APABILA anak-anak diserang kudis buta, mak ayah memang pening kepala kerana bukan mudah untuk mengendalinya.

Apatah lagi, si kecil akan kerap menggaru jika mereka terasa gatal.

Kudis buta yang menjangkiti kanak-kanak biasanya berlaku pada kedua-dua belah tapak tangan, celahan jari, ketiak, kaki dan buku lali.

Baru-baru ini, Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari berkongsi mengenai kaedah terbaik menguruskan masalah anak kecil yang mempunyai masalah tersebut menerusi Facebooknya.

Dr Ahmad Luqman Bukhari.

Kata Dr Ahmad Luqman, kudis buta akan kelihatan seperti ruam-ruam kecil yang berselerak, kulit di sekeliling pun akan berubah warna menjadi kemerahan-merahan dan terdapat bahagian-bahagian tertentu yang bernanah dan berkuping.

Ujar beliau, lazimnya kutu yang bernama Sarcoptes Scabiei adalah punca kepada masalah kudis buta.

Biasanya, kutu tersebut akan hidup pada permukaan kulit.

Memberi gambaran mudah, Dr Ahmad Luqman menjelaskan, kutu betina akan ‘menjalankan tugasnya’ dengan menggorek masuk ke dalam kulit dan kemudian bertelur di kawasan tersebut.

Jika kutu-kutu itu terjatuh atas pakaian, permaidani atau cadar, kutu berkenaan boleh bertahan hidup di situ selama 3 hari tau!

“Jadi, jika ada orang lain yang tersentuh kawasan itu, habislah, senang-senang saja boleh terkena jangkitan.

“Selalunya kalau dalam satu rumah, di sekolah atau di asrama, bukan seorang sahaja yang akan terkena penyakit ini, tetapi orang lain turut sama dijangkiti,” tulis Dr Ahmad Luqman.

Oleh itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, berikut saranan beliau terutamanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil menghidap masalah kudis buta:

i) Semua ahli keluarga perlu dirawat serentak.

ii) Tidak boleh berkongsi-kongsi barangan atau pakaian untuk sementara waktu supaya orang lain tidak dijangkiti.

Iklan

iii) Semua pakaian, tuala, cadar dan sarung bantal mesti dicuci dengan air panas untuk menghapuskan kutu itu.

iv) Tilam, permaidani atau objek yang tidak boleh dibasuh dijemur terus di bawah sinaran cahaya matahari.

v) Elakkan menghantar kanak-kanak yang dijangkiti ke sekolah atau pusat asuhan selagi rawatan belum selesai kerana ia sangat mudah menjangkiti individu lain.

vi) Pastikan kuku anak sentiasa pendek agar kulit tidak calar-balar dan berdarah teruk apabila mereka menggaru.

Iklan

“Jika ada anak kecil kalian yang mengalami masalah kudis begini, segeralah membawa mereka ke fasiliti kesihatan untuk dapatkan rawatan.

“Losyen permethrin, emulsi benzyl benzoate (EBB) dan losyen lindane antara pilihan rawatan yang akan diberi. Ubat antihistamin juga akan dibekalkan untuk mengurangkan kegatalan,” beritahu Dr Ahmad Luqman.

Justeru, jika ada di antara pembaca yang berhadapan masalah itu, jangan berlengah-lengah lagi.

Segara dapatkan rawatan, insya-ALLAH, apabila kutu tersebut berjaya dihapuskan, kudis dan gatal akan sembuh.