KISAH malang yang melanda seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Pahang cepat menarik perhatian ramai apabila berita mengejutkan dilaporkan di dada akhbar dan media sosial.

Pelajar tingkatan empat itu bukan cedera ditumbuk hingga tubuh mengalirkan darah, tetapi beliau telah dibuli secara kejam oleh beberapa rakan sekolahnya secara berterusan pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan, mangsa didakwa telah ditampar, tudungnya ditarik, diramas, dibaling malah dipukul pada dada dan kaki oleh para pelaku.

Tidak tahan dianiayai sebegitu rupa, ibu mangsa nekad mengambil tindakan undang-undang dengan menuntut sejumlah ganti rugi am sebanyak RM1.5 juta, RM300,000 ganti rugi teladan dan RM300,000 lagi akibat penderitaan yang dialami oleh anaknya.

Ramai yang menunjukkan tanda sokongan kepada tindakan ibu mangsa selepas mengetahui anak gadis itu mengalami kemurungan dan trauma yang teruk. Memetik kata seorang warganet yang jelas menampakkan amarahnya: “Trauma merupakan penyakit yang lebih ‘berbisa’ daripada kanser, jangan biarkan pembuli-pembuli di sekolah berleluasa, segera ambil tindakan keras!”

Media massa melaporkan, sebelum kejadian buruk itu, pelajar wanita berkenaan memiliki watak yang ceria dan mesra. Namun, kini sebaliknya. Babak dirinya diperlakukan sewenang-wenang terus menghantui gadis itu.

Bahaya

American Psychological Association (APA) mendefinisikan trauma sebagai tindak balas emosi seseorang terhadap peristiwa yang sangat negatif. APA berkata, meskipun trauma merupakan reaksi normal terhadap kejadian yang mengerikan, kesannya boleh menjadi sangat teruk sehingga mengganggu kemampuan seseorang untuk menjalani kehidupan yang normal.

“Mangsa mungkin tidak bertindak balas terhadap percakapan (seperti kebiasaan) dan akan kelihatan menarik diri atau tidak hadir (dalam sesuatu perbualan).

“Kadang-kadang ahli keluarga dan famili tidak mengetahui mangsa sedang mengalami gejala trauma kerana tiada tanda-tanda ‘gangguan’ yang ditunjukkan,” kata APA menerusi laman web rasminya.

Sementara itu, laman web perubatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Medical News Today menerusi artikelnya bertajuk Apakah itu trauma? Apa yang anda perlu tahu tentangnya? berkata, seseorang yang mengalami trauma dapat merasakan pelbagai emosi baik selepas merentas satu-satu kejadian dan boleh berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

“Mereka mungkin merasa terharu, tidak berdaya, terkejut atau mengalami kesukaran untuk memproses pengalaman mereka. Ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan seseorang. Jika gejala itu berlanjutan, ia menunjukkan bahawa trauma telah berkembang menjadi gangguan kesihatan mental yang disebut gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).

Hasil kajian, terdapat beberapa jenis trauma:

Trauma akut: Ini disebabkan oleh satu kejadian tekanan atau bahaya.

Trauma kronik: Ini disebabkan oleh pendedahan berulang dan berpanjangan terhadap kejadian yang begitu tertekan. Contohnya, kes penderaan kanak-kanak, buli atau keganasan rumah tangga.

Trauma kompleks: Ini disebabkan oleh pendedahan kepada pelbagai kejadian traumatik.

Merujuk kepada kes pelajar tingkatan empat tadi, beliau tergolong dalam kes trauma kronik.

Mengulas perihal gangguan emosi itu dalam konteks tempatan, SinarPlus mewawancara Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Permai, Johor Bahru, Norhameza Ahmad Badruddin.

NORHAMEZA Ahmad Badruddin.

Norhameza berkata, trauma memang tidak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Namun begitu, pemahaman mengenai trauma dari sudut medikal, psikologikal dan sosial sangat berbeza. Perihal trauma merupakan satu  bidang yang luas untuk difahami,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, trauma dari aspek medikal merujuk kepada situasi seperti kematian sebenar atau keterancaman kepada kematian, kecederaan serius atau keganasan fizikal dan seksual.

Trauma psikologi pula merupakan perubahan emosi secara mengejut, tidak dijangka, luar biasa pada kadar yang kuat daripada satu situasi serangan atau rangkaian situasi serangan daripada luar atau kecelaruan gaya keibubapaan dan kelekatan.

Sementelah trauma dari sudut sosial pula adalah merujuk kepada peristiwa interpersonal yang berupaya mengancam perhubungan.

Sama seperti yang dinyatakan APA, Norhameza berkata, trauma adalah pengalaman individu yang merentas satu peristiwa kehidupan yang memberikan dampak yang tidak baik.

“Lazimnya, trauma akan menjejaskan emosi. Antara gejala yang mendorong mereka menjadi sebegitu dapat dilihat apabila golongan itu dirundung kemurungan, menangis secara tiba-tiba, putus asa, cemas.

“Selain itu, mereka menjadi panik secara tiba-tiba, sentiasa dalam ketakutan, tidak mampu mengawal diri, mudah berasa marah, meninggalkan rutin harian atau mengelakkan perhubungan,” jelasnya.

Bunuh diri

Sementara itu Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Rosnadia Suainbon berkata, trauma memberi kesan psikologi kepada mangsa sehingga ada yang sanggup mengambil nyawa sendiri namun ia tidaklah semudah yang disangkakan.

DR Rosnadia Suainbon.

Hal itu didorong kerana mangsa mengalami gejala dalaman (seperti kerisauan, kesedihan, ketakutan dan kemurungan) yang mendorong mereka mengambil langkah yang merapu itu.

Mereka yang trauma juga ujar Dr Rosnadia, berupaya berdepan dengan masalah gangguan makanan seperti bulimia dan aneroxia nervosa.

“Lebih membimbangkan, golongan tersebut boleh mengalami masalah psikiatri apabila mereka meningkat dewasa.

“Ia dikukuhkan lagi dengan kajian oleh Staphinki pada tahun 2014 yang mendapati bahawa remaja yang dibuli (sehingga trauma melampau) mempunyai dua hingga tiga kali berisiko mengalami masalah keresahan. Selain itu juga, mangsa akan kehilangan keyakinan diri dan kurang kepercayaan kepada orang lain,” katanya.

Kenyataan itu memang ada kebenarannya. Kisah di Chhattisgarh, Raipur, India yang berlaku pada tiga tahun lalu merupakan contoh kisah yang berakhir dengan noktah kesedihan.

Seperti yang dilaporkan Agensi, seorang remaja yang ketika itu berusia 19 tahun telah membunuh diri selepas dipaksa menyaksikan teman wanitanya dirogol dua lelaki.

Remaja itu bertindak demikian kerana trauma dan rasa bersalahnya kerana gagal menyelamatkan teman wanitanya.

Bagi menangani masalah trauma, Dr Rosnadia berkata, terdapat beberapa pendekatan atau terapi yang boleh dilakukan oleh mangsa untuk mereka kembali stabil. Antaranya:

i) Kaunseling: Ia boleh dilakukan bagi meneroka lebih lanjut masalah berkaitan dengan emosi atau stres.

ii) Kemahiran Coping: Ia digunakan untuk mengajar mangsa bagaimana berhadapan dengan tekanan sama ada dari segi luaran dan dalaman. Kaedah ini juga boleh membantu membina skil mengatasi masalah, tekanan dan emosi.

iii) Bantuan psikoterapi: Ia dapat membantu mengenali, meluah dan mengurus emosi serta mempelajari skil membina kembali keyakinan diri. Boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan.

iv) Ubat-ubatan: Boleh diberikan sekiranya mangsa mengalami kemurungan, keresahan atau penyakit berkaitan psikiatri.

Trauma sememangnya menimbulkan satu perasaan yang tidak menyenangkan. Biarkan waktu yang menyedihkan itu berlalu dan jangan izinkan kejadian lampau merosakkan masa depan kita.

ANEKDOT:

Sekiranya mengalami trauma sama ada secara fizikal, seksual atau mental, berikut beberapa tip yang boleh dipertimbangkan:

Iklan

1) Laporkan atau membuat aduan kepada individu yang boleh dipercayai

2) Elak bersendirian.

3) Amalkan gaya hidup sihat.

4) Kukuhkan perhubungan yang sihat.

5) Kepada individu yang ingin membantu, dengar dengan tenang.

6) Hulurkan sokongan agar mereka rasa disokong dan selesa.

7) Sampaikan maksud bercakap mengenai peristiwa traumatik adalah tindakan yang wajar.

8) Yakinkan bahawa mereka tidak akan dibiarkan bersendirian.

9) Bantu mereka mencari sokongan sosial dan kekuatan kendiri.

10) Sekiranya keadaan melangkau keupayaan, pastikan mereka dipujuk untuk mendapatkan rawatan profesional.

Sumber: Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Permai, Johor Bahru, Norhameza Ahmad Badruddin      

Mohon bantuan ALLAH jauhkan diri daripada bisikan syaitan

MOHON pertolongan daripada ALLAH dan tenangkan diri ketika berdepan dengan masalah trauma merupakan pendekatan terbaik untuk merawat diri.

Demikian saranan pendakwah, Ustaz Fauzi Mustafa yang mengulas mengenai masalah emosi tersebut yang melanda ramai dalam kalangan rakyat Malaysia.

Iklan
USTAZ Fauzi Mustafa.

“Itu pendekatan terbaik, berdoalah kepada ALLAH supaya dijauhkan diri daripada bisikan syaitan. Selain itu, berjumpalah dengan individu yang boleh menasihatkan mangsa dengan cara yang betul seperti kaunselor, pakar psikologi dan ustaz mahupun ustazah,” katanya.

Cara lain ujar Ustaz Fauzi adalah dengan menyibukkan diri dengan melakukan perkara berfaedah seperti menghadiri kuliah agama dan aktiviti riadah lain.

“Namun paling signifikan, basahkan lidah dan segarkan hati dengan alunan zikrullah supaya hati kekal tenang. Pada masa sama, berimanlah dengan qada dan qadar kerana setiap yang berlaku telah diatur sehabis baik oleh ALLAH.

“Eratkan juga silaturahim dengan keluarga dan bukalah hati untuk berhijrahlah kerana Nabi Muhammad SAW turut melakukan perkara yang sama apabila baginda dipulau di Mekah dan akhirnya baginda membuat keputusan untuk keluar dari situ,” katanya.

Kepada SinarPlus, beliau berkongsi pengalaman berdepan dengan mangsa trauma akibat tragedi tsunami di Kuala Muda, Kedah beberapa tahun lalu.

“Dahsyatnya trauma yang dihadapi mereka apabila apabila disebut sahaja perkataan ‘air’, semua orang yang berada di dalam dewan di sebuah sekolah di sana lari bergelimpangan,” ujarnya.

Mengimbau situasi itu, Ustaz Fauzi mengakui bukan mudah seseorang untuk melupakan kejadian buruk yang pernah direntas mangsa.

Pun demikian, beliau menasihatkan orang ramai yang berhadapan dengan kemelut seumpama itu agar kembali fokus dan rancanglah masa depan yang lebih baik.

“Jadikan kisah silam sebagai batu loncatan dan tangga untuk didaki ke peringkat lebih tinggi dan memajukan diri agar sentiasa kekal tenang dan hidup diberkati ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, pendakwah itu dengan nada tegas berkata, memilih untuk menamatkan riwayat sendiri jelas melanggar perintah agama.

Ujar beliau, dalam Islam bukan membunuh diri sahaja haram tetapi bercita-cita untuk mati kerana bala yang dihadapi juga tidak dibenarkan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya ALLAH panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.” [Riwayat al-Bukhari dan al-Nasa’i].