BAGI kebanyakan daripada kita, berkereta bukan hanya kenderaan untuk perjalanan seharian, sama ada berulang ke tempat kerja atau menuju ke destinasi yang diingini. Ramai yang menjadikan kemudahan itu sebagai ‘rumah kedua’ untuk mendengar muzik, berehat, bersenang-senang dan kadangkala untuk tidur. Lazim bukan, apabila melalui perjalanan jauh, kita akan berhenti di mana-mana hentian rehat atau di tepi jalan untuk melelapkan mata apabila terasa letih?

Dengan pendingin hawa yang sejuk terpasang, sunyi dan jauh daripada bunyi bising di luar, suasana dalam kereta sememangnya ideal untuk mendapatkan tidur yang lena dan nyenyak. Jika anda mempunyai tabiat tidur dalam kereta dengan enjin yang tidak dimatikan dan pendingin hawa terpasang, ada baiknya tabiat itu dihentikan.

Ingin tahu kenapa? Ramai yang tidak sedar tentang bahayanya tidur di dalam kereta. Hakikatnya tidur dalam masa yang lama di dalam kenderaan dalam keadaan pendingin hawa yang terpasang boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Memetik satu laporan dari portal kesihatan, myhealth.gov.my, secara saintifik larangan itu benar dan dibuktikan betul bahawa tidur di dalam kereta dalam keadaan tingkat yang tertutup rapat, sangat berisiko tinggi mampu membunuh.

Berikut Sinar Plus kongsikan beberapa perkara bagaimana ia boleh berlaku dan mengapa amalan tidur di dalam kenderaan boleh mengundang risiko membabitkan nyawa.

Kegagalan sistem ekzos

Sekiranya fungsi mekanikalnya tidak sampai ke tahap standard, potensi kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan boleh berlaku sementara seseorang itu tertidur.

Bahaya tidur di dalam kereta

Apabila itu terjadi, ia mampu mengurangkan tahap oksigen di dalam kereta. Jika seseorang sedang tidur dalam perut kenderaan, pastinya tanpa disedari ia boleh mengundang kematian kurang dari sejam.

Karbon monoksida meningkat

Perkara utama yang perlu diperhatikan ialah pengumpulan karbon monoksida (CO) yang boleh disebabkan oleh kebocoran dari ekzos itu. Kegagalan fungsi sistem ekzos juga menyebabkan tertumpunya CO yang akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.

Bahaya tidur di dalam kereta
PENCEMARAN karbon Monoksida (co)

Paras oksigen berkurang menyebabkan seseorang itu sesak nafas atau tentunya sukar untuk bernafas. Itu boleh menyebabkan seseorang lemas.

Penurunan paras oksigen dalam darah

Peningkatan tahap CO di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah. Darah yang membawa lebih banyak CO boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba atau kematian mengejut (sudden death)

Jika tingkap dibuka?

Satu lagi kesalahan yang umum dalam kalangan orang ramai ialah membuka tingkap kereta atas alasan bagi mewujudkan sistem pengudaraan yang mencukupi di dalam kereta.

Walaupun dengan tetingkap kereta terbuka, CO akan berkumpul di paras yang lebih rendah, menyebabkan tahap oksigen di dalam darah akan diturunkan. Seterusnya itu mengakibatkan kehilangan cecair badan dan air. Kesannya, mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa.

Iklan

Bahaya tidur di dalam kereta

Bagaimana CO mampu membunuh?

Apabila dihidu, CO meresap ke dalam saluran darah dan bergabung dengan hemoglobin, molekul yang berperanan membawa oksigen (O2) ke seluruh badan. Gabungan O2 dengan hemoglobin dipanggil oxyhaemoglobin dan CO dengan hemoglobin dipanggil carboxyhaemoglobin.

Menurut myhealth, jika kandungan CO dan O2 sama di dalam badan, hemoglobin lebih tertarik untuk bergabung dengan CO. Apabila semakin banyak CO bergabung dengan hemoglobin, maka kandungan O2 dalam tisu badan berkurang yang menyebabkan seseorang itu boleh mati disebabkan oleh sesak nafas.

Iklan

Berbeza dengan sesak nafas yang menyebabkan badan menjadi biru, keracunan CO menyebabkan badan merah atau merah jambu. Ini adalah simptom biasa keracunan CO yang membezakan ia daripada kes sesak nafas yang lain.

Antara masalah untuk mengesan keracunan CO adalah kerana gas CO tidak berwarna, tiada rasa dan bau serta tidak menyakitkan. Kesukaran untuk mengesan keracunan CO menyebabkan mangsa tidak sedar dia sedang mengalami keracunan.

90 peratus simptomnya adalah rasa pening, letih, kabur pandangan yang kemudiannya membunuh mangsa secara senyap.