Bukan sahaja Covid-19, kebanyakan vaksin lain turut mempunyai dos penggalak - Pakar

baru (1)
baru (1)
A
A
A

SELAIN penyakit sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak yang sedang hangat dibincangkan, isu pengambilan dos penggalak terus menjadi agenda pendebatan.

Mengulas lanjut mengenainya, Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit, Pusat Pengajian Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa, Profesor Dr James Koh berkata, dos tambahan itu amat disyorkan selari dengan penyelidikan semasa.

 

Perkara tersebut ungkapnya, tidak sepatutnya mengejutkan kerana kebanyakan vaksin memang mempunyai dos penggalak.

"Misalnya, vaksin hepatitis B ada tiga dos suntikan yang mana dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak. Suntikan dos penggalak antitetanus pula sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun, manakala suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan diambil sekali setiap lima tahun.

Justeru, ia bukanlah hal yang unik untuk vaksin Covid-19. Kita mungkin kurang terdedah dengan vaksin dos penggalak dan pada masa sama, rakyat Malaysia juga tidak biasa mendapatkan vaksinasi," katanya sambil menambah, setiap daripada kita disarankan mendapatkan dos penggalak influenza setiap tahun, namun tidak ramai yang melakukannya.

Seperti yang sudah diketahui umum dan berdasarkan dapatan kajian antarabangsa, pada bulan ketiga, tahap peneutralan antibodi vaksin Sinovac kurang sebanyak 50 peratus. Pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan.

Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca pula, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam.

Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan suntikan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan kita untuk menghasilkan antibodi. Suntikan ini (dos penggalak) bukanlah pengakhiran, akan ada dos penggalak lain dan seterusnya. Kita tidak tahu banyak mana, tetapi yang pasti ini bukanlah yang terakhir,” kata beliau.

Dalam pada itu, terdapat isu apabila dua jenis vaksin dicampurkan. Pun demikian, ujar Dr James, bukti daripada beberapa negara yang sudah pun melancarkan sistem gabung dan padan vaksin menunjukkan hasil yang baik.

Sebagai contoh, kajian di Singapura mendapati, penurunan risiko jangkitan sebanyak 72 peratus apabila mencampurkan vaksinasi utama Pfizer dengan dos penggalak Moderna, berbanding 62 peratus sahaja bagi mereka yang mendapatkan suntikan Pfizer untuk suntikan pertama, kedua dan ketiga.

Pada persepsi pakar itu, semua orang digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tanpa mengira campuran kerana tidak mengambilnya adalah lebih berbahaya.

Bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti badan yang berkurangan seperti pesakit HIV/AIDS termasuk individu yang menjalani pemindahan organ atau pesakit barah, dos penggalak barangkali menjadi suntikan dos keempat, beritahu beliau.

Mengenai gelombang Omicron pula, kata Dr James, ia tiga kali lebih tinggi berkebolehan menjangkiti semula.

Maknanya, kita boleh dijangkiti berulang kali. Namun begitu, data setakat ini menunjukkan gejala bagi mereka yang dijangkiti varian ini adalah ringan dalam kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak mengalami gejala yang lebih berat. Ini berkemungkinan kanak-kanak itu belum divaksinasi,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca