JIKA anda seorang peminat tegar dengan program masakan antarabangsa, nama anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur yang kini memilih untuk menetap di Australia, Poh Ling Yeow memang tidak asing lagi lagi.

Kulinari yang diketengahkannya yang bercirikan Malaysia bukan sahaja menambat hati kita sebagai rakyat Malaysia, malah dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Terkini, Ling Yeow bergabung tenaga dengan seorang lagi rakannya yang juga rakyat Malaysia dari Pulau Pinang, Adam Liaw akan muncul dalam Adam & Poh’s Malaysia in Australia.

Rancangan yang sudah bersiaran pada 7 Oktober lalu sebanyak enam episod di saluran SBS Food dan SBS On Demand itu merupakan salah satu inisiatif Australia Now in Malaysia.

Pada sidang akhbar yang diadakan secara maya baru-baru ini, Duta Australia di Malaysia, Dr Justin Lee berkata, Australia Now in Malaysia antara lain mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara itu dari aspek ekonomi, pendidikan, saintifik dan budaya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Australia Now in Malaysia Australia menyenaraikan 3 tema utama iaitu:

Exchanging Creativity and Culture: Melibatkan komuniti untuk meneroka isu-isu kepentingan budaya masa lalu, masa kini dan masa depan. Menggunakan platform digital dan masa nyata untuk mencipta pengalaman bersama.

Engaging People and Potential: Memanfaatkan hubungan peribadi yang mendalam untuk mengembangkan platform digital yang menghubungkan pemimpin, pencipta dan pembuat perubahan untuk memperkukuhkan kolaboratif dan penglibatan.

Exploring Taste and Technology: Mewujudkan peluang unik untuk orang berhubung melalui makanan, sains dan inovasi.

Berbalik kepada program Adam & Poh’s Malaysia in Australia, kedua-dua rakan itu akan membawakan kepada penonton resipi warisan Malaysia dan Australia.

Rancangan itu bertambah menarik apabila pasangan tersebut akan mengajak penonton bersama-sama ‘mencari’ Tasmania Abalone dan Western rock lobster.

Iklan

Pada masa sama, anda akan melihat bagaimana kedua-dua cef selebriti itu ‘merenovasi’ semula rendang daging dan roti canai.

Memetik Media Week, Ling Yeow dan Adam juga akan menggali petua daripada petani-petani tempatan, ekspatriat Malaysia, bahkan superstar Hollywood dalam menyajikan hidangan Malaysia yang lazat dengan sentuhan Aussie yang unik.

Adam yang turut sama dalam sidang akhbar itu berkata, Adam & Poh’s Malaysia in Australia merupakan kolaboratif pertama beliau bersama Ling Yeow.

Iklan

“Ini satu pengalaman yang cukup mengujakan apabila kami bersama-sama menyoroti hubungan antara Australia dan Malaysia iaitu dua negara yang sangat istimewa bagi kami berdua,” katanya.

Adam & Poh’s Malaysia in Australia turut diterjemahkan kepada beberapa bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Cina, Vietnam dan Korea.

Jangan lupa follow kami di Instagram!