BUKAN kecik punya penangan ya. Pandemik Covid-19 yang telah meninggalkan kesan yang amat besar terhadap ekonomi dan sistem kesihatan bukan sahaja di Malaysia, malah sedunia.

Rakyat Malaysia kini sedang menyesuaikan diri kepada kehidupan dalam kebiasaan baharu (new normal) dek wabak jahat itu.

Nampaknya, ia juga mengubah pandangan rakyat Malaysia terhadap penjagaan kesihatan diri. Lebih ramai rakyat Malaysia kini menggunakan teknologi kesihatan, mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan gaya hidup yang lebih sihat dan juga mula mempertimbangkan semula belanjawan mereka dalam persediaan untuk menghadapi kecemasan perubatan.

Bagi lebih memahami perubahan sikap dan tingkah laku rakyat dalam kebiasaan baharu ini, iMoney dan Prudential Malaysia telah menjemput Ketua Pelanggan dan Pemasaran Prudential Assurance Malaysia Berhad, Eric Wong; Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Feisul Idzwan Mustapha, ; serta Maggy Wang, bekas pengacara radio FlyFM dan pengasas Motion Lab, untuk menyertai panel perbincangan di mana mereka telah berkongsi pandangan dan trend tentang perubahan budaya kesihatan rakyat yang dilihat pada masa kini.

Panel jemputan yang berkongsi pandangan dan trend tentang perubahan budaya kesihatan rakyat yang dilihat pada masa kini.

 

Berikut perubahan ketara terhadap aspek kesihatan yang pasti ramai tak sangka akan berlaku dalam kalangan masyarakat kita:

1. Lebih Bergantung Kepada Teknologi Kesihatan

Sebagai pengganti kepada temu janji kesihatan secara fizikal, rakyat Malaysia kini lebih bergantung kepada perkhidmatan telekesihatan untuk keadaan kesihatan bukan kecemasan dan pertanyaan perubatan [Malaysia Telehealth Grows In Contactless World, CodeBlue, 8 June 2020].

Walaupun kebanyakan klinik pengamal perubatan am melihat hanya suku daripada jumlah pesakit yang biasa melawat, penyedia penjagaan kesihatan menyaksikan ramai orang kini lebih terbuka untuk menggunakan kemudahan digital dalam penjagaan kesihatan mereka, seperti perkhidmatan telekesihatan dan telerundingan.

Ini merupakan perubahan amat ketara dalam tingkah laku orang ramai berbanding hasil tinjauan yang dijalankan oleh iMoney dan Prudential awal tahun ini, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Kaji Selidik Kesihatan Malaysia (Malaysian Health Survey) mendapati 75 peratus daripada rakyat Malaysia yang ditinjau tidak pernah menggunakan khidmat Perundingan Doktor Dalam Talian (Online Doctor Consultation – ODC) sebelum ini.

Berdasarkan tinjauan yang sama, 69 peratus lebih memilih berjumpa doktor secara bersemuka, manakala 22 peratus tidak sedar akan adanya perkhidmatan sebegini. Dalam kajiannya baru-baru ini, Frost & Sullivan menganggarkan bahawa sektor telekesihatan akan berkembang sebanyak tujuh kali ganda menjelang 2025 – kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun sebanyak 38.2 peratus [Telehealth set for ‘tsunami of growth,’ says Frost & Sullivan].

Kata Dr Feisul, walaupun kes baharu Covid-19 telah mendatar dan mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam kita, pihaknya menjangka sebilangan rakyat Malaysia masih tidak akan mengunjungi klinik dan hospital selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir kerana risau dijangkiti virus Covid-19.

“Kami menjangka rakyat Malaysia akan terus menggunakan aplikasi penjagaan kesihatan untuk keperluan perubatan dan penjagaan diri.

“Kami sudah melihat peralihan ini dalam kedua-dua sektor awam dan swasta yang kini sedang melancarkan perkhidmatan dan aplikasi telekesihatan bagi memenuhi permintaan pasaran ini,” katanya.

Sementara itu, Eric berkata pihaknya melihat trend yang mana kesihatan digital kini bergerak melampaui rundingan transaksi telekesihatan ke arah penyelesaian kesihatan digital yang lebih holistik. Penunjuk bagi trend ini ialah minat yang semakin meningkat untuk aplikasi mudah alih ‘Pulse by Prudential’

Pulse adalah aplikasi kesihatan dan kesejahteraan yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang dibangunkan oleh Prudential. Ia menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan digital seperti pemeriksa simptom dan penilaian kesihatan, perundingan dengan doktor secara dalam talian, maklumat berkaitan kesihatan dan juga keupayaan menjejak kecergasan. Sejak Mac 2020, Pulse menyaksikan peningkatan ketara dari segi muat turun (lebih daripada 470,000) dan penggunaan (pengguna aktif bulanan meningkat dua kali ganda), kata Eric.

“Apabila kami melancarkan Pulse pada 2019, matlamat kami sehingga kini adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mampu dimiliki dan mudah diakses oleh semua orang.

“Dalam keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kami melihat semakin ramai orang beralih ke platform digital untuk menguruskan kesihatan mereka. Kami juga menggunakan Pulse untuk menyampaikan kandungan dan informasi yang berguna kepada pengguna kami, seperti perkembangan terkini mengenai Covid-19 dan menyediakan perlindungan khas Covid-19 percuma bukan sahaja kepada pelanggan kami, tetapi juga kepada mereka yang bukan pelanggan Prudential,” kata Eric lagi.

2. Persiapan Kecemasan Perubatan

Walaupun rakyat Malaysia mengelak daripada mengunjungi pusat perubatan untuk kes bukan kecemasan, mereka semakin sedar bahawa mereka perlu bersedia untuk kecemasan perubatan. Sebelum pandemik ini melanda, ramai rakyat Malaysia tidak bersedia menghadapi sebarang kecemasan perubatan.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 46 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai apa-apa bentuk perlindungan kewangan tambahan untuk keperluan penjagaan kesihatan mereka dan bergantung pada perlindungan penjagaan kesihatan yang dibiayai oleh kerajaan [National Health Morbidity Survey, National Institution of Health (NIH), Ministry of Health, 30 May 2020 ].

Pada masa yang sama, Kaji Selidik Kesihatan Malaysia mendapati bahawa sekiranya berlaku kecemasan perubatan, 1 dalam 4 rakyat Malaysia akan bergantung kepada keluarga dan rakan mereka untuk membantu menampung kos perubatan.

Menurut Eric, melalui penyelidikan pasaran yang dilakukan pihaknya baru-baru ini, terdapat beberapa sebab utama mengapa responden yang ditinjau tidak mempunyai insurans perubatan. Antara sebabnya termasuk mereka lebih cenderung terhadap penjagaan kesihatan awam, pergantungan pada insurans majikan dan insurans tidak dijadikan keutamaan kerana mereka tidak fikir akan jatuh sakit.

Iklan

Namun demikian, sebagaimana yang dilihat untuk Covid-19 dan penyakit kritikal, kecemasan perubatan boleh menimpa sesiapa sahaja, tambah Wong.

“Ketidaktentuan ekonomi semasa juga menunjukkan jurang besar dalam simpanan dan perlindungan kewangan. Rakyat Malaysia kini mula mengubah persepsi mereka terhadap insurans dan semakin sedar betapa pentingnya untuk memiliki perlindungan insurans.

“Apabila kami melancarkan Perlindungan Khas COVID-19 di Pulse, kami mencatat hampir 170,000 pendaftaran menerusi aplikasi tersebut,” Wong berkata.

3. Semakin Mengutamakan Kesihatan dan Kecergasan

Selain mengubah persepsi dan interaksi dengan perkhidmatan perubatan dan perlindungan insurans, rakyat Malaysia juga lebih prihatin terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Sejak bermulanya PKP, lebih ramai rakyat Malaysia telah memulakan perjalanan kecergasan mereka dan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan untuk produk berkaitan kesihatan.

Rakyat Malaysia memilih untuk bersenam di rumah bagi meneruskan amalan penjarakan sosial. Menurut Kaji Selidik Kesihatan Malaysia, 58 peratus daripada responden yang bersenam lebih gemar melakukan senaman di rumah.

“Walaupun diminati ramai, trend bersenam di rumah bukan suatu perkara baharu. Namun demikian, trend ini dijangka akan kekal selagi orang ramai terus mengamalkan penjarakan sosial. Di Motion Lab, kami melihat peningkatan 300 peratus penonton bagi kelas maya kami sepanjang tempoh PKP.

Iklan

“Berdasarkan data kami, kebanyakan ahli maya baharu kami jarang bersenam sebelum PKP, tetapi kini sedar akan keperluan untuk mengutamakan kesihatan mereka,” kata Maggy.

Dr Feisul turut menambah, “Kaji Selidik Kesihatan dan Tingkah Laku Sosial semasa PKP berikutan COVID-19 yang diterbitkan baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati walaupun 85.5 peratus responden mengamalkan gaya hidup kurang aktif, sebanyak 94.7 peratus bersetuju bahawa aktiviti fizikal perlu diamalkan semasa PKP.

Menurutnya, lebih menghairankan, kaji selidik ini turut mendapati 88.8 peratus responden berpendapat gaya hidup sihat telah membantu mereka menghadapi PKP dengan lebih baik.

Prudential Malaysia telah bekerjasama dengan iMoney dalam Kaji Selidik Kesihatan Malaysia untuk lebih memahami budaya kesihatan yang semakin berubah di Malaysia. Kerjasama ini juga menghasilkan sejumlah 12 artikel panduan mengenai kesihatan dan kewangan, yang diterbitkan oleh Pusat Pembelajaran iMoney Malaysia.

Buku panduan ini bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia untuk lebih bersedia dari segi kewangan dalam menghadapi kecemasan perubatan.

Pulse by Prudential boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.

###