‘Biar lambat naik, asal tak jual harga diri.’ Pempengaruh ini beri kata-kata ‘pedas’ menusuk ke jiwa
GAYA pemasaran masa kini amat menakutkan. Mereka lebih suka mereka cerita mahu pun membuat ‘bad marketing’ untuk mencari rezeki. Soal halal dan haram ditolak tepi.
Ada juga yang sanggup menjual harga diri. Adakah anda tidak rasa malu? Demi mencari pengikut di sosial media dan melariskan perniagaan, anda sanggup melakukan sesuatu di luar logik akal manusia.
Melihat pelbagai isu yang timbul terutama kepada mereka yang dikenali, pempengaruh dunia masakan, Nur Hidayatul Akma Sazli atau lebih dikenali dengan nama Limau Nipis tidak mahu cepat terpengaruh dengan gaya pemasaran sebegitu.
“Saya mula buat content bukan semalam. Hampir 10 tahun dah pegang kamera, edit video dan tulis resepi. Semuanya bermula dari kosong.
“Saya akui, walaupun dah bertahun, masih ramai yang tak kenal Limau Nipis. Saya ada peluang nak naik cepat. Buat content kontroversi, sentuh benda sensasi dan biar netizen kecam sambil views meletup,” katanya melalui perkongsian di akaun Facebook miliknya.

Namun, bekas jurutera petroleum yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa masih memegang prinsip dalam hidupnya.
Pernah meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan hanya dengan bergelar Youtuber, gerangan wanita ini sudah banyak pengalaman dalam dunia sosial media.
“Buat content kontroversi bukan seni. Minta maaf lepas viral bukan insaf. Itu skrip lama yang dah basi.
“Saya percaya kalau content itu datang dari hati, niatnya baik, caranya beradab maka pengisian itu akan sampai.
“Ya. Mungkin lambat dan mengambil masa. Mungkin tak trending. Tetapi saya yakin, ia akan sampai pada jiwa yang tepat. Apa yang paling penting, saya masih boleh tidur dengan tenang” ujarnya lagi.
Perkongsian wanita kelahiran Kulim, Kedah itu mendapat lebih dua ribu komen yang rata-rata bersetuju dengan setiap bait ayatnya.
“Dalam dunia yang penuh content untuk tontonan, pilihlah untuk hasilkan idea yang bermanfaat. Biar lambat orang kenal, asalkan maruah tak dijual,” ujarnya dengan pesanan yang cukup menusuk hati.
Siapa makan cili, dia yang rasa pedas.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
