Bahana akibat tak makan ubat
MENGUBAH rutin pengambilan ubat disebabkan faktor tertentu penting dititikberatkan agar kesannya pada tubuh pesakit kekal efektif.
Apatah lagi buat penghidap penyakit kronik, ia tidak boleh dipandang enteng. Bagaimanapun, masih ada yang keliru dengan kaedah pengambilan ubat pada masa berpuasa.
Ada juga yang merasakan melaksanakan ibadah berpuasa itu lebih utama berbanding mengambil ubat dan tidak kurang yang beranggapan sebaliknya.
Antara kewajiban menunaikan ibadah dan keperluan mengambil ubat mengikut saranan doktor, apakah jalan terbaik untuk memenuhi kedua-duanya?
Pegawai Perubatan Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar berkata, masa pengambilan ubat makan sewaktu bulan puasa bergantung kepada dua faktor.
“Pertama, kekerapan ubat diambil sama ada sekali, dua, tiga, empat atau lima kali sehari. Kedua, sama ada ubat itu diambil sebelum atau selepas makan.
“Jika ubat itu sekali sehari, mudah sahaja. Ambil pada waktu bersahur atau berbuka. Sekiranya, ubat itu dua kali sehari, ambil pada waktu sahur dan berbuka.
“Ubat tiga kali sehari, ambil pada waktu sahur, berbuka dan juga sebelum tidur. Pastikan pengambilan ubat pada waktu sahur dan sebelum tidur dilewatkan manakala selepas berbuka diawalkan,” jelas Dr Amirul ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Begitupun, menurutnya, ubat makan empat kali sehari atau lebih, mustahil untuk diambil dan terus berpuasa. Justeru, beliau menyarankan supaya pesakit berbincang dengan doktor untuk mengetahui kesesuaian berpuasa atau menukar dengan ubat lain yang tidak perlu diambil terlalu kerap.
“Mengenai pengambilan ubat selepas atau sebelum makan pula, jika perlu diambil selepas makan, bersahur atau berbuka dahulu kemudian barulah makan ubat.
“Jika sebaliknya, berbuka sedikit dan solat dahulu. Selepas 15 ke 20 minit, barulah ambil makanan berat seperti biasa kerana ia akan membantu penyerapan ubat dengan lebih baik,” katanya.
Beliau memberi contoh ubat Gliclazide untuk rawatan kencing manis yang perlu diambil sebelum makan.
Pesakit disarankan berbuka puasa ringan dahulu, lalu diikuti dengan solat Maghrib dan barulah berbuka puasa penuh.
Ubah suai dos
Pegawai Farmasi Kementerian Kesihatan, Fahmi Hassan pula memberitahu, Islam memberi kelonggaran kepada umatnya untuk meninggalkan puasa sekiranya sakit.
Mengulas tentang pengambilan ubat makan, menurutnya, tidak semua jenis ubat perlu diubah suai dosnya semasa berpuasa.
“Lazimnya, pengubahsuaian dos hanya diperlukan bagi ubat-ubatan untuk rawatan diabetes,” jelas Fahmi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pesakit bahawa perubahan cara mengambil ubat-ubatan hanya dilakukan setelah mendapat nasihat doktor atau ahli farmasi.
Ironinya, menurut beliau, ada segelintir pesakit yang mengubah suai cara pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa tanpa merujuk kepada pakar.
Lebih teruk, sesetengahnya langsung tidak mahu mengambil ubat semasa berpuasa.
“Jangan begitu. Tindakan pesakit berhenti makan ubat semasa berpuasa amat berbahaya.
“Paling membimbangkan sekiranya pesakit menghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan asma,” katanya.
Oleh itu, semasa berpuasa, atur semula masa pengambilan ubat mengikut rutin berbuka, bersahur dan sebelum tidur. Itu dapat mengurangkan kebarangkalian pesakit terlupa mengambil ubat, jelas Fahmi.
“Pesakit juga digalakkan menggunakan aplikasi reminder atau penggera telefon bimbit untuk mengelakkan daripada terlupa makan ubat,” kongsinya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang