MENJAGA bayi dan kanak-kanak  memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Apabila si comel sakit, cabarannya semakin hebat dan kadangkala akan membuatkan satu keluarga tertekan.

Tanyalah pada mana-mana ibu bapa, mereka pasti akan ‘bersilat‘ tatkala mahu memujuk anak makan ubat.

Mengulas mengenai situasi itu, Pakar Kanak-Kanak merangkap Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan berkata, jenis ubat yang perlu dimakan oleh si kecil untuk pulih daripada sakit adalah mengikut peringkat umur dan tahap perkembangan mereka.

DR Yusoff.

Katanya, ubat jenis cecair akan diberikan khusus untuk bayi sementara kanak-kanak jenis tablet atau kapsul memandangkan mereka sudah boleh menelan.

“Teknik (beri ubat) perlu betul. Bagi bayi yang berumur di bawah setahun, pemberian ubat disyorkan menggunakan picagari (tanpa jarum) dengan isi padu 3 ke 5 mililiter yang boleh didapati di farmasi atau klinik.

“Letakkan anak kita dalam posisi duduk atau atas pangkuan supaya graviti membantu mengalirkan ubat ke dalam perut. Picagari perlu melepasi gusi dan halakan ke arah dinding mulut, kemudian titiskan ubat dalam kuantiti kecil dahulu,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Namun demikian, ujar beliau, jangan sesekali memancutkan ubat dengan laju kerana dikhuatiri bayi akan terkejut menyebabkan mereka  meludahkan ubat itu keluar.

Selain itu, terdapat tip lain yang boleh dipraktikkan oleh penjaga. Antaranya, mereka boleh meniup lembut ke arah wajah bayi bagi  menarik perhatiannya ketika ubat dititiskan.

“Pipi dan dagu bayi juga boleh diusap untuk merangsangnya menelan ubat yang dikemam,” kongsinya.

Menyambung penjelasannya, beliau berkata, jika bayi mula menelan ubat atau sudah  menunjukkan perlakuan menghisap picagari, kuantiti ubat yang lebih banyak boleh diberikan.

Perut kenyang

Sekiranya bayi memuntahkan semula ubat yang ditelannya, ibu bapa jangan terlalu cemas, kata Dr Muhammad Yusoff.

“Dalam tempoh 15 hingga 30 minit tiba-tiba si kecil dilihat begitu, nasihat saya, sewajarnya dos yang diberi digantikan semula kerana hanya sedikit ubat yang sempat diserap ke dalam badan.

“Sebenarnya, keadaan itu boleh dielakkan dengan tidak memberikan ubat ketika perut bayi masih kosong,” jelasnya.

Tambah Dr Muhammad Yusoff, sesetengah ubat memerlukan si kecil berada dalam kekenyangan.

Iklan

Proses itu katanya, penting bagi membantu proses penyerapan.

Beliau turut mengingatkan, hanya ubat-ubatan tertentu boleh dicampur dengan bahan yang mesra untuk perut bayi seperti susu, jus buah-buahan atau cecair manis.

Namun, sebelum berbuat demikian, ibu bapa perlulah merujuk doktor yang merawat si kecil terlebih dahulu.

Tegas Dr Muhammad Yusoff, harus diingat bahawa interaksi ubat dengan makanan boleh mengganggu keberkesanan ubat.

“Produk tenusu yang dicampurkan dengan sesetengah ubat terutamanya antibiotik akan menghasilkan gumpalan di dalam perut dan menyukarkan penghadaman.

Iklan

“Terdapat ubat mempunyai pantang larang tersendiri seperti ubat untuk mencairkan darah (warfarin) dan makanan mengandungi vitamin K,” ungkapnya.

Sementara itu, untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur satu hingga tiga tahun, selain picagari, pemberian ubat boleh diberikan menggunakan penutup botol ubat atau sudu.

“Kanak-kanak dalam lingkungan usia itu sudah lebih bijak pilih makanan dan lebih lincah tolak ubat. Justeru dalam hal ini, ‘pencak silat’ perlu mengutamakan jurus mental daripada jurus fizikal,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Yusoff berkata, perisa ubat memainkan peranan signifikan dalam penerimaan ubat oleh bayi dan kanak-kanak.

“Kena faham, ada perisa (ubat) yang sedap, ada yang tidak. Ibu bapa disyorkan untuk merasa sedikit ubat tersebut supaya lebih memahami pilihan anak dan boleh mengikhtiarkan kombinasi terbaik ubat dengan makanan atau minuman,” sarannya.