LAZIMNYA, ibu bapa sangat susah hati apabila anak kecil mengadu sakit gigi.

Ini kerana kesakitan itu menyebabkan mereka tidak mahu makan dan asyik merengek sahaja.

Mengulas mengenainya, seorang pakar pergigian, Dr Azila Mohd Kasim berkata, ibu bapa jangan sesekali memecahkan sendiri bahagian gusi yang terdapat warna keunguan.

Dr Azila.

Biasanya bahagian itu apabila disentuh akan terasa lembut.

Situasi itu dipanggil eruption cyst atau eruption hematoma, kata pakar itu.

“Ibu bapa tidak boleh mengambil tindakan sedemikian kerana ia akan menyakitkan gigi si kecil dan lebih parah akan menyebabkan jangkitan.

“Eruption cyst atau eruption hematoma ini adalah pembengkakan kebiruan yang terjadi pada tisu lembut pada atas gigi yang akan tumbuh dan biasanya dijumpai pada kanak-kanak.

“Cecair di dalam cyst kadangkala jernih sehingga menghasilkan cyst berwarna pucat walaupun selalunya berwarna biru,” jelasnya.

Apa yang menyebabkan eruption cyst?

Menjawab kepada persoalan itu, Dr Azila memberitahu, menurut American Academy of Pediatric Dentistry (AAPD), eruption cyst terbentuk daripada pemisahan folikel gigi daripada korona gigi yang sedang tumbuh yang kemudian diisi dengan cecair.

“Apabila cairan ini adalah darah (berpunca dari trauma terhadap cyst) ia disebut eruption hematoma,” tambah beliau.

Pun demikian, eruption cyst tidak berbahaya dan kebiasaannya tidak memerlukan rawatan.

“Ia muncul dalam tempoh empat hari sebelum gigi tumbuh dan tiga hari sebaik sahaja gigi tumbuh,” ujar pakar itu.

Iklan

Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, eruption cyst akan hilang dalam beberapa hari atau minggu sebaik sahaja gigi tumbuh di atas gusi.

Selain itu, ujar Dr Azila, jika gigi tumbuh dengan perlahan atau impacted, eruption cyst boleh bertahan hingga empat bulan lamanya.

Dalam kes lain pula, sekiranya sakit berpanjangan dan sangat mengganggu penampilan, pastinya rawatan selanjutnya perlu diberikan.

“Berkisar mengenai rawatan kepada kondisi itu, ulektomi adalah pilihan terbaik.

Iklan

“Prosedur berkenaan dilakukan di bawah bius setempat (anestesia setempat), memotong bahagian gusi tersebut untuk mendedahkan dan memberi laluan kepada gigi kekal untuk tumbuh,” terang beliau lagi.

Artikel berkaitan: Ubat antibiotik jenis tetracycline, beri kesan buruk pada gigi anak-anak

Oleh yang demikian, jika anak anda hilang selera makan dan tidak mahu menyusu, sebaiknya ibu bapa memberi minuman susu dengan cara menghirup air atau meletakkan susu pada makanan bayi yang telah dihaluskan (puree).

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua ibu bapa di luar sana.