ZULFIKRI SAIDON, 26, kerap mengalami masalah cirit-birit apatah lagi selepas makan makanan pedas.

Pada awalnya, Zulfikri tidak bimbang kerana mungkin perkara itu biasa. Getus hatinya: “Orang lain pun berair mata kalau makan cili padi.”

Namun, sejak kebelakangan ini, seusai sahaja makan, dirinya akan ‘dijemput’ ke tandas. Paling menakutkannya, pada setiap hari beliau akan berhadapan masalah najis berair.

Kalau diikutkan perkiraan tepat, dalam sehari beliau akan berulang ke tandas lebih daripada tiga kali.

Setelah membuat pencarian sendiri menerusi Google, Zulfikri mendapati berkemungkinan besar keadaannya itu berkait rapat dengan masalah penghadaman atau usus.

Adakah maklumat yang diperolehnya sahih? Bagi mendapatkan pencerahan, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Bedah Am, Kolon dan Rektum, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Loo Geng Loon.

Dr Loo Geng Loon.

Memberi definisi ringkas, Dr Geng Loon berkata, masalah cirit-birit adalah pembuangan najis yang lebih lembut atau berair dengan kerap dan banyak daripada kebiasaan serta diikuti dengan simptom sakit dan kekejangan perut, loya, muntah dan keletihan.

Merujuk data yang dikongsikan menerusi portal antarabangsa ourworldindata.org, 1.6 juta penduduk di dunia menemui ajal akibat ‘diserang’ penyakit cirit-birit pada tahun 2017.

Kematian tertinggi dicatatkan dari benua Afrika dan di Asia Selatan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencengahan Penyakit (CDC) pula, disebabkan cirit-birit, satu daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia dicatatkan. Paling mengejutkan, ia merupakan penyebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan budak-budak yang berusia di bawah lima tahun.

“Penting untuk kita ketahui bahawa cirit-birit yang teruk mengakibatkan dehidrasi (kekeringan akibat kehilangan air). Jika mengandungi darah, hal itu dinamakan sebagai disenteri yang boleh menyebabkan kematian.

Organisma yang boleh menyebabkan (cirit-birit berlaku) adalah melalui pemakanan makanan dan air yang tercemar,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pakar berkenaan memberitahu, lazimnya pesakit akan membuang lebih daripada tiga kali sehari iaitu sama situasi yang dialami oleh Zulfikri.

“Jika ia terjadi secara tiba-tiba dan berterusan kurang daripada dua minggu, ia dikenali sebagai cirit-birit akut. Masalah cirit-birit akut terjadi disebabkan juga disebabkan jangkitan kuman yang ditrasmisikan ke dalam makanan ataupun air yang tercemar,” jelasnya.

Sekiranya berlarutan melebihi dua minggu, situasi itu dinamakan cirit-birit kronik.

“Dalam keadaan itu, pemeriksaan lebih lanjut diperlukan untuk mengetahui sama ada pesakit menghidap penyakit lain yang lebih serius seperti keradangan usus serius, kolitis ulserati atau barah usus besar,” beritahu.

Pun demikian, masalah cirit-birit juga dikaitkan dengan rotavirus yang mana ia kelihatan seperti roda (‘rota’ bermaksud roda dalam bahasa Latin) apabila dilihat melalui mikroskop elektron.

Portal myhealth.gov.my juga ada berkongsi, rotavirus adalah virus yang paling biasa menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk yang boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak di kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Lebih membimbangkan, penyakit rotavirus amat mudah berjangkit dan hampir semua kanak-kanak dijangkiti sebelum atau pada usia 5 tahun.

Di Malaysia, kira-kira 22 peratus hingga 50 peratus daripada kes cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh rotavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula menganggarkan bahawa pada tahun 2008, kira-kira setengah juta kanak-kanak mati akibat jangkitan rotavirus dan telah menyumbang kepada kira-kira 5 peratus daripada semua kematian kanak-kanak di seluruh dunia.

Oleh itu, badan kesihatan dunia itu mengesyorkan vaksin rotavirus disenaraikan ke dalam program imunisasi kebangsaan terutamanya di negara-negara yang berisiko tinggi bagi penyakit rotavirus yang teruk dan kadar kematian yang tinggi akibat jangkitan virus tersebut.

Namun demikian, vaksin rotavirus tidak termasuk di dalam program imunisasi kebangsaan di Malaysia.

Pada masa ini, terdapat dua jenis vaksin rotavirus di pasaran Malaysia iaitu siri 2 dos dan 3 dos yang boleh diberikan kepada bayi yang berumur 6 minggu dan ke atas.

Kanser usus

Memberi perincian rapi, Dr Geng Loon berkata, organ dalaman yang terlibat dalam masalah najis cair atau cirit-birit adalah usus kecil dan usus besar.

“Fungsi usus adalah untuk penyerapan makanan (yang dicerna) dan air. Apabila seseorang itu berhadapan masalah cirit-birit, fungsi penyerapan makanan dan cecair pada usus akan terjejas. Lebih membimbangkan, dinding usus yang mengalami keradangan akan mengeluarkan cecair ke dalam ruangan usus tersebut.

“Penting untuk diketahui bahawa proses berkenaan akan menambahkan kandungan cecair dalam usus dan seterusnya menyebabkan cirit-birit,” katanya.

Bagaimana seseorang yang cirit-birit boleh dikaitkan dengan kanser usus? Menjawab persoalan itu, Dr Geng Loon berkata, ia merujuk kepada perubahan tabiat atau corak semasa pembuangan najis seseorang.

“Pada peringkat permulaan, barah akan membesar lalu menyekat najis agar keluar dengan mudah atau lebih sinonim dipanggil sembelit.

“Sejurus itu, tabiat membuang air besar pesakit yang berhadapan masalah itu akan berubah menjadi tiga hari dalam satu hari,” jelasnya.

Keadaan biasanya akan menjadi bertambah rumit apabila najis yang tersumbat itu akan menjadi cair.

“Cecair najis berkenaan apabila melalui ruang usus yang sempit, ia akan keluar seperti cirit-birit. Jadi, sebab itulah ingin saya tegaskan, jika tabiat pembuangan najis berubah dan berlarutan lamanya, segeralah dapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” pesan Dr Geng Loon.

Kepada SinarPlus beliau menjelaskan, kekerapan pembuangan najis sebanyak tiga kali sehari atau tiga kali dalam seminggu adalah normal.

“Namun demikian, ia boleh dianggap normal jika ia adalah tabiat biasa bagi seseorang individu. Jika sebaliknya, sebagai contoh, seseorang individu lazimnya akan membuang sebanyak tiga kali sehari, namun secara tiba-tiba menjadi tiga kali seminggu pula (tanpa mengubah aspek pemilihan pemakanan). Maka, lebih baik buat pemeriksaan segera kerana  keadaan ini tidak berapa elok,” katanya.

Dalam satu keadaan, jika individu itu kerapa berdepan dengan masalah cirit-birit, siasatan terperinci akan dilakukan doktor. Ini kerana pakar perubatan bimbang terdapat masalah pencernaan terhadap sesuatu makanan seperti makanan yang mempunyai kandungan susu.

Warna

Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ampang, Dr Chieng Jin Yu turut berkongsi pandangannya.

Dr Chieng Jin Yu.

Katanya, ramai yang tidak menyedari warna dan keadaan najis mampu menterjemahkan tahap kesihatan.

“Biarpun nampak seakan-akan jijik, namun itulah kenyataan yang dapat membantu pesakit mengetahui apakah masalah yang sedang dihadapi oleh mereka,” ujarnya.

Berikut antara tanda-tanda yang memberi amaran kepada diagnos kanser usus yang mungkin ada pada pesakit cirit-birit:

i) Cirit-birit kronik iaitu berlaku lebih daripada empat minggu.

ii) Pesakit yang berumur 45 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga terdekat masalah kanser kolon (mempunyai darah bersama najis).

iii) Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.

iv) Sakit perut yang berulang-ulang.

Iklan

v) Penemuan jisim perut atau jisim rektum semasa pemeriksaan klinikal oleh doktor.

vi) Keabnormalan makmal seperti anemia iaitu masalah kekurangan zat besi.

viii) Ujian kadar pemendapan eritrosit (ESR) atau protein C-reaktif (CRP) tinggi.

Menjawab kepada satu soalan lain, kata Dr Jin Yu, komplikasi cirit-birit kronik akan berbeza-beza berdasarkan sebab-sebab tertentu.

Secara umum, komplikasi utama yang hadir untuk semua pesakit dengan cirit-birit kronik adalah seperti malabsorption iaitu tanda-tanda malnutrisi seperti anemia dan penurunan berat badan yang tidak disengajakan.

Selain itu, berlakunya masalah dehidrasi akibat kecederaan akut pada buah pinggang.

“Bukan itu sahaja, pesakit juga akan mengalami keabnormalan elektrolit dalam badan,” kata Dr Jin Yu.

Berbicara mengenai rawatan, masalah cirit-birit boleh bertambah baik apabila kesihatan diri seseorang beransur pulih.

Bagaimanapun, antara pilihan rawatan tambahan untuk cirit-birit kronik adalah mengamalkan gaya hidup dan diet yang sihat.

“Paling penting sekali adalah mengawal porsi makanan untuk mengelakkan makan berlebihan. Selain itu, ubat-ubatan yang diedarkan di kaunter seperti bismuth dan loperamide juga melambatkan transit najis, namun ia mengambil sedikit masa untuk pulih,” tambah Dr Jin Yu.

Selain itu, pesakit digalakkan untuk minum air secukupnya bagi mengelak masalah dehidrasi dalam badan.

ANEKDOT

BERIKUT adalah cara-cara mencegah jangkitan cirit-birit:

  • Cuci tangan sebelum makan.
  • Makan makanan semasa masih panas dan dimasak dengan betul.
  • Elakkan daripada makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang belum dibasuh. Pastikan sayur-sayuran dicuci dengan bersih dan makan buah-buahan yang telah dikupas kulitnya.
  • Elakkan daripada makan makanan tenusu atau daging mentah.
  • Minum air daripada bekalan air bersih, dibotolkan atau air yang telah dimasak. Elakkan minum minuman keras dan berkafein kerana cirit-birit boleh bertambah teruk.

Sumber: www.myhealth.gov.my          

Iklan

 Bland diet, minuman isotonik dan makanan probiotik legakan perut

PEGAWAI Dietetik, Jabatan Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Azila Shafiqa Abdullah Sedek berkata, masalah cirit-birit boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk bayi. Impaknya bukan sembarangan kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu dehidrasi termasuk mengalami keletihan yang melampau.

Azila Shafiqa Abdullah Sedek.

Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa maut terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak atau warga emas, ujar Azila Shafiqa.

“Hal berkenaan boleh berlaku kerana cirit-birit menyebabkan seseorang kehilangan air dan elekrolit terutama sodium dan potassium yang banyak daripada dalam badan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azila Shafiqa berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh mengakibatkan masalah cirit-birit.

Antara yang paling kerap berlaku adalah apabila terdedah kepada makanan yang dicemari kuman atau bakteria. Kenyataan tersebut sama seperti yang diperkatakan oleh Pakar Bedah Am, Kolon dan Rektum, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Loo Geng Loon.

“Contohnya seperti makanan yang tidak dimasak dengan sempurna atau makanan dan minuman yang diambil telah tercemar atau kotor,” ujarnya.

Justeru, jika berhadapan dengan masalah cirit-birit, pesakit  digalakkan untuk terus mengambil makanan secara biasa, tetapi dengan pelan diet yang seimbang.

“Selain itu, amalkan juga bland diet iaitu dengan makanan jenis berkanji yang mudah untuk dicerna seperti bubur, kentang lenyek atau roti.

“Pada masa sama, elakkan diet yang tinggi serat tidak larut sebagai contoh bijirin gandum penuh, kekacang atau oats, makanan yang pedas dan makanan berempah serta makanan yang bergoreng atau berminyak. Sebenarnya, ketika kita diserang masalah cirit-birit, makanan yang disyorkan tadi akan membantu sistem penghadaman berehat dan berasa selesa,” katanya lagi sambil menjelaskan makanan yang bersumberkan bijirin gandum penuh, pedas dan berminyak boleh menyebabkan sistem penghadaman menjadi lebih aktif dan tidak selesa.

Di samping itu, kata Azila Shafiqa, pesakit juga diusulkan untuk mengambil minuman atau makanan yang diperkaya dengan probiotik untuk menjana semula pembiakan bakteria baik di dalam usus dan membantu meningkatkan semula sistem imunisasi badan.

Bukan itu sahaja, pengambilan air yang mencukupi, contohnya daripada air putih, air kelapa dan sup juga penting untuk menggantikan semula air yang telah hilang sekali gus dapat mengelakkan dehidrasi.

Bagaimana pula dengan saranan minum minuman istonik yang berelektrolit (ORS)? Jawapannya, boleh.

Kata pakar berkenaan, makanan jenis tinggi elektrolit potassium seperti pisang, anggur, durian belanda, sayur bayam, kailan atau sawi turut digalakkan.

Ia berfungsi menggantikan garam dan mineral yang hilang akibat pembuangan najis berair yang kerap.