PAKAR-PAKAR penyakit berjangkit di Universiti John Hopkins di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat menyeru orang ramai mengelakkan perlakuan memicit jerawat atau menarik bulu hidung terutamanya di kawasan segi tiga kematian pada muka, kongsi Public Health Malaysia (PHM) melalui Facebooknya semalam.

Selain dipanggil kawasan segi tiga kematian atau triangle of death, ia juga dikenali sebagai segi tiga berbahaya atau dangerous triangle.

Memperincikan mengenai kawasan segi tiga kematian itu, ia bermula dari pangkal hidung ke bahagian hujung bibir.

Seperti nama yang diberikan, ia jelas menunjukkan kawasan berkenaan sangat sensitif.

Ia kerana kawasan tersebut adalah berkait dengan infeksi bakteria yang dikatakan boleh menyebabkan jangkitan di sekitar otak sehingga boleh menyebabkan strok.

“Bagaimanapun, ia sangat jarang berlaku disebabkan antibiotik dan ia sukar untuk bakteria merebak secara melawan arus di dalam salur darah,” kata PHM yang memetik kajian universiti terkenal itu.

Doktor-doktor pakar penyakit berjangkit di Universiti John Hopkins telah menyeru untuk orang ramai mengelakkan memicit…

Posted by Public Health Malaysia on Thursday, November 19, 2020

Namun demikian, ia boleh berlaku jika kuman tersebut sudah menjadi kuat dan antibiotik tidak lagi boleh melawan kuman atau jangkitan kulit yang sangat teruk.

Jadi, adalah penting untuk kita mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kulit kita terdedah dengan kuman akibat daripada aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas lebih-lebih lagi, bakteria ‘sekarang’ yang semakin ‘bijak’ mengekang rintangan antibiotik.

Ingat, kita sudah lama tidak menjumpai antibiotik kelas baharu.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPLus, kali terakhir kelas antibiotik yang dijumpai adalah pada tahun 1987 iaitu lipopeptides.

Sehingga kini, kita hanya membangunkan antibiotik sedia ada untuk menjadi lebih baik.

“Semakin lama semakin sukar untuk merawat kuman bakteria,” kata entri tersebut.

Selain itu, menurut sebuah portal kesihatan, thediagnosa.com pula, berikut kesan lain yang boleh berlaku jika bakteria sudah mula merebak di kawasan segi tiga kematian berkenaan.

Jangkitan kuman pada bahagian muka akan menyebabkan:

Iklan

i) Jangkitan otak

Jangkitan kuman pada bahagian muka ini akan membawa kuman pergi ke bahagian cavernous sinus dan kemudian membawa ke bahagian otak. Oleh itu, ia boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian otak.

ii) Angin ahmar

Jangkitan kuman di dalam cavernous sinus juga akan menyebabkan penghasilan darah beku. Darah beku tersebut akan pergi ke otak menyebabkan sumbatan dalam salur darah dan menyebabkan angin ahmar berlaku.

iii) Lumpuh otot pada bahagian muka

Iklan

Di dalam cavernous sinus terdapat beberapa jenis saraf yang berkaitan dengan otot muka. Ketika mana jangkitan kuman berlaku dalam cavernous sinus, ia akan mengganggu fungsi saraf dan menyebabkan otot muka menjadi lumpuh.

Pada masa sama, PHM sentiasa menekankan konsep pencegahan lebih baik daripada berubat.

Jadi, amalkan sanitasi yang baik, elakkan memicit jerawat atau mencabut bulu hidung.

Jika ingin melakukan prosedur, pastikan ia disterilkan terlebih dulu. Semoga artikel ini bermanfaat dan memberikan ilmu baharu untuk kita semua. #kitajagakita #kitapastimenang