ZON FAMILI

BERSAMA

  • Dr Muhammad Salehuddin SulaimanPakar Pediatrik, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Terengganu

SOALAN 1

DOKTOR, anak saya kini berusia dua tahun dan beliau baru sahaja mendapat adik beberapa bulan lepas. Saya sebagai ibunya mendapati sikap dan tingkah lakunya berubah apabila sering memecahkan barang-barang dan berkelakuan ganas. Doktor, apakah yang perlu saya lakukan apabila anak saya tantrum terutamanya di tempat awam?

– IBU MUDA, 28, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG.

JAWAPAN:

TERIMA kasih atas soalan yang diajukan. Puan, tantrum atau bahasa mudahnya mengamuk biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil iaitu sekitar satu hingga tiga tahun.

Kanak-kanak tersebut menzahirkan ledakan emosi (emotional outburst) sama ada dengan suara iaitu menangis dan menjerit atau dengan perbuatan atau tingkah laku seperti menendang, memecahkan barang dan mencakar.

Puan, jika anak sedang mengamuk, ia tidak bermaksud disebabkan oleh kegagalan ibu bapa, tetapi ia merupakan salah satu tahap perkembangan yang penting.

Sebenarnya, jika tantrum diurus dengan baik, ia boleh membantu kanak-kanak belajar mengawal emosi mereka.

Menjawab kepada persoalan puan, perkara yang paling penting adalah ibu bapa perlu tenang dan tidak membalas tantrum anak dengan menengking atau memukul.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Ya, senang disebut, tetapi sukar untuk dibuat, terutama sekali jika anak mengamuk di tempat awam. Jadi, ada ibu bapa yang akan mengalah dan menurut kehendak anak sahaja.

Contohnya, anak mengamuk kerana mahukan mainan, lalu ibu bapa membeli mainan tersebut untuk memujuk beliau supaya berhenti mengamuk.

Perbuatan berkenaan sebenarnya menghantar isyarat kepada anak seperti ‘jika saya mengamuk, saya akan dapat apa yang saya hajati.‘

Jadi, tantrum yang pada asalnya merupakan suatu yang berlaku tanpa sedar (involuntary) akan berubah menjadi sesuatu yang sengaja dibuat untuk mereka mendapatkan apa yang dihajati. Seterusnya, perkara yang paling penting selepas itu adalah mengesahkan emosi anak.

Ia membawa maksud ibu bapa cuba meletakkan diri dalam posisi anak, memahami dan seterusnya menamakan emosi tersebut dengan perkataan dan perbuatan.

Sebagai contoh ‘Adik marah ya?‘ atau ‘Maryam mahukan aiskrim?‘.

Pengesahan itu akan memberi isyarat bahawa ibu bapa faham apa yang mereka cuba sampaikan jika (ibu bapa) berada di pihak mereka.

Dalam situasi puan, saya berpendapat anak puan berkelakuan sedemikian kerana inginkan perhatian. Beliau mungkin berasa iri hati dan tidak dapat menterjemahkan perasaan berkenaan.

Iklan

Jika berlaku di tempat awam, puan boleh cuba beberapa perkara seperti:

  • Tarik perhatian kepada benda lain.
  • Peluk anak.
  • Bawa anak ke tempat lain contohnya ke bilik persalinan bayi atau ke dalam kereta.
  • Berkomunikasi iaitu sahkan emosi anak dan beritahu beliau bahawa puan tidak menyukai tingkah laku tersebut bukannya diri beliau.

Kanak-kanak umur 10 tahun pun masih boleh alami tantrum

SOALAN 2

Doktor, anak saya kini sering mengalami masalah tantrum terutamanya selepas mengikut kelas dalam talian. Soalan saya, mengapa anak saya berdepan dengan masalah itu? Bagaimana saya ingin membantunya doktor? Lagi satu, kebiasaannya anak akan mengalami tantrum sehingga umurnya berapa? Terima kasih doktor.

– INGIN TAHU, 31, KUALA KANGSAR, PERAK

JAWAPAN:

Tuan, pada pandangan saya, anak tuan menunjukkan perilaku sedemikian kerana kesukarannya untuk memahami atau menyiapkan tugasan, terutama apabila pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Pada hemat saya, berkemungkinan tuan boleh mencuba dengan mengesahkan terlebih dahulu emosi anak dengan menyebut ‘ayah rasa abang susah untuk faham belajar subjek matematik tadi‘ atau ‘abang susah nak siapkan kerja yang cikgu beri?‘

Iklan

Ingin saya tegaskan, ibu bapa perlu tahu punca anak alami tantrum kerana ia lebih mudah untuk dikendalikan.

Apa-apapun, saya nasihatkan agar bersabar dan sentiasa positif semasa ‘melayani‘ anak kecil yang sedang mengamuk.

Tuan, tantrum lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil, tetapi ada juga kanak-kanak yang lebih besar iaitu peringkat umur bawah 10 tahun yang masih mengalaminya.

Selalunya tantrum berlaku kerana kanak-kanak pada peringkat umur bawah dua tahun kerana mengalami masalah untuk menyampaikan perasaan mereka, terutama rasa kecewa apabila mereka tidak mendapat apa yang dihajati.

Sebaliknya, tantrum dalam kalangan kanak-kanak tiga hingga lima tahun pula terjadi apabila mereka menghadapi masalah untuk memahami sesuatu perkara atau menyiapkan kerja atau tugas.

Jangan lupa follow kami di Instagram!