Bakar kambing perap dalam buluh, resipi istimewa dua beradik jadi sensasi di Kedah buat ramai sanggup beratur panjang
DALAM kalangan orang kita, ada dua sajian yang kerap menjadi rebutan iaitu durian dan kambing. Bercerita tentang menu kambing, SinarPlus menemui cara memasak paling unik.
Jika sebelum ini, buluh hanya digunakan untuk memasak lemang atau ayam pansuh, tetapi Muhammad Sufi Malek dan adiknya, Abdul Muiz, 28, menampilkan kelainan dengan membakar kambing perap di dalamnya.
Nampak sedikit pelik, namun kata Muhammad Sufi, teknik tersebut telah membuatkan warungnya, Kambing Buluh Addarowish 99 terus menjadi popular sekelip mata.
Mereka juga berjaya mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan penggemar kambing di negeri Kedah.
Ujar lelaki berusia 31 tahun itu, sejak premisnya yang terletak di Tikam Batu, Kedah dibuka pada Mei tahun lalu, pelanggan termasuk dari luar negeri Kedah datang membanjiri tanpa henti.
Baca juga Makan dalam hutan lengkap tempat mandi-manda, restoran privasi ini yang ramai tidak tahu
Berkongsi keunikan sajian berkenaan, Muhammad Sufi berkata, idea kambing dimasak dalam buluh itu terbit pada bulan Ramadan tahun lalu.
“Pada asalnya, ia dilakukan sekadar suka-suka sahaja. Kalau nak ikutkan cerita, masa itu kami sedang bakar lemang untuk juadah raya. Kebetulan terdapat buluh lebih, jadi kami berpakat untuk bakar kambing sejuk beku di dalam buluh tersebut.
“Bila dah siap, kami rasa kambing yang dimasak dalam buluh mempunyai lebih aroma dan rasanya lagi sedap. Di situlah segala-galanya bermula. Kemudian, kami buat perapan khas dan buat sedikit ‘uji kaji‘ lebih kurang sebulan untuk tahu tempoh memasak yang sesuai apabila sajian tersebut dibakar dengan arang,“ katanya.
Selepas kambing mendapat sambutan hangat, menu ayam dan daging buluh pula ditawarkan pada harga set bermula RM20 hingga RM30.
Apabila warung Kambing Buluh Addarowish 99 menjadi viral, Muhammad Sufi berkata, pelanggan mula merungut apabila terpaksa menunggu terlalu lama, ditambah kapasiti meja hanya mempunyai 30 buah sahaja.
“Kami akui, dari jauh lagi bau sajian dalam buluh ini sudah semerbak dan itu menyebabkan ramai yang datang. Memang ramai memuji menu ini dan rasa berbaloi walaupun terpaksa tunggu lama.
"Namun, dari semasa ke semasa, kami berjanji akan berusaha untuk membaiki prestasi servis bagi memudahkan ramai orang membuat pembelian,“ kata bekas peniaga pasar malam itu.
Kepada pembaca SinarPlus yang berasakan terlalu jauh untuk ke warung Kambing Buluh Addarowish 99, jangan risau kerana Muhammad Sufi telah meluaskan perniagaannya dengan melantik ejen di beberapa buah negeri.
“Kami ada ejen di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur. Jadi, jangan lepaskan peluang menikmati kambing bakar dalam buluh kami,“ katanya.
Sajian berkenaan enak dimakan bersama nasi putih, ulam kampung, sambal belacan, sambal tempe ikan bilis dan sos lada hitam yang merupakan sentuhan air tangan ibunya, Masitah Mohamed Saad.
Baca juga Ais Tingkap Penang digemari ramai walau sudah lebih 100 tahun beroperasi. Memang legend!
Kambing Buluh Addarowish 99
- Alamat: Kampung Masjid Batu, Simpor Besar, Tikam Batu, Kedah
- Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 5 petang
- Menu signatur: Kambing buluh Harga: RM20 hingga RM30
- Facebook: Kambing Buluh Addarowish 99
Aroma buluh memang akan membuatkan setiap masakan menjadi bertambah lazat. Disebabkan itulah, di kawasan-kawasan kampung yang terdapat bekalan tanaman itu akan menjualkannya kepada para peniaga.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Tidak hanya Kambing Buluh Addarowish 99 di Kedah sahaja, sebenarnya terdapat beberapa premis yang mengimplemenkan teknik serupa.
Berikut empat lokasi pilihan SinarPlus yang boleh pembaca kunjungi jika secara kebetulan berada di sana.
Kambing Buluh Bakar
- Alamat: Lot 236, Kampung Jawa Batu 8, Labu, Negeri Sembilan
- Waktu operasi: 4.30 petang hingga 11 malam
- Menu signatur: Set ayam, daging dan kambing bakar buluh
- Harga: Bermula RM35.90 hingga RM38.90
- Facebook: Meq Nor Kitchen
Harimau Menangis Buluh
- Alamat: Kulim, Kedah
- Waktu operasi: Bergantung kepada tempahan
- Menu signatur: Set Harimau Menangis Baghdad dan Ayam Hijau
- Harga: RM25 hingga RM35
- Facebook: Pak Abu Cafe
Nasi Buluh Ayam Tulang Rapuh
- Alamat: Jalan Besar Teluk Kemang, Batu 8, Port Dickson, Negeri Sembilan
- Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 5.30 petang
- Menu signatur: Nasi Buluh Ayam Tulang Rapuh dan kari kambing
- Harga: Bermula RM8.90 hingga RM82
- Facebook: Kewbuluh
- Instagram: @kewbuluhcafe._
Nasi Arab Buluh
- Alamat: Kafe Huffazway, 5G Jalan Putra 4, Taman Putra Kajang, Selangor
- Waktu operasi: 11 pagi hingga 7 malam
- Menu signatur: Nasi Arab Kambing Buluh
- Harga: RM19.99 hingga RM27.99
- Facebook: Lemang Nasi Arab
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang