SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA

KESERIUSAN satu-satu penyakit dapat diukur melalui kewujudan hari tertentu atau kempen kesedaran yang dilakukan saban tahun.

Pada bulan ini misalnya, manusia sejagat menyambut Hari Kanser Sedunia dengan matlamat mahukan semua individu memainkan peranan dalam mencegah dan mengawal kanser yang semakin bercambah kini. Ia juga masih mengekalkan tema I Am and I Will.

Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang sangat ditakuti kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan pesakit itu sendiri malah keluarga dan negara.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2012 hingga tahun 2016, sebanyak 11 peratus rakyat Malaysia menghidap kanser berbanding tahun 2007 hingga tahun 2011, kata Dr Noor Hisham.

Pada tahun 2018, kanser adalah penyebab kematian paling tinggi di hospital-hospital swasta dengan merekodkan 33.11 peratus dan yang ke-4 tertinggi di hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan 11.8 peratus.

Kanser paru-paru merupakan salah satu barah yang menduduki tangga ke-5 teratas di Malaysia. Mengikut rekod sahih, ia dihidapi oleh 14.6 peratus lelaki dan wanita 5.6 peratus.

Berdasarkan laporan Registri Kanser Kebangsaan Negara (2012-2016) pula, kanser jenis itu merupakan yang ketiga tertinggi di negara ini dengan 9.8 peratus selepas kanser payudara (19 peratus) dan kanser usus besar (13.5 peratus).

Bagi memperincikan lebih mendalam mengenai kanser paru-paru, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Onkologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen.

Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen.

Ujar Dr Marfu’ah, kanser jenis ini lazimnya merupakan kanser yang mana 90 peratus pesakitnya dikesan pada peringkat yang sudah teruk iaitu pada tahap 3 dan 4 (jenis sekunder atau metastasis).

“Oleh sebab itu, kadar kematian disebabkan kanser ini adalah antara yang tertinggi di Malaysia,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, orang ramai sudah terbiasa mendengar bahawa kanser paru-paru sering dikaitkan dengan tabiat merokok, namun hakikatnya ia  banyak terjadi kepada pesakit yang bukan perokok.

“Bukan sahaja melibatkan kaum Adam, ia sudah banyak menjangkiti para wanita. Ini fakta yang amat penting untuk dihebahkan kerana secara amnya masyarakat memandang kanser paru-paru lebih kerap dilihat berlaku dalam kalangan lelaki dan perokok,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, ujar Dr Marfu’ah, pesakit kanser terlebih dulu akan dikategorikan mengikut kanser itu bermula seperti pada paru-paru, payudara dan usus yang dikenali sebagai jenis primer.

“Sebaliknya, sekiranya kanser itu telah merebak ke bahagian yang lain, ia akan dikira sebagai tahap 4 dan bahagian itu dipanggil jenis sekunder atau metastasis,” ujarnya.

Beritahu Dr Marfu’ah, kanser yang ditemui pada paru-paru boleh berasal daripada paru-paru itu sendiri (kanser paru-paru primer) dan juga boleh berpunca daripada bahagian tubuh badan lain.

Memberi gambaran mudah, jika seorang pesakit kanser usus dilihat mempunyai kesan kanser paru-paru, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kanser usus primer dengan metastasis ke paru-paru.

“Ada beberapa jenis kanser yang lazimnya merebak ke bahagian paru-paru pesakit antaranya kanser payudara, kanser usus, kanser pangkal hidung, kanser buah pinggang dan sarkoma,” jelas Dr Marfu’ah.

Kanser paru-paru terbahagi engikut dua kumpulan besar bergantung kepada jenis-jenis sel iaitu:

i) Kanser paru-paru bukan sel kecil (85 ke 90 peratus) yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  • Adenokarsinoma (30 ke 40 peratus)
  • Karsinoma sel skuamosa (30 peratus)
  • Karsinoma sel besar (10 peratus)

ii) Kanser paru-paru sel kecil (10 ke 15 peratus)

  • Jenis kumpulan tersebut sangat jarang didapati, tetapi sel-sel kanser membiak sangat pantas dan telah merebak ke bahagian badan yang lain semasa didiagnos.
  • Jenis-jenis lain kanser paru-paru yang jarang ditemui adalah seperti tumor karsinoid dan limfoma.

“Kedua-dua kategori kanser paru-paru yang dinyatakan itu unik dari segi risiko, corak kanser merebak dan keserasian dengan kimoterapi dan ubat kanser yang lain.

“Kategori itu hanya dapat dilihat menerusi pemeriksaan tisu kanser melalui mikroskop. Jadi, amat penting untuk pesakit kanser paru-paru ketahui jenis kanser yang dihidapi supaya rawatan yang diberikan adalah yang paling sesuai,” ujar Dr Marfu’ah.

Gas radon

Berkenaan dengan simptom atau tanda-tanda seseorang menderita sakit kanser paru-paru, Dr Marfu’ah berkata, seseorang akan sesak nafas, batuk berdarah, pneumonia yang berulang-kali, susut berat badan tanpa sebab dan keletihan yang melampau.

“Sehingga kini, kebanyakan pesakit kanser paru-paru tidak ada simptom sehingga kanser itu mencapai tahap lanjut (serius). Oleh itu, sangatlah penting untuk pemeriksaan dan rawatan awal diberikan agar kanser tersebut dalam dikawal dan mengelak pelbagai komplikasi lain yang mungkin akan berlaku kerana kanser paru-paru bersifat agresif,” katanya sambil memberitahu, terdapat beberapa penyakit lain yang dilihat seakan-akan kanser paru-paru seperti sakit tibi.

SinarPlus juga mendapatkan perspektif Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Am, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Lily Diana Zainudin mengenai kanser yang menakutkan ini.

Dr. Lily Diana Zainudin.

Ujar Dr Lily Diana, trend peningkatan kanser paru-paru dengan tabiat merokok boleh berubah atas beberapa faktor lain.

“Kadangkala saya berjumpa dengan pesakit yang tidak merokok, tetapi sebab mereka terdedah pada faktor lain seperti mempunyai pasangan yang kuat merokok, terdedah kepada pencemaran atau bahan kimia tertentu secara berpanjangan dan lain-lain. Mereka yang berada dalam keadaan yang dinyatakan itu juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser paru-paru,” katanya.

Ujar pakar tersebut, di Amerika Syarikat, pendedahan berpanjangan terhadap gas radon merupakan faktor utama kanser paru-paru di negara tersebut bagi golongan bukan perokok.

Iklan

Gas radon adalah sejenis gas bersifat radioaktif yang tidak mempunyai warna, rasa dan bau yang terhasil oleh sumber semula jadi seperti batu, tanah dan air.

Gas tersebut tergolong dalam senarai bahan yang meninggalkan kesan karsinogenik terhadap manusia iaitu menggalakkan pertumbuhan sel kanser dalam badan.

“Sebenarnya gas radon boleh terhasil di dalam rumah kita sendiri iaitu daripada rekahan atau retakan pada dinding dan lantai. Dinding dan lantai di rumah diperbuat daripada batu-bata. Oleh yang demikian, gas radon boleh terhasil sekiranya rekahan atau retakan tersebut tidak ditampal semula,” jelas.

Dr Lily Diana menambah, dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung di negara ini, lebih ramai orang menghabiskan masa di rumah.

“Oleh sebab itu, saya sarankan supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi gas radon sukar dikesan dengan mata kasar. Sebaik-baiknya kita membuka pintu dan tingkap lebih kerap agar membolehkan aliran udara yang lebih cekap, sekali gus melepaskan gas radon yang terperangkap di dalam rumah selain memasang kipas untuk membantu pengudaraan,” katanya.

Kepada SinarPlus, beliau memberitahu, sebagai doktor, beliau juga mengurus pesakit Covid-19 di negara ini.

Katanya, dalam kebanyakan kes Covid-19, ramai pesakit telah mengalami pulmonary fibrosis atau fibrosis paru-paru iaitu kerosakan atau parut yang berlaku dalam paru-paru.

“Walaupun masih belum ada kajian saintifik yang mengkhususkan dalam topik ini memandangkan penularan wabak Covid-19 ini masih baharu, tetapi secara umumnya fibrosis paru-paru boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser paru-paru dalam jangka panjang.

“Fibrosis paru-paru yang berpanjangan akan menyukarkan paru-paru berfungsi dengan baik. Ia secara tidak langsung menyebabkan kesukaran untuk bernafas, kegagalan salah satu paru-paru akibat pneumothorax, batuk kering dan lain-lain,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Lily Diana memberitahu, rata-rata pesakit mendapat masalah kanser paru-paru secara tidak dirancang.

“Dalam pengalaman saya selama ini, sekiranya pesakit berjaya mengesan kanser paru-paru pada peringkat awal pun, selalunya ia berlaku secara kebetulan.

“Sebagai contoh, mereka perlu membuat pemeriksaan sinaran-X dada apabila mendapat pekerjaan baharu atau apabila mereka melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh setiap tahun. Sebab itu, saya menggalakkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara tahunan untuk memastikan tubuh mereka sihat,” pesannya.

Selain itu, sekiranya ada individu yang merasakan mereka berisiko tinggi untuk menghidap kanser paru-paru, segeralah datang ke hospital untuk melakukan saringan imbasan tomografi berkomputer atau CT scan untuk mengesan apa-apa petanda yang tidak normal pada paru-paru.

Hospital Pantai Kuala Lumpur katanya, turut menawarkan imbasan CT berdos rendah secara percuma setiap tahun bagi golongan yang mempunyai sejarah merokok lebih dari 20 tahun.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara hospital berkenaan dengan Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia.

ANEKDOT

FAKTA kanser paru-paru:

  • Melalui proses transformasi yang mengakibatkan sel-sel membiak luar kawalan. Sel-sel tersebut akan membentuk suatu tumbuhan atau tumor yang berlainan daripada tisu asal.
  • Tumor adalah merbahaya kerana ia menggunakan oksigen, nutrien dan ruang sel-sel sihat seterusnya merebak. Akibatnya, ia merosakkan atau mengurangkan upaya tisu berfungsi secara normal.
  • Tabiat merokok dikaitkan dengan penyebab utama kanser paru-paru iaitu hampir 90 peratus, sama ada aktif atau pasif.
  • Asap rokok mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia dan banyak daripadanya telah dikenal pasti penyebab kanser paru-paru.
  • Menghisap 20 batang rokok sehari berisiko sebanyak 20 hingga 25 kali ganda mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.
  • Apabila seseorang berhenti merokok, risiko mendapat kanser paru-paru beransur kurang.
  • Menghisap cerut dan paip juga meningkatkan risiko menghidap kanser paru-paru.

Sumber: myhealth.gov.my