'Ayah sakit saraf sudah 20 tahun...,' Anak tampil idea ikat tong dram bawah katil ketika banjir, mahu bapa terlantar di katil selesa
DI tengah bencana banjir yang semakin memburuk, terutama di Pantai Timur, penduduk terjejas berusaha sedaya upaya untuk terus bertahan.
Namun, cabarannya jauh lebih berat bagi keluarga yang menjaga insan tersayang yang sakit, terutama mereka yang terlantar. Mereka bukan sahaja perlu berpindah, tetapi juga memastikan keselamatan dan keperluan ahli keluarga ini terjaga.
Dalam menempuh ujian ini, tindakan kreatif seorang pemuda, Zulkifli Che Noh yang tinggal di Kampung Chapu, Kuala Berang menyentuh hati ramai.
Demi keselesaan ayahnya yang terlantar sakit, Zulkifli mengikat tiga tong dram besi dengan menggunakan tali di bawah katil boleh laras bagi memastikan insan tersayangnya itu selamat ketika rumah mereka dinaiki air.
Lelaki berusia 37 tahun itu berkata, idea tersebut datang daripada penduduk kampung setelah ayahnya, Che Noh Che Hassan tidak mampu untuk bangun bahkan duduk sekalipun sejak awal tahun ini akibat menderita penyakit saraf
"Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lepas namun sebelum ini dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tapi tahun ini ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya mampu terlantar di atas katil,"ujarnya.
Sebelum ini, ketika banjir melanda, ayahnya akan duduk di kerusi dengan pemegang dan akan dibawa oleh dia dan penduduk kampung dan naik ke atas loteng rumah.
Namun, dengan idea baharu itu bukan sahaja memudahkan tetapi juga memberikan rasa tenang kepada mereka sekeluarga.
Zulkifli berkata, sejak minggu lalu beliau telah mencuba pelbagai kaeadah penyusunan tong dram tersebut bagi membolehkan katil ayahnya terapung di atas air dan mudah untuk dipusingkan ke arah kiblat apabila ayahnya ingin menunaikan solat.
Bagaimanapun, usahanya itu membuahkan hasil apabila katil yang telah diikat berjaya diapungkan, meskipun air naik sehingga ke paras paha. Kini ayahnya tidak perlu diangkat ke atas loteng ataupun berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Selama ini pun ayah biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikuatan keadaan kesihatannya itu.
"Jadi saya bersama ibu dan adik beradik yang lain bergilir-gilir menjaga ayah di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS,"tambahnya.
Zulkifli berkata kawasan rumahnya saban tahun dinaiki air pada musim tengkujuh ekoran terletak berhampiran sungai dan sudah lali dengan bencana tersebut sejak kecil.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang