7 herba untuk kesihatan, rupanya teh jenis ini yang terbaik buat pesakit diabetes
TEH telah menjadi suatu yang sinonim dengan masyarakat kita sebagai satu minuman harian dengan pelbagai kaedah dan cara penyediaan.
Terdapat juga teh yang dicampurkan dengan pelbagai jenis herba lain dan dipromosi sebagai minuman kesihatan. Maharaja China bernama Shennong telah menggunakan teh sebagai minuman tonik kesihatan 5000 tahun dahulu.
Pada zaman sekarang, teh adalah minuman yang paling banyak diminum diseluruh dunia. Di Malaysia, minuman ‘teh tarik’ amat popular sebagai minuman harian masyarakat pelbagai kaum.
Teh tarik adalah kurang sihat kerana mengandungi gula yang tinggi dan juga krimer yang mengandungi asid lemak trans yang tidak sihat.
Teh tidak mengandungi sebarang zat mineral, vitamin, protin, karbohidrat, garam, kolesterol atau lemak. Kandungan kalorinya juga amat rendah iaitu hanya 2 kalori setiap 237 gram. Teh mengandungi antioksidan yang tinggi iaitu polifenol dan flavanoid (theaflavin, epicatechin, epigallocatechin, epigallocatechin-3-gallate) yang memberikan teh khasiat kesihatan yang baik.
Menurut kajian oleh Dr J.Weissburger dari Institut of Cancer Prevention, New York, teh mengandungi antioksidan lapan hingga 10 kali lebih tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian oleh Dr Weisburger juga menunjukkan polifenol dalam teh mampu mencegah kerosakkan DNA akibat daripada merokok dan bahan kimia lain.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan apabila teh dicampur dengan susu atau krimer, maka kesan antioksidan akan berkurangan. Oleh itu, lebih baik minum teh ‘O’ daripada minum teh tarik.
Untuk mendapat faedah kesihatan yang lebih baik, maka minum teh tanpa gula adalah digalakkan seperti minum teh hijau dan ‘teh cina’.
1. TEH
Terdapat banyak kajian sains menunjukkan, jika seseorang minum teh setiap hari, ia akan menurunkan risiko mendapat kanser, serangan jantung, darah tinggi, strok, menurunkan paras kolesterol LDL dan Alzheimer.
Kandungan antioksidan dalam teh dipercayai menurunkan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar dengan menurunkan paras kolesterol, stres oksidatif dan meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah.
Teh juga boleh mencegah masalah pengerasan saluran darah (atheroslcerosis) dan menurunkan paras trigliserida. Menurut kajian, dengan minum teh setiap hari boleh menurunkan risiko mendapat serangan jantung sehingga 11 peratus. Kajian ini dibuat selama lima tahun kepada 805 lelaki yang mendapati mereka yang minum teh setiap hari mempunyai risiko kematian akibat strok dan serangan jantung yang lebih rendah.
Menurut kajian, minum teh juga boleh mengurangkan risiko kanser kerana antioksidan dalam teh akan melawan kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser. Kajian mendapati minum teh setiap hari boleh menurunkan risiko mendapat kanser paru-paru, ovari, mulut, kulit, pankreas, rektal dan usus.
Teh juga amat baik untuk menurunkan berat badan. Kajian awal mendapati, teh meningkatkan metabolisme tubuh, memecahkan lemak yang terkumpul, meningkatkan toleransi semasa senaman dan mengurangkan selera makan. Teh membantu aspek ini dengan meningkat penggunaan insulin, glukosa dan menghasilkan lebih banyak haba.
2. TEH HIJAU
Teh hijau adalah teh yang paling tinggi kandungan antioksidannya. Antioksidan membantu melawan kesan radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh manusia.
Teh hijau sememangnya telah dikenali sebagai minuman kesihatan yang amat baik untuk membantu mengurangkan risiko kanser. Kajian juga menunjukkan ia juga mempunyai sifat membantu mengawal paras glukosa darah dengan baik dalam kalangan pesakit diabetis.
3. STEVIA
Jika inginkan rasa manis semasa minum teh, maka boleh menggunakan herba pemanis asli yang lebih sihat daripada gula seperti stevia.
Kajian juga mendapati stevia mempunyai sifat sebagai antioksidan yang amat baik untuk kesihatan dengan mengurangkan kesan radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh manusia. Ia mengandungi bahan yang dinamakan ‘steviol glycoside’ yang terdiri daripada stevioside dan rebaudioside A yang mempunyai rasa yang manis.
Ia mempunyai indeks glisemik indeks kosong dan tanpa kalori. Terdapat banyak kajian dan data saintifik menunjukkan stevia tidak mempunyai kesan sampingan merbahaya. Oleh itu pada tahun 2008 ia telah diluluskan oleh FDA di Amerika Syarikat. Sebagai pemanis gantian. Terdapat juga kajian yang menunjukkan stevia mempunyai kelebihan dalam membantu mengawal penyakit seperti diabetis dan darah tinggi.
Terdapat juga beberapa jenis herba lain yang terdapat di pasaran dalam bentuk minuman teh yang menggabungkan pelbagai herba seperti teh rooibos, gymnema, mulberi dan peppermint.
4. TEH ROOIBOS
Kajian menunjukkan teh rooibos yang mengandungi sebatian ‘aspalathin’ mempunyai sifat antioksidan yang baik yang kedua tertinggi selepas teh hijau.
Dengan sifat antioksidan ini ia adalah amat baik untuk mengurangkan risiko kanser, sakit jantung dan diabetis. Kajian juga mendapati aspalathin ini boleh membantu masalah diabetis dengan meningkatkan sensitiviti insulin kepada dinding sel-sel tubuh dan mengurangkan penghasilan glukosa berlebihan daripada organ hati. Kajian ini juga menunjukkan aspalathin membantu menurunkan berat badan membalikkan sindrom metabolik.
5. GYMNEMA
Gymnema yang diekstrak dari daun ‘gymnema sylvestre’ (GS4) juga amat baik kepada kesihatan terutamanya mengawal paras glukosa darah untuk pesakit diabetis. Ini berdasarkan kajian keatas herba gymnema ini yang menunjukkan ia amat baik untuk pesakit diabetis jenis 2 dengan membantu menurunkan paras glukosa darah dan paras HbA1C.
Satu lagi kajian yang menarik menunjukkan gymnema juga meningkatkan ketelapan membran sel-sel beta yang meningkatkan penghasilan insulin dalam kelenjar pankreas.
6. MULBERRI
Herba mulberri yang kaya dengan protin, serat, mineral dan vitamin C. Ia juga mengandungi sebatian trigonelline, glikoprotin moran A, moranoline dan morin yang mempunyai kesan antidiabetik. Kajian yang dijalankan di India menunjukkan daun mulberri yang diambil dalam pemakanan boleh menurunkan paras glukosa darah dan menurunkan paras HbA1C dikalangan pesakit diabetis.
Di samping itu kajian yang sama menunjukkan daun mulberri juga mempunyai kelebihan menurunkan tekanan darah tinggi, anti keradangan dan menurunkan suhu demam.
7. PEPPERMINT
Satu lagi herba yang menunjukkan kesan antidiabetik adalah peppermint yang banyak didapati di Brazil. Kajian menunjukkan peppermint juga mempunyai sifat antidiabetik dan mengawal paras kolesterol. Disamping itu ia juga boleh menenangkan minda dan membantu mengawal stres.
Dengan menggabungkan teh dengan pelbagai jenis herba-herba ini ia boleh menjadi satu bentuk minuman kesihatan tambahan atau suplemen yang baik membantu kita mengawal penyakit dan mengurangkan risiko komplikasi penyakit untuk mereka yang telah mengidap penyakit kronik ini.
Kredit: Dr Norman Mohd Norawi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang