MUNGKIN ramai terutama kaum wanita mengelakkan diri daripada memakan sesetengah buah dan sayur yang kerana percaya ia akan menyebabkan ‘angin’ dan ‘kembang urat’.

Jika diteruskan pengambilkan ada yang mendakwa berasa rasa kurang selesa pada perut hingga menganggu aktiviti harian.

Persoalannya, bagaimana memakan sesetengah buah atau sayur boleh menyebabkan ‘angin’ dan ‘kembang urat’?

Sama ada anda perasan atau perut akan mula meragam dan ‘berangin’ selepas memakan beberapa jenis buah dan sayur ini.

Rupa-rupanya ia bukan sekadar omongan kosong, ada fakta sains di sebalik kepercayaan ini.

Baca juga: Elak makanan bergoreng, kafein ketika cirit-birit. Amalkan 9 tip mudah

Kredit foto: Pexels

Jenis tumbuhan seperti nangka, sukun, kekacang dan yang seumpamanya mengandungi bahan kimia daripada kumpulan karbohidrat seperti raffinose, stachyose, verbascose yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside.

Keberadaan enzim ini adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Maka, usah hairan jika dahulu anda memakannya tetapi tiada masalah namun kini baharu terkesan.

Disebabkan ketiadaan enzim khusus itu, tugas mencernakan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi.

Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.

Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau masyarakat kita selalu merujuknya sebagai ‘angin’.

Baca juga: Masalah angin dalam badan, 6 tip bina sistem pencernaan yang baik

Kredit foto: Pixabay

Pun begitu, harus diingat bahawa ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada di dalam badan. Maka badan anda akan seboleh mungkin akan mengeluarkannya dengan mekanisma yang mungkin akan mengganggu keseimbangan proses kimia badan yang lain.

Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan anda berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu.

Keadaan itu barangkali diberi istilah oleh orang lama sebagai ‘kembang urat.’ Tujuannya adalah sebagai isyarat untuk kita berbuat sesuatu badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (self-healing).

Bahagian tubuh mana yang terkesan dan bagaimana ia sembuh bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang memudaratkan kepada sistem badan.

Baca juga: Jangan ambil mudah jika terkena cirit-birit, air perlu cukup elak kerosakan ginjal

Kredit foto: Pexels

Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang berurut, mengambil ubat tahan sakit dan ubat buang angin. Ada yang sembuh dengan sendirinya hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semula jadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.

Bagaimanapun sesetengah individu tidak akan mengalami masalah ‘angin’ disebabkan kerana memiliki enzim alpha-galactoside yang cukup dan/atau juga memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.

TIP HINDARI MASALAH ANGIN

Dalam menghindari masalah ‘angin’ dan ‘kembangurat’ ini, terdapat enam tip yang sesuai anda praktikkan:

Iklan

1. Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win-win situation).

2. Kunyah makanan jenis ini lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.

3. Jenis kekacang atau beras pulut boleh direndam dahulu untuk memudahkan proses penghadaman seterusnya mengurangkan fermentasi oleh bakteria.

4. Amalkan sayuran dalam diet pemakanan sebagai sumber serat (prebiotik) dan fitokimia yang bagus.

5. Kurangkan makanan berproses dan pengambilan gula.

6. Boleh menambah pengambilan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yogurt, tempoyak, tapai untuk mempelbagaikan flora bakteria di dalam usus.

Iklan

Baca juga: Barli kurangkan risiko radang usus. Ini manfaat lain yang ramai tak tahu

Sumber kredit: Makmal Makanan (MaMa)

Kredit foto utama: Pixabay 1, 2

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi