ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

SOALAN 1:

SEJAK akhir-akhir ini, saya kerap sesak dada dan sukar untuk bernafas secara tiba-tiba. Apakah keadaan itu dikaitkan dengan jantung atau paru-paru saya yang bermasalah? Apakah langkah pertama yang perlu saya lakukan? Mohon penjelasan daripada doktor.

INSAN GUSAR, ZAIDI MOHD NOOR, 39, Rembau, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:

KEBIASAANYA, ramai pesakit sukar membezakan di antara masalah paru-paru dan jantung memandangkan fungsinya yang saling berkait.

Namun demikian, terdapat satu simptom yang paling ketara yang menjadi petanda utama kepada kedua-dua organ berkenaan menjadi lemah iaitu sesak nafas.

Sebenarnya, sesak nafas boleh disebabkan oleh pelbagai masalah dan komplikasi kesihatan lain termasuk tindak balas terhadap alergi.

Pun demikian, lazimnya simptom itu (sesak nafas) disebabkan oleh masalah pada jantung dan paru-paru. Oleh itu, pesakit memerlukan ujian lanjutan bagi mengetahui punca sebenar dan diagnosis yang tepat boleh diketahui.

Sama seperti denyutan jantung, menarik dan menghembus nafas adalah perbuatan yang dilakukan tanpa sedar sehingga seseorang itu merasa ada sesuatu yang tidak kena.

Memandangkan sistem kedua-dua organ itu (jantung dan paru-paru) berkait rapat, salah satu daripadanya pasti memberikan kesan kepada masalah kesihatan.

Benar, sesak nafas atau dyspnea boleh disebabkan oleh masalah kardiovaskular.

Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, ketika serangan jantung atau embolisme pulmonari yang berlaku apabila darah yang terhalang bebas ke dalam urat pada bahagian kaki atau pinggul dan menuju ke dalam paru-paru.

Sesak nafas juga boleh terjadi dari semasa ke semasa. Kebiasaannya ia berlaku semasa seseorang itu melakukan aktiviti fizikal yang mana injap aorta menjadi kaku, sempit (stenosis aorta), gangguan pada degupan jantung, penyakit arteri koronari atau disebabkan oleh kegagalan jantung.

Selain mengalami sesak nafas, pesakit juga mungkin mengalami pembengkakan pada bahagian kaki, sakit dada, pening dan lesu. Apa-apa pun, mereka yang mempunyai simptom-simptom itu perlu segera mendapatkan rawatan.

Sekiranya seseorang berasa sesak nafas dan simptom itu dikaitkan dengan bahagian jantung, doktor akan melakukan ultrasound pada jantung yang dikenali sebagai echocardiogram.

Ujian ke atas morfologi injap, ujian pada ruang jantung dan kontraksi otot jantung bagi menilai fungsi jantung pesakit akan dilakukan. Sebaliknya, bagi gangguan pada denyutan jantung pula, pemantauan elektrokardiografi 24 jam yang dikenali sebagai ‘pemegang’ dapat membantu mencapai diagnosis yang lebih jelas.

Pada masa sama, ujian senaman tekanan dan pemeriksaan imbasan CT pada saluran koronari juga perlu dilakukan ke atas mereka yang disyaki mempunyai penyakit jantung koronari dengan melakukan pemeriksaan angioplasti koronari sebagai salah satu penyelesaian bagi meleraikan arteri koronari yang telah tersumbat.

BERSAMA

Pakar Kardiologi, Institut Jantung Negara

Dr Beni Isman Rusani

Jantung atau paru-paru punca sesak nafas?

SOALAN 2: Doktor, saya berusia hujung 40-an dan berada dalam peringkat menopaus. Saya sering mendengar kenyataan seorang yang di ambang menopaus berisiko mendapat penyakit jantung. Soalan saya, apa tanda-tanda awal individu seperti saya mendapat penyakit itu (jantung). Saya ingin mencegahnya sebelum menjadi bahaya.

INGIN TAHU, Radzi Mohd Noor, 39, Kuala Lumpur

JAWAPAN:

RAMAI wanita berpendapat bahawa penyakit jantung adalah penyakit kaum lelaki. Sebenarnya, ia tidak benar sama sekali.

Penyakit jantung adalah pembunuh wanita nombor satu di Malaysia.

Sebenarnya, setelah berusia 50 tahun, hampir separuh daripada semua kematian kaum wanita disebabkan oleh penyakit kardiovaskular.

Sebaik sahaja seorang wanita mencapai usia 50 tahun (kira-kira usia menopaus semula jadi), risiko penyakit jantung meningkat secara mendadak.

Iklan

Wanita yang telah melalui fasa menopaus juga mempunyai risiko yang sangat lebih tinggi.

Antaranya mereka yang mempunyai faktor risiko penyakit jantung yang lain adalah seperti:

  • Pesakit diabetes
  • Perokok
  • Pesakit darah tinggi
  • Lipoprotein berketumpatan rendah (kolesterol tidak baik) tinggi
  • Lipoprotein berketumpatan tinggi (kolesterol baik) rendah
  • Obesiti
  • Gaya hidup tidak aktif

Sejarah keluarga penyakit jantungJadi, bagaimana wanita menopaus dapat mengurangkan risiko penyakit jantung? Mudah sahaja, amalan gaya hidup sihat banyak membantu mencegah penyakit jantung!

Menggabungkan petua-petua berikut ke dalam kehidupan seharian, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung semasa dan selepas menopaus.

1. Elakkan atau berhenti merokok

Perokok mempunyai risiko dua kali ganda (atau lebih tinggi) daripada serangan jantung berbanding bukan perokok. Jauhi asap rokok kerana ia juga meningkatkan risiko penyakit jantung.

2. Mengekalkan berat badan yang sihat

Penyelidikan menunjukkan bahawa lebih berat badan menyumbang kepada permulaan penyakit jantung.

3. Bersenam sepanjang minggu

Iklan

Jantung juga seperti otot lain kerana perlu pastikan ia kuat dan sihat. Menjadi aktif atau bersenam secara teratur, sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu kerana ia membantu meningkatkan fungsi jantung mengepam darah ke seluruh badan.

4. Makan dengan baik

Ikuti diet rendah lemak tepu, rendah lemak trans dan tinggi serat, biji-bijian serta kekacang seperti kacang polong selain buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, makanan kaya folat dan soya.

5. Rawat dan kawal keadaan perubatan

Diabetes, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi adalah faktor risiko penyakit jantung yang diketahui.

BERSAMA

Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Sunway Velocity

Dr Tee Chee Hian