MESKI hampir sedekad single Biar Sampai Ke Bintang dendangan Asmidar sudah diperdengarkan, namun peminat bagaikan tidak boleh move on sehinggakan ada sebahagiannya mengenali wanita itu hanya dengan lagu itu.

Ironinya pemilik nama Norhasmidar Ahmad memiliki pelbagai lagu lain yang kebanyakannya diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian seperti Setelah Cinta Itu Pergi (Simpan Sedikit Rindu), Tak Sempurna Mencintaimu (Kan Ada Setia) dan Rindu Awak 200% (Sembunyi Rahsia).

Sekadar coretan ringkas agar dapat mengingatkan khalayak kepada Asmidar, bakatnya mula digali menerusi program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, sekali gus membawa pulang gelaran juara.

Tidak hanya di tanah air, bahkan Asmidar turut berusaha membina nama di negara jiran menerusi rancangan hiburan popular, D’Academy Asia musim kedua bersama dua penyanyi lain iaitu Syura Badron dan Zizi Kirana.

Kemantapan vokal anak jati Kuala Lumpur itu turut hampir memukau apabila beliau selangkah lagi untuk terpilih menjadi anak didik Biduanita Negara, Allahyarham Sharifah Aini menerusi program televisyen Mentor 5. Bagaimanapun rezeki lebih berpihak kepada Shiha Zikir ketika itu.

Cukup perkongsian mengenai kerjaya, peluang bertemu dengan tuan punya badan membuatkan penulis tertarik untuk bertanyakan tentang penjagaan kecantikan dan penampilan beliau.

Seiring masa yang silih berganti, pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu mengakui peningkatan usia membuatkannya lebih prihatin dalam soal penjagaan diri.
Ingin tahu apa agaknya kisah wanita berusia 35 tahun itu, ikuti temubual SinarPlus bersama Asmidar:

Asmidar menggunakan bahan semula jadi bagi merawat kecantikan luaran dan dalaman beliau.

SINAR PLUS (SP): Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak dijadikan sebagai punca kenaikan berat badan disebabkan ramai yang duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti fizikal. Bagi Asmidar pula bagaimana? Adakah perkara sama turut berlaku ke atas anda?

ASMIDAR: Saya ini jenis yang mudah naik berat badan. Disebabkan itu saya perlu mengawal jumlah pengambilan makanan. Jika ambil sahaja semua makanan, maknanya saya akan menjadi bola (ketawa). Paling penting kita mengenali diri sendiri dan mengetahui makanan apa yang boleh diambil atau tidak.

Saya cuba kurangkan mengambil sebarang makanan yang boleh meningkatkan berat badan seperti nasi dan makanan manis. Tidak salah jika ingin mengambilnya, tetapi perlu berpada-pada seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, suku, suku, separuh.

Selain itu, saya perbanyakkan pengambilan sayur hijau dan buah-buahan. Saya juga gantikan buah dan kekacang sebagai hidangan kudapan.

SP: Selain bercakap tentang penjagaan makanan, bagaimana pula dengan aktiviti fizikal. Apakah aktiviti yang anda gemar lakukan bagi memastikan berat dan bentuk badan ideal?

ASMIDAR: Saya suka berjoging, loncatan tali skip dan senaman kawalan berat badan. Saya hanya lakukannya di rumah. Caranya dengan mengikuti arahan video senaman di YouTube.

Boleh dikatakan saya tidak ke gimnasium untuk melakukan senaman kerana segalanya selesa dibuat di rumah saja. Secara ringkasnya, itu yang saya lakukan.

SP: Adakah anda seorang yang gemar melakukan rawatan wajah di spa atau sebarang pusat rawatan kecantikan?

Iklan

ASMIDAR: Sejujurnya saya sangat suka pergi ke pusat rawatan kecantikan. Tidak mengira sama ada untuk wajah atau urutan badan, saya tetap akan berusaha untuk meluangkan masa. Dalam tempoh sebulan atau dua minggu saya pasti akan pergi berurut dan membuat rawatan wajah.

Memandangkan usia yang semakin bertambah, badan mula menjadi mudah letih dan kulit wajah juga lebih sensitif. Disebabkan kerap melihat telefon, skrin komputer dan kurang tidur, ia menyebabkan lingkaran hitam bawah mata mudah terjadi. Disebabkan itu, saya akan memastikan waktu untuk mendapatkan rawatan kecantikan.

SP: Adakah anda seorang penggemar produk kecantikan tradisional seperti jamu atau petua orang tua seperti jus kunyit?

ASMIDAR: Pastinya suka kerana saya akan membuat bedak sejuk sendiri dengan menggunakan bahan semula jadi seperti beras. Saya juga akan merebus halia untuk dijadikan air minuman bagi membuang angin secara semula jadi.

Saya mudah menghidapi gastrik jika lewat makan dan disebabkan itu saya akan minum air rebusan halia sahaja sebagai alternatif membuang angin. Sesekali saya akan minum jus kunyit bagi menjaga kecantikan dalaman juga.

SP: Memandangkan anda seorang pensyarah dan pada masa sama sibuk dengan kerjaya seni, bagaimanakah anda membahagikan masa?

Iklan

ASMIDAR: Fokus saya adalah tanggungjawab sebagai pengajar. Oleh itu, kebanyakan masa dari hari Isnin hingga Jumaat fokus saya kepada mengejar di Aswara. Pembahagian masa antara dua kerjaya amat penting. Pihak pengurusan banyak membantu dan menguruskan jadual sekiranya ada undangan nyanyian.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI