Azura kesal rekaan diciplak, dijual pukal

Azura Mazaruddin
Azura Mazaruddin
A
A
A

Foto: Asril Aswandi

TIDAK keterlaluan penulis menyifatkan Azura Mazaruddin masih lagi pereka fesyen yang sama seperti yang dikenali sejak 12 tahun lalu. Keberanian dan kreativiti bereksperimentasi dengan variasi desain nampaknya terus mekar dalam diri anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Biarpun berdepan kehadiran barisan pereka muda dan pengusaha pakaian yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, situasi berkenaan tidak mematahkan semangat juang wanita berusia 36 tahun itu untuk mengorak langkah dalam industri fesyen tanah air.

Buktinya, sehingga hari ini, hasil koleksi busana rekaan beliau baik gaun pengantin, dres formal, gaun kembang  mahupun pakaian sedia pakai, tetap memukau mata para pencinta fesyen.

Bicara lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, kemunculan pemain baharu dalam industri sedikit pun tidak mengganggu perjalanan bisnes fesyen Azura Couture yang diusahakan sekitar tahun 2008.

Sebaliknya, beliau menyifatkan ia persaingan sihat dan pemangkin untuk dirinya menghasilkan karya terbaik.

“Namun begitu, jauh di sudut hati saya terkilan dek tindakan segelintir pengusaha pakaian yang sewenang-wenangnya menciplak rekaan kami (pereka fesyen), lalu dihasilkan secara pukal dan dijual pada harga lebih rendah menerusi laman web atau media sosial.

“Walhal, proses untuk menghasilkan satu rekaan bukan mudah kerana memerlukan ilmu, pengalaman, fokus dan ketelitian yang tinggi. Kadangkala idea berkarya timbul tanpa mengira siang ataupun malam. Bayangkan selepas bersengkang mata menghasilkan produk menepati cita rasa pengguna, alih-alih esok rekaan kita jadi ‘milik’ orang lain pula,” luah Azura ketika ditemui Sinar Plus di butik baharunya di Jalan Siti Payung 11/2K Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

azura coutureAZURA (kanan) sentiasa berusaha menghasilkan karya busana menawan demi kepuasan pelanggan.

Bagaimanapun, perasaan kesal tersebut tidak dibiarkan berpanjangan. Anak sulung daripada lima beradik itu menyifatkan masyarakat era milenium bijak menilai mana yang tulen dan tiruan.

“Pengusaha luar mungkin berjaya meniru 99 peratus desain, tetapi tidak dari segi material, perincian, kehalusan dan mutu jahitan. Pendek kata, semua orang boleh menghasilkan baju, namun untuk menjahit pakaian yang cantik dan selesa adalah sukar.

“Justeru, di Azura Couture pelanggan bukan sahaja berpeluang memiliki baju yang cantik dan elegan, bahkan terletak kemas pada badan,” tutur Azura yang menjuarai Anugerah Jarum Berlian 2003 pada usia 19 tahun.

Kemenangan tersebut sekali gus berjaya meletakkan dirinya kini  sebagai antara kumpulan pereka fesyen tempatan yang disegani dalam kalangan golongan pertengahan, atasan, ternama dan artis terkenal.

Antara selebriti yang pernah mendapatkan khidmatnya ialah Eira Syazira, Nora Danish, Nora Ariffin, Farahdhiya, Lisa Surihani, Azar Azmi dan Rita Rudaini.

azura couturePENYANYI Nora (kiri) dan artis popular seberang, Rossa antara selebriti yang menggayakan koleksi busana Azura Couture.

Signatur

Ditanya mengenai signatur rekaannya selama  berkecimpung dalam dunia fesyen, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu menjelaskan, sehingga ke hari ini beliau mengekalkan konsep anggun dan feminin.

Menurut Azura, elemen sedemikian mudah diterapkan pada apa jua fabrik dan saiz fizikal seseorang termasuk membantu menyuntik penampilan persis puteri khususnya buat wanita yang bakal bergelar ratu sehari.

“Disebabkan itu, saya suka berbincang dengan pelanggan bagi mengenal pasti personaliti mereka supaya persalinan yang digayakan kelak tampak serasi.

“Kebanyakan pelanggan mempunyai rekaan busana impian, namun kadangkala konsepnya tidak sesuai dengan pembawakan diri, warna kulit atau ukuran badan. Jadi, semasa sesi diskusi kami akan berunding sehingga mencapai kata sepakat,” jelasnya yang cenderung menggunakan fabrik krep como bagi mendapatkan siluet langsing.

ANEKDOT

Nama: Norazura Mazaruddin

Umur: 36 tahun

Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Adik-beradik: Anak sulung daripada lima beradik

Anak: Ahmad Aryan Zuhair

Suami: Ahmad Zahari

Pendidikan:Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, UiTM Shah Alam

Pencapaian:Juara Anugerah Jarum Berlian 2003, Pakaian Terbaik Anugerah Juara Lagu 2008 digayakan Nora Danish, Pakaian Terbaik ABPBH 2008 digayakan Nora Danish

Hobi: Menyanyi

Warna kegemaran: Kuning dan putih

Label: Azura Couture

Instragram: @azuracouture

Lokasi: Azura Couture Villa

No. 9, Jalan Siti Payung 11/2K

Shah Alam, Selangor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca