan boleh menyebabkan kesan negatif terhadap fizikal dan mental kanak-kanak.

Antaranya, kelewatan perkembangan pertuturan, kemahiran komunikasi dan sosial terjejas serta kurang interaksi dengan ibu bapa. Kanak-kanak juga boleh mengalami keresahan, murung, ketagihan dan lain-lain lagi.

“Kanak-kanak biasanya leka dengan  kandungan gajet yang mereka lihat. Selalunya mereka tidak menitikberatkan postur tubuh dan jarak di antara mata dengan skrin,“ jelas Dr Bazli.

Mengulas tentang gaya hidup ‘kanak-kanak gajet‘ yang kurang melakukan pergerakan, menurutnya, perkara itu pasti menyebabkan berat badan bertambah kerana kurangnya pembakaran kalori.

Seperti orang dewasa, kesan obesiti seterusnya meningkatkan risiko mendapat penyakit metabolik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Lebih memburukkan keadaan, anak yang leka bermain gajet tidak menghiraukan waktu tidur, justeru tidak mendapat rehat yang cukup.

“Lazimnya, permainan komputer lebih  melalaikan dan lebih lama masanya. Keadaan itu boleh mewujudkan sikap malas,“ terang Dr Bazli.

Disebabkan boleh menjadi ketagih, banyak masa kanak-kanak yang sepatutnya digunakan untuk mengulang kaji pelajaran diabaikan begitu sahaja.

Mereka akan terpengaruh dan lebih cenderung untuk bersosial secara maya.

“Lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat malah ketagihan hingga menjejaskan  kesihatan.

“Sedangkan pergerakan fizikal banyak manfaatnya. Selain meningkatkan kecergasan, ia membantu kanak-kanak saling berinteraksi bagi membentuk hubungan sosial yang lebih baik,“ kongsi Dr Bazli.

Akan tetapi, dalam era moden ini, adalah tidak praktikal untuk menghentikan ibu bapa dan anak-anak daripada menggunakan gajet sama sekali.

Justeru pesannya, apa yang penting adalah cuba mengurangkan kesan alat tersebut kepada anak-anak.

“Pendedahan terlalu awal dan dalam tempoh yang lama terhadap gajet akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.

“Sangat penting untuk ibu bapa menyuburkan gaya hidup yang seimbang dan sihat untuk anak-anak sejak kecil,“ ujar beliau.

Jauhi kesan buruk

Pakar Perunding Oftalmologi Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor, Dr Premadeva C Satkurunathan senada dengan Dr Bazli.

DR Premadeva C Satkurunathan.

Menurut beliau, tabiat kanak-kanak yang gemar melayari internet seperti menonton YouTube, dikhuatiri memberi kesan yang tidak baik kepada mata.

“Mata merupakan organ yang penting. Namun, trend kanak-kanak yang berhadapan masalah mata kini amat membimbangkan.

“Pada usia yang sangat muda, mereka terpaksa memakai cermin mata untuk melihat objek dengan jelas,“ katanya.

Berikut adalah panduan yang dikongsikan Dr Premadeva bagi mengelak kesan buruk kepada mata kanak-kanak:

  1. Elakkan penggunaan media berskrin seperti telefon pintar atau berbual dengan anak yang berusia kurang 18 bulan menggunakan sidang video.
  2. Ibu bapa kanak-kanak berusia antara 18 hingga 24 bulan yang ingin memperkenalkan media digital harus memilih pengaturcaraan berkualiti tinggi. Tontonlah bersama anak-anak untuk membantu mereka memahami apa yang dilihat.
  3. Bagi si kecil berumur dua hingga lima tahun, hadkan penggunaan media skrin kepada satu jam sahaja sehari. Ibu bapa juga harus membantu mereka memahami apa yang ditonton dan menyesuaikannya dengan dunia di sekeliling mereka.
  4. Untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke atas, letakkan had masa penggunaan media dan jenis media secara konsisten. Pastikan penggunaannya tidak mengganggu tidur, aktiviti fizikal dan tingkah laku lain yang penting untuk kesihatan dan tumbesaran mereka.
  5. Merancang masa bebas media seperti ketika makan malam atau semasa di dalam kenderaan. Lokasi untuk menggunakan teknologi itu hanyalah di rumah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca