ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

BERSAMA

Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental

Hospital Kulim, Kedah

Dr Nurul Nadia Ismail

SOALAN:

DOKTOR, anak saya berumur lapan tahun seakan-akan mengalami kemurungan. Itu semua gara-gara kelas ekspres yang dilaksanakan di sekolahnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Katanya, dia tidak mampu mengikuti silibus yang diajar oleh gurunya. Apakah langkah-langkah utama yang perlu saya dan anak lakukan?

-IBU GUSAR, LIANA MOHD GHAZALI, 31, KUALA LUMPUR

JAWAPAN:

KEMURUNGAN sememangnya boleh berlaku kepada kanak- kanak seawal usia lapan tahun atau ketika berada pada tahap satu persekolahan.

Kemurungan yang dimaksudkan adalah kemurungan klinikal atau dikenali sebagai gangguan kemurungan major (MDD).

Sebenarnya, menurut Diagnostic Statistical Manual siri 5, kriteria bagi diagnosis kemurungan klinikal bagi kanak-kanak adalah sama bagi seorang dewasa iaitu berasa sedih secara berterusan selama 14 hari atau lebih pada kebanyakan masa, hilang minat  melakukan sesuatu perkara yang disukai serta gangguan makan dan tidur.

Selain itu, mereka juga akan berasa seolah-olah pergerakan menjadi lebih perlahan daripada biasa atau lebih gelisah, sukar memberikan tumpuan, cepat berasa letih atau lesu, menyalahkan diri sendiri dan berasa mudah hilang harapan.

Dalam keadaan yang teruk, kanak-kanak itu mungkin berfikir untuk membunuh diri atau mempunyai gangguan psikosis.

Bagaimanapun, kajian mendapati  kriteria kesedihan yang berpanjangan bagi kanak-kanak boleh dimanifestasikan sebagai perubahan ketara yang mendadak pada kebiasaan tingkah laku.

Iklan

Antaranya mudah meragam tanpa sebab tertentu, menjadi cepat marah atau panas baran, seringkali memberontak atau melawan. Ia bertentangan dengan kelakuan biasa seseorang kanak-kanak.

Golongan itu juga mungkin lebih banyak atau kerap melaporkan simptom somatik seperti berasa sakit perut, cepat penat, lesu, pening kepala, loya dan sebagainya.

Mereka juga akan mengasingkan diri dan menjadi lebih pendiam daripada biasa. Pencapaian pembelajaran juga akan merosot jika tidak dirawat segera.

Jika mereka mula menunjukkan tanda-tanda seperti dinyatakan, segeralah membawa mereka ke klinik kesihatan atau ke pusat kesihatan mental masyarakat (MENTARI) yang berhampiran untuk penilaian lanjut. Jika perlu rujukan, boleh merujuk kepada pakar psikiatri yang berhampiran.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa jika mendapati anak berada dalam situasi seperti itu?

Iklan

Langkah pertama dan paling penting adalah ibu bapa disaran melakukan refleksi diri terlebih dahulu agar ia tidak memberi tekanan  psikologi, emosi dan mental seterusnya meningkatkan risiko untuk mendapat kemurungan pada usia yang sangat muda.

Cara mudahnya, berhenti daripada terus memberi tekanan atau membandingkan. Cuba lihat dan kenali apakah kelebihan anak-anak dan hargailah mereka. Ajar mereka untuk  mengenali kekuatan diri sendiri. Jangan lupa, minat atau kesukaan mereka perlu diraikan.

Sebagai ibu bapa, belajarlah kemahiran keibubapaan terutamanya dalam membentuk sifat daya tahan yang tinggi khususnya semasa menghadapi situasi tidak terduga.

Sebagai contoh, jika anak-anak berbuat silap, daripada kita menumpukan kepada kesilapan mereka adalah lebih baik kita memberi mereka peluang untuk memperbaiki kesilapan tersebut dengan memberi perhatian kepada apa yang boleh dibetulkan atau dipelajari.

Selain itu, ibu bapa juga harus memberi tumpuan kepada pembentukan emosi yang positif dan stabil melalui permainan termasuk menggalakkan perbincangan serta kemahiran dalam meluahkan pemikiran.