'Anak saya tak sakit kronik, pergi mengejut, itu menyakitkan' – Pakai topeng 'neb' tiada oksigen, kanak-kanak 4 tahun pergi selamanya
TIADA ibu bapa yang bersedia untuk kehilangan, apatah lagi apabila segalanya berlaku dalam sekelip mata.
Muhammad Yusuf bukan kanak-kanak yang sering sakit, bukan juga pesakit kronik. Dia aktif, ceria dan penuh dengan keletah yang menceriakan suasana.
Namun, dalam satu pagi yang kelihatan biasa, segalanya berubah menjadi mimpi ngeri yang meragut nyawa seorang anak kecil tanpa amaran.
Menjawab persoalan ramai tentang punca pemergian arwah, ibu kepada Muhammad Yusuf akhirnya tampil berkongsi kronologi sebenar yang menyayat hati.
Menurutnya, Yusuf tidak pernah menghidap penyakit serius. Dia hanya mempunyai asma ringan yang tidak kronik, selain isu enzim, dan sepanjang hidupnya membesar sebagai kanak-kanak normal yang aktif, petah bercakap, gemar melukis, menyanyi serta suka bergurau, seorang anak yang ‘annoying’ dalam cara paling manis.
Pada awal pagi kejadian, Yusuf hanya mengalami selesema ringan, sesuatu yang dianggap biasa oleh keluarga.
Namun sekitar tengah hari, nenek yang menjaga Yusuf menghubungi ibunya selepas Yusuf mengadu sakit ‘tummy’, istilah yang biasa digunakannya untuk menggambarkan rasa sakit di bahagian dada.
Tanpa berlengah, ibunya meminta Yusuf segera dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan oksigen (nebulizer), memandangkan dia tidak pernah memandang ringan aduan anaknya.
Setibanya di sebuah klinik swasta berhampiran, Yusuf diberikan rawatan oksigen dan keadaannya dilihat stabil. Bacaan oksigen juga berada pada paras normal.
Namun, situasi berubah secara mendadak apabila bacaan oksigen Yusuf tiba-tiba menurun daripada 99 kepada sekitar 90 hingga 91. Ketika itu, Yusuf mula meronta, enggan memakai alat oksigen sehingga terpaksa dipakaikan secara paksa.

Tanpa sebarang petanda, Yusuf tiba-tiba pengsan dan rebah di atas riba datuknya. Nadi dan jantungnya terhenti serta-merta. Sementara menunggu ambulans tiba, Yusuf diberikan bantuan CPR di klinik.
Tempoh menunggu ambulans dirasakan terlalu lama, dan sepanjang perjalanan ke hospital, Yusuf masih tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Setibanya di hospital, pasukan perubatan meneruskan CPR selama 28 minit sebelum denyutan jantungnya berjaya dipulihkan, namun dalam keadaan yang amat lemah. Imbasan otak kemudian mengesahkan berita paling memilukan: otak Yusuf telah membengkak teruk akibat kekurangan oksigen dalam tempoh yang lama.
Bantuan pernafasan
Yusuf ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan kritikal, bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan dan ubat-ubatan.
Keesokan harinya, doktor pakar memaklumkan bahawa keadaannya semakin merosot dan tiada lagi usaha perubatan yang mampu dilakukan. Otaknya disahkan mati sepenuhnya dan tidak lagi berfungsi.
Keluarga diberikan ruang untuk memeluk, mencium dan berbicara dengan Yusuf buat kali terakhir. Detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana bila-bila masa sahaja, anak kecil itu akan pergi. Dan tepat jam 5 petang, Muhammad Yusuf menghembuskan nafas terakhirnya.
Ibu Yusuf menegaskan, perkongsian ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak. Namun sehingga kini, pihak hospital sendiri masih mencari jawapan mengapa Yusuf mengalami ‘collapse’ secara tiba-tiba, sedangkan dia bukan pesakit asma kronik.
Sebelum itu, bapa kepada Yusuf turut meluahkan kesedihan mendalam di media sosial. Punca kematian disahkan sebagai Severe Hypoxic Ischemic Encephalopathy, kerosakan otak yang sangat teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Si ayah mendakwa terdapat kecuaian di pihak klinik, termasuk kekurangan bekalan oksigen semasa rawatan nebulizer, satu perkara yang telah diakui oleh pihak terlibat.
“Yusuf tidak lagi sedar. Tidak lagi membuka mata. Tidak lagi memanggil ibu dan abah. Tidak lagi menyebut nama kakaknya,” tulis si bapa, mengenang detik-detik terakhir di sisi anaknya.

Pergi mengejut
Hampir 30 jam mereka menemani Yusuf, namun anak kecil itu seolah-olah memilih untuk pergi ketika ibu sedang menunaikan solat Asar dan bapanya keluar membeli makanan.
Tiada jeritan, tiada drama. Yusuf pergi dalam diam, sebagai anak kecil yang tidak sempat mengenal dunia terlalu lama.
“Anak saya tidak sakit kronik. Anak saya pergi secara mengejut.
"Dan itu yang paling menyakitkan,” luahnya lagi.
Bagi keluarga ini, kehilangan Yusuf bukan kehilangan biasa. Ia kehilangan yang akan terasa selamanya, di setiap sudut rumah, setiap mainan, setiap helaian baju kecil.
Namun dalam kepedihan itu, mereka percaya pada satu janji Tuhan: anak itu tidak hilang, cuma mendahului, menunggu di pintu syurga.

Muhammad Yusuf pergi tanpa sempat berdosa, tanpa sempat melawan, tanpa sempat melukakan hati sesiapa. Dia pergi sebagai anak syurga.
Al-Fatihah buat Muhammad Yusuf. Semoga ditempatkan dalam syurga tertinggi, berlari tanpa lelah, bermain tanpa sakit, dan menunggu ibu bapanya dengan senyuman yang sama seperti dahulu.
Sumber: Facebook Amir Mohd
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
