Angeline Tan dinobat Saudara Baru Cemerlang Maulidur Rasul 2025, luah rasa syukur & terharu: ‘Kalau bukan sebab abang Sabri…’

No Image Caption
A
A
A

NAMA Angeline Tan mungkin tidak asing lagi dalam dunia lakonan tanah air.

Pelakon cantik yang sebelum ini sering menghiasi drama televisyen ini melakar satu lagi sejarah peribadi apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025 kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).

Mengulas pengiktirafan itu, pemilik nama Islam, Ardini Angeline Tan meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga.

No Image Caption

Bagi dirinya, penghargaan tersebut bukan sekadar anugerah biasa, tetapi simbol kekuatan dalam perjalanan hidup selepas memilih untuk memeluk agama Islam.

“Rasa syukur alhamdulillah, sangat terharu dan macam tak percaya, saya yang sangat kecil ini diberi satu anugerah yang sangat besar dan bermakna pada hari yang sangat mulia ini,” katanya penuh emosi.

Sejak mengucap dua kalimah syahadah, isteri kesayangan Sabri Yunus itu berpegang pada tekad yang jelas, mahu menyampaikan mesej Islam sebenar kepada masyarakat, khususnya bukan Muslim.

Baginya, perjalanan sebagai seorang mualaf bukan sekadar perubahan identiti, tetapi satu misi dakwah kecil yang ingin dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

“Sejak memeluk Islam, saya bertekad nak sebarkan ataupun menyampaikan erti Islam yang betul kepada bukan-Muslim,” ujarnya. 

Pada masa sama,  pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mendedikasikan anugerah tersebut buat suami dan keluarga.

No Image Caption

"Penghargaan ini bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk suami saya, abang Sabri, keluarga serta semua insan yang pernah mendoakan kebaikan buat saya.

"Kalau bukan kerana abang Sabri saya tidak akan dapat menikmati Islam ,” kongsinya lagi. 

Perkongsian itu nyata menyentuh hati ramai, terutama peminat yang selama ini mengikuti perkembangan kerjayanya.

Sebagai seorang figura seni yang dikenali ramai, langkah berani, dua tang cukup dikenali dengan watak Lucy menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih memahami nilai Islam yang syumul.

No Image Caption

Menariknya, sebelum dikenali sebagai mualaf yang aktif berkongsi sisi spiritual, Angeline terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang seni.

Lakonannya yang bersahaja dan wajah lembut menjadikan dirinya mudah diingati penonton. Kini, dia membawa aura baharu, bukan sekadar pelakon, tetapi juga seorang insan yang membawa mesej kebaikan.

Anugerah itu seolah-olah melengkapkan fasa kehidupan baharu Angeline. Dari seorang artis, kini tampil sebagai ikon yang boleh menjadi jambatan antara dunia seni dan jalan dakwah.

Majlis Anugerah Maulidur Rasul yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu dihadiri lebih 6,000 peserta dengan 119 kontinjen perarakan sejauh 1.1 kilometer. Bertemakan “Membangun Ummah MADANI”, sambutan kali ini menjadi saksi penting dalam kalender Islam negara.

Majlis penuh bersejarah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

No Image Caption

Selain Angeline, nama besar lain yang mencuri tumpuan ialah pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi kategori usahawan.

Sumber: Bernama  & Awani

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang