Bahaya makan ubi kentang tumbuh tunas, ini cara simpan kentang supaya tahan lama
BIASANYA ubi kentang yang disimpan terlalu lama akan bertukar kepada warna hijau dan tumbuh tunas. Rasa kentang juga akan menjadi sedikit pahit. Ubi kentang (Solanum tuberosum) yang bertunas atau berwarna hijau menunjukkan kehadiran bahan kimia semula jadi yang bersifat toksin iaitu alkaloid glikosida seperti solanine.
Ubi kentang yang telah tumbuh tunas sangat berbahaya kepada kesihatan manusia. Semakin terang warna hijau, semakin tinggi juga kandungan toksin yang wujud. Antara kesan keracunan toksin ini ialah gatal pada mulut, pening, loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Baca juga: Jom buat kentang putar versi sihat guna keledek manis, lebih sedap dan berkhasiat
Bagaimanapun jika disimpan dengan cara yang betul, kentang boleh bertahan sehingga empat bulan walaupun hanya simpan di dapur. Boleh cuba tip seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Yatie Eimra ini.
Baca juga: Jom masak Kentang Varuval sempena meriahkan sambutan Deepavali. Semua bahan ada di dapur
1. Jangan simpan kentang bersama bawang merah atau bawang putih kerana bawang akan menghasilkan gas yang memcepatkan kentang bertunas.
2. Kentang perlukan pengudaraan yang cukup. Sebaiknya simpan kentang dalam bakul atau bekas berjaring supaya cukup aliran udara.
3. Jangan simpan kentang bersebelahan dapur gas atau tempat memasak kerana suhu panas akan mempercepatkan kentang bertunas. Wap-wap yang terhasil pula akan menyebabkan kelembapan udara menjadi tinggi dan menjadikan kentang mudah berkulat dan busuk. Jika ruang dapur terhad, pastikan tempat simpanan kentang tidak kena wap panas ketika masak.
4. Penting untuk memastikan kentang disimpan di tempat yang kering tetapi tidak terlalu terang atau tidak terdedah dengan cahaya matahari atau lampu secara langsung. Jika kentang mula bertunas dan berwarna kehijauan, itu tandanya kentang terdedah pada cahaya lampu.
5. Jika tempat simpanan kentang anda agak terang dan kena cahaya yang banyak, boleh juga tutup sedikit lapisan atas kentang dengan kain guni atau kain muslin. Tujuannya supaya cahaya tidak terkena secara langsung pada kentang tapi dalam masa yang sama kentang masih dapat pengudaraan yang baik.
6. Sesekali periksa keadaan kentang dan gunakan kentang yang mula bertunas dahulu.
7. Elak menyimpan kentang mentah di dalam peti sejuk. Sesetengah orang gemar menyimpan kentang mentah di dalam peti sejuk untuk memanjangkan hayat kentang. Sebenarnya apabila kentang disimpan di dalam peti sejuk (terutama dalam tempoh yang lama), suhu sejuk akan menukarkan kandungan kanji dalam kentang menjadi gula.
Ini yang berlaku jika kentang disimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh yang lama:
- Rasa kentang akan jadi lebih manis.
- Kentang akan berwarna kehitaman semasa dimasak akibat gula dalam kentang dikaramelkan.
- Kentang yang disimpan di dalam peti sejuk mempunyai kandungan gula yang tinggi. Cara ini sangat tidak digalakkan bagi mereka yang perlu mengawal pengambilan gula terutama yang mengalami masalah diabetes dan ibu-ibu mengandung yang mengalami gestational diabetes (GDM).
- Kandungan gula yang tinggi juga boleh menyebabkan kandungan toksin akrilamida lebih tinggi (bila kentang dimasak dengan suhu tinggi).
Anda boleh mencuba cara Yatie Eimra menyimpan kentang. Caranya ialah dengan menyimpan kentang dalam bakul dan anyam sendiri sahaja penutup dari tali hemp dengan bahagian tepi (atas) dibiarkan kosong.
Boleh tutup kentang dengan kain guni atau kain muslin tapi pastikan tidak mengganggu pengudaraan. Seeloknya elak membeli kentang dalam jumlah yang banyak. Beli sekadar untuk keperluan sahaja.
Sumber: Yatie Eimra
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang