SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA

MASYARAKAT sering terkeliru di antara kanser rahim dan kanser pangkal rahim. Ramai yang mengandaikan ia satu penyakit yang sama, sedangkan perbezaannya begitu ketara.

Bagi memberi pemahaman yang lebih jelas, SinarPlus menghubungi Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan, Prince Court Medical Centre, Dr Vigneswaran Ramakrishnan (gambar).

 

Terlebih dulu katanya, kanser rahim (uterus) juga dirujuk sebagai kanser endometrium, manakala kanser pangkal rahim merupakan istilah lain bagi kanser serviks.

Jelasnya, ujian pap smear yang biasa dilakukan adalah untuk tujuan saringan kanser pangkal rahim dan bukan rahim.

“Untuk kanser endometrium, biasanya disahkan melalui ujian pipelle (mengambil sampel dalam rahim melalui faraj) atau hysteroscopy dan curettage (kamera fibreoptic dimasukkan melalui faraj untuk melihat dalaman rahim sebelum mengambil tisu untuk sampel).

“Ia berbeza dengan kanser pangkal rahim (menggunakan ujian pap smear). Kini, ia telah ditambah baik dengan ujian HPV dan tiada gold standard iaitu saringan yang diiktiraf rasmi dan terbaik untuk kanser endometrium,” terangnya.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia baru-baru ini, SinarPlus akan mengupas lebih lanjut mengenai kanser endometrium yang dikatakan semakin banyak dideritai oleh wanita Malaysia di bawah usia 50 tahun.

Dr Vigneswaran yang juga Pakar Gineonkologi di pusat perubatan sama berkata, rahim merupakan bahagian berongga berbentuk buah pir di pelvis (bahagian bawah tulang belakang di hadapan dan tulang paha bersambung padanya) dan di situ pertumbuhan janin berlaku.

“Kanser rahim bermula daripada lapisan dalam rahim iaitu endometrium. Terdapat juga kanser rahim yang lain seperti sarcoma dan endometrial stromal sarcoma, tetapi kebanyakan kanser rahim adalah daripada lapisan endometrium,“ ujarnya.

Secara purata, ia berlaku dalam kalangan wanita berumur 60 tahun. 80 peratus daripadanya telah putus haid (menopaus). Kadarnya akan meningkat hingga usia 72 hingga 77 tahun.

Menurut Dr Vigneswaran, kanser endometrium mempunyai beberapa peringkat dengan menggunakan angka roman I hingga IV dan abjad abc dan nombor 1 dan 2 untuk penerangan yang lebih tepat.

Tahap I bermaksud kanser terhad kepada rahim. Tahap II (kanser telah sampai ke pangkal rahim), sementara tahap III dan IV memberitahu bahawa kanser telah merebak ke luar rahim.

Wanita bandar

Menyentuh mengenai statistik, pakar berkenaan berkata, data kanser dalam negara masih terlalu awal dan ada ruang untuk diperbaiki.

Bagaimanapun, merujuk informasi sedia ada, kadar kes dibandingkan dari tahun 2007 hingga 2011 dan 2012 hingga 2016.

Kanser serviks dilihat masih merupakan kes kanser ginekologi yang tertinggi di Malaysia, tetapi angkanya telah menurun lebih kurang 20 peratus. Pun begitu, bilangan kanser endometrium telah naik sebanyak 21 peratus.

“Jika diperhalusi, kebanyakan pesakit kanser itu terdiri daripada penduduk bandar yang terdiri daripada golongan M40 and T20.

“Malah, di negara maju seperti England sekarang, kes kanser ginekologi yang paling banyak adalah kanser endometrium,“ kongsinya.

Namun, beritahu Dr Vigneswaran, sejak kebelakangan ini, terdapat ramai wanita di bawah umur 50 tahun yang menghadapi kanser jenis itu.

Mengapa situasi berkenaan boleh tercetus? Menjawab persoalan tersebut, jelas beliau, ia adalah satu fenomena yang baharu dan mungkin tercetus disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya seperti masalah obesiti, penyakit kencing manis, darah tinggi, makanan yang tidak sihat atau penggunaan hormon dan antibiotik dalam haiwan penternakan untuk tujuan makan dan genetik.

Kurang bersenam, gaya hidup kurang aktif, pengambilan ubat hormon oestrogen dan tamoxifen, lewat mangandung atau mendapat kitaran haid pada usia yang sangat muda juga antara penyebabnya.

Lynch syndrom

Mengenai petanda seseorang boleh mendapat kanser rahim, Dr Vigneswaran berkata, secara amnya wanita yang telah menopaus dan mengalami pendarahan pada rahim atau tiba-tiba mendapat haid semula harus mengunjungi doktor dengan kadar yang segera.

Bagi mereka yang berusia lebih 35 tahun yang mengalami kitaran haid yang banyak atau kuantiti haid yang tinggi juga harus mendapat nasihat dan pemeriksaan untuk rawatan selanjutnya.

Tanda-tanda lain adalah kurang selera makan, hilang berat badan, sakit semasa haid, haid yang terlalu banyak, perut berasa kembung dan semakin membesar serta pengeluaran cecair yang berbau dari faraj.

Menyentuh tentang punca, pakar tersebut menjelaskan, kebiasaannya kanser endometrium dipercayai disebabkan oleh hormon estrogen yang tinggi untuk jangka masa yang lama.

“Contohnya wanita yang ‘datang bulan’ pada usia yang sangat muda dan wanita yang mendapat menopaus pada usia yang lambat,“ katanya sambil menambah, individu yang tidak mengandung atau mengandung pada umur yang lambat termasuk genetik juga mempengaruhi.

Kadar purata usia menopaus di Malaysia adalah sekitar 50 hingga 51 tahun.

Beritahu pakar berpengalaman itu lagi, terdapat satu sindrom dikenali sebagai Lynch syndrom. Sesiapa yang memilikinya mempunyai risiko mendapat kanser endometrium sebanyak 40 hingga 60 peratus, kongsi beliau.

Iklan

“Bagaimanapun kadar wanita Malaysia yang mempunyai sindrom tersebut amat jarang. Ujian molecular genetik boleh mengesannya, tetapi amat jarang dilakukan.

“Dengan ini juga kita akur mereka yang sihat dan tiada penyakit kronik juga digalakkan untuk berjumpa dengan doktor ginekologi mereka setahun sekali atau pada bila-bila masa jika mereka menghadapi keraguan,“ sarannya.

Pembedahan, radioterapi & kemoterapi

Bagi mengetahui bagaimana diagnosis dijalankan ke atas penyakit yang ditakuti itu, SinarPlus merujuk artikel bertajuk Kanser Uterus yang disiarkan oleh Cancer Council Victoria.

Menurut rujukan itu, doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal dan ultrasound di kawasan pelvis, tetapi diagnosis kanser rahim hanya boleh dibuat dengan mengeluarkan sampel tisu untuk diperiksa (biopsi).

Selepas kanser rahim didiagnosis, pesakit mungkin menjalani ujian darah untuk memeriksa kesihatan secara umum. Doktor juga boleh mengatur satu atau lebih ujian pengimejan seperti x-ray, imbasan Computed Tomography dan Magnetic Resonance Imaging untuk melihat sama ada kanser telah merebak ke luar rahim. Selain itu adalah imbasan PET iaitu pesakit akan disuntik dengan sedikit larutan glukosa untuk membolehkan sel-sel kanser kelihatan lebih cerah pada imbasan. Namun, ia bukanlah ujian rutin untuk kanser endometrium, tetapi mungkin disyorkan dalam kes tertentu,“ ujar mereka.

SinarPlus kembali mendapatkan Dr Vigneswaran untuk bertanya apakah rawatan terbaik untuk merawati kanser rahim? Jelasnya, kelazimannya ia melibatkan pembedahan, tetapi bergantung kepada peringkat dan jenis kanser. Ia mungkin disusuli dengan radioterapi dan kemoterapi.

“Pembedahan kebiasaannya termasuk membuang rahim, pangkal rahim, kedua-dua ovari dan tiub fallopian yang merangkumi organ-organ pelvis wanita dan juga noda limfa di bahagian kiri dan kanan untuk tujuan staging (peringkat).

“Bagi sesetengah kes, limfa para aortic, omentum (lemak dinding usus) dan apendiks dikeluarkan bergantung kepada ujian saringan histopathologhy,“ terang beliau.

Secara amnya, untuk kanser dalam rahim yang isipadunya kurang 50 peratus daripada ketebalan dinding rahim (myometrium), pembedahan sudah mencukupi.

“Sekiranya saiz tumor (kanser) lebih besar, pesakit memerlukan rawatan radioterapi. Jika ia telah merebak ke luar rahim dan menjangkiti limfa, maka rawatan kemoterapi diperlukan diikuti dengan radioterapi selepas pembedahan,“ ujarnya.

Kepada wanita muda atau masih ingin mengandung dan saiz kanser masih kecil, rawatan hormon dengan ubat progesteron dengan dos yang tinggi boleh dipertimbangkan untuk mengelakkan daripada rahim dibuang. Pun demikian, risiko dan keberkesanan ubat hormon progesteron yang tinggi harus difahami dan diteliti sebelum dimulakan, kata Dr Vigneswaran.

 

Iklan

Selepas moyang, ibu pula diserang kanser rahim tahap kronik

KANSER merupakan penyakit yang digeruni oleh sesiapa pun termasuk keluarga Siti Nur Aishah Ahmad, 42.
Ketika dihubungi, Siti Nur Aishah berkata, selepas moyangnya, kini penyakit itu diwarisi oleh ibunya yang mahu dikenali sebagai Zaiton, 70.

“Moyang saya meninggal dunia beberapa tahun selepas didiagnos kanser tahap III. Kini, ibu saya menderita kanser pada tahap sama.

“Seperti yang dikatakan oleh doktor, ia ada kena mengena dengan genetik. Ketika ibu buat pemeriksaan pap smear tiga tahun lepas, tiada sebarang tanda. Namun, selepas dia mengalami pendarahan teruk, doktor lakukan biopsi dan sah, dia alami kanser rahim,“ katanya.

Ujar Siti Aishah, mereka sekeluarga menyangkakan dengan menjalani pembedahan diikuti dengan radioterapi dan kemoterapi, ibunya akan pulih. Namun, apa yang boleh dikatakan sekarang, mereka berdoa dan mengharapkan yang terbaik.

“Walaupun ibu nampak tidak sihat, tapi semangat dia masih kuat. Kami harap dengan kecekalannya akan membuatkan dia hidup lama,“ katanya.

Dalam pada itu, Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan, Prince Court Medical Centre, Dr Vigneswaran Ramakrishnan memaklumkan, jangka hayat pesakit kanser rahim bergantung kepada peringkat kanser dan jenis kanser (jenis sel).

Kanser itu yang juga dikenali sebagai endometrium ujar beliau, terdiri daripada beberapa jenis sel. Contoh yang paling utama serius ialah adenocarcinoma kepada papillary serous, clear cell carcinoma, sarcoma dan banyak lagi.

“Justeru, jangka hayat biasanya diumumkan mengikut 5 Year Survival Rate atau kadar kehidupan untuk lima tahun.

“Bagi mereka dalam peringkat I, kadar kehidupan untuk lima tahun adalah 85 peratus, peringkat II (70 hingga 75 peratus), peringkat III (40 hingga 50 peratus) dan peringkat 4 (25 peratus).

“Huraian jelasnya, pesakit pada peringkat I, 85 peratus bermaksud secara amnya, dalam 100 orang, 85 pesakit masih hidup selepas lima tahun,“ ujarnya.