MUNGKIN segelintir daripada kita mula resah selepas lebih sebulan berkurung di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Apatah lagi memikirkan terpaksa terus bekerja dari rumah yang banyak kekangannya.

Melakukan kerja-kerja pejabat sehingga lapan jam sehari di rumah tentulah tidak sama situasinya seperti di ruang pejabat sebenar. Lebih merumitkan jika syarikat tempat bekerja memerlukan staf sentiasa berdiskusi secara berdepan dari masa ke masa.

Itu perihal kerja. Bagaimana pula kisahnya selepas tamat waktu pejabat? Bagi yang sudah berkeluarga, mereka boleh meluangkan masa bersama pasangan dan anak-anak.

Namun, bagi golongan bujang yang tinggal bersendirian dan sudah terbiasa bertemu rakan-rakan di restoran selepas waktu kerja, apakah aktiviti yang sesuai dilakukan sepanjang PKP ini.

Justeru, pada minggu ini e-Trend kongsikan dua platform ideal yang membolehkan mereka ‘melepak’ sementara menunggu PKP ditamatkan.

1. Perisian moden Lark

etrend

Lark Technologies, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Singapura menawarkan perisian yang menghimpunkan pelbagai alat kerja penting termasuk peranti penghantaran pesanan, dokumen, simpanan, kalendar dan persidangan video.

Ketua Komersial APAC Lark, Joey Lim berkata, menyedari situasi PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19, perisian tersebut menawarkan alat kerjasama digital secara percuma.

Ia bertujuan memudahkan organisasi kekal berhubung, berdiskusi ataupun bermesyuarat tanpa mengira masa dan lokasi.

“Pada masa sama, Lark turut memperkenalkan ciri penstriman langsung untuk melaksanakan mesyuarat secara video yang berupaya disiarkan secara langsung kepada kakitangan.

“Sebagai contoh, eksekutif kanan menyampaikan ucapan kepada ribuan staf di seluruh dunia atau para guru mengadakan kelas jarak jauh untuk pelajar,“ katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Ditawarkan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, perisian berkenaan juga dilengkapi ciri penghantaran pesanan, Lark Messenger yang boleh mewujudkan kumpulan perbualan sehingga 5,000 ahli.

Ciri pesanan itu turut mempunyai tindak balas emoji, bebenang perbualan dan pengesahan mesej yang sudah dibaca. Pengguna juga berpeluang membuat panggilan video atau audio, menyemak jadual dan menghantar dokumen.

Iklan

Pada masa sama, Lark Messenger membolehkan pengguna menterjemahkan pesanan secara automatik kepada lebih 100 bahasa yang menjadikannya berguna untuk pasukan peringkat global.

Dari segi keselamatan, usah bimbang kerana data pengguna dan transmisi data pada platform Lark dienkripsi dari mula hingga akhir. Lark juga lulus salah satu piawaian keselamatan paling sahih dan boleh dipercayai di dunia.

2. Lepak kedai mamak maya bersama F&N

etrend

Bagi mereka yang sentiasa singgah di restoran mamak selepas pulang kerja, anda masih berpeluang meneruskan aktiviti mengeteh secawan teh tarik panas walaupun dalam tempoh PKP.

Iklan

Menerusi platform Mamak Virtual Terbesar Teh Tarik Ori F&N, rakyat Malaysia kini boleh melepak bersama teman di gerai mamak kegemaran secara maya dengan menggunakan aplikasi Zoom.

Menurut Pengurus Jenama Kanan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Adelene Tay, kempen Mamak Virtual Terbesar Teh Tarik Ori F&N bertujuan menceriakan pengguna sambil menikmati minuman kegemaran di ‘restoran mamak‘. Walhal, realitinya mereka kekal duduk di rumah masing-masing!

“Dengan platform ini (Mamak Virtual Terbesar Teh Tarik Ori F&N menerusi Zoom), rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan usia berpeluang menikmati teh tarik bersama insan tersayang tanpa perlu meninggalkan kediaman.

“Pengalaman ini seolah-olah berada di kedai mamak sambil berborak panjang mengenai perkembangan terkini dengan menggunakan aplikasi Zoom,“ kata Tay.