TIDAK keterlaluan untuk dirumuskan, generasi muda pada masa kini kurang mengenali burasak yang merupakan salah satu menu popular pada Aidilfitri.

Biasanya, mereka hanya tahu kewujudan ketupat dan lemang.

Secara ringkasnya, burasak atau dipanggil sebagai buras merupakan sejenis makanan berasaskan beras yang biasanya dihidangkan dengan ayam masak lengkuas atau ‘likku’ dalam bahasa Bugis.

Salah seorang pembikinnya yang berasal dari Sabah, Wati Nurdin berkata, orang Sabah terutama dalam kalangan masyarakat Bugis biasanya menjadikan burasak sebagai sebagai hidangan pada setiap 1 Syawal.

Wati Nurdin.

Kepada SinarPlus Wati berkata, ramuan sajian tersebut sangat mudah iaitu hanya memerlukan beras, santan, garam dan daun pandan.

Bagi menghasilkan burasak yang asli dan tahan lama, ia mengambil masa lebih kurang empat hingga lapan jam untuk disediakan bergantung saiz yang dibentuk.

“Jika nipis dan kecil, cepatlah masak, tetapi jika sebaliknya pula, ia akan ‘menempuh’ tempoh rebusan yang lebih lama hingga mencecah 8 jam,” ujar suri rumah sepenuh masa itu.

Ujar Wati lagi, rahsia keenakan menu tradisi itu akan lebih menarik jika dimasak pada durasi masa yang lebih lama.

“Lagi lama, lagi sedap. Namun demikian, jangan alpa ketika burasak dimasak, pastikan air sentiasa ditambah agar tidak kering dan bagi mengelak burasak menjadi hangus,” katanya yang mempelajari memasak sajian itu daripada neneknya sejak berpuluh tahun lalu.

Untuk menghasilkan burasak yang sempurna, wanita itu berkongsi tip. Selain menggunakan santan segar, daun pisang perlu dipilih secara teliti.

“Sebelum membungkus, pastikan daun pisang tadi dijemur atau dilayur seketika di atas api agar ia tidak mudah terkoyak apabila dibalut.

“Biasanya saya akan bungkus burasak dengan dua lapisan iaitu daun pisang muda (di dalam) manakala daun pisang tua (di luar) bagi mendapatkan aroma bau yang sangat sedap,” katanya.

Ujar Wati, burasak yang berwarna putih kehijau-hijauan juga lazat dinikmati bersama rendang, serunding, sambal ikan tongkol atau asam pedas bergantung kepada cita rasa masing-masing.

RESIPI BURASAK

Iklan

Bahan-bahan burasak

  • 1 kilogram beras
  • 600 mililiter santan
  • Sedikit garam
  • 2 helai daun pandanBahan-bahan membungkus
  • Daun pisang secukupnya
  • Tali rafia

Cara penyediaan:

  1. Beras dicuci bersih lalu direndam seketika sebelum ditos dan diketepikan.
  2. Panaskan santan, masukkan daun pandan dengan api sederhana sehingga mendidih. Kemudian kecilkan api dan masukkan garam secukupnya.
  3. Setelah berubah warna, tuangkan santan panas tadi ke dalam beras sambil digaul sehingga sebati (dimasak seperti nasi lemak).
  4. Nasi yang telah siap dimasak bersama santan dan siap sedia untuk dibungkus.
  5. Sediakan pula daun pisang tua yang berukuran sebesar kertas A4 dan daun pisang yang muda yang bersaiz lebih kecil.
  6. Ambil sehelai daun pisang tua dan alas dengan daun yang muda, kemudian ambil nasi secukupnya dan letakkan di atas daun pisang tadi.
  7. Lipat dan padatkan bungkus seperti membungkus lepat pisang. Bungkus semua nasi sehingga habis.
  8. Setelah selesai proses membungkus, susun bertingkat-tingkat dan ikat dengan tali.
  9. Setelah itu, nasi yang telah dibungkus tadi direbus antara 4 ke 8 jam (mengikut saiz bungkusan).
  10. Setelah masak, angkat dan toskan airnya. Buka ikatan tali dan buang daun pisang. Burasak siap untuk dihidangkan.

Sumber: Wati Nurdin

RESIPI KUIH PULUT DAKAP KELANTAN

Iklan

Bahan-bahan

  • 300 gram pulut
  • 25 kuntum bunga telang
  • 350 mililiter air
  • 250 mililiter santan pekat
  • 2 sudu biasa gula pasir
  • 1/2 sudu kecil garam halus
  • 4 biji pisang abu (dibelah dua)
  • Daun pisang (untuk dibungkus)
  • Tali rafia (untuk diikat)

Cara penyediaan:

  1. Sediakan kesemua bahan-bahan.
  2. Rebus air dan bunga telang sehingga menjadi warna kebiruan.
  3. Angkat dan tapiskan. Biarkan sehingga sejuk seketika.
  4. Cuci pulut sehingga bersih. Kemudian, rendam dengan air bunga telang selama 2 jam.
  5. Toskan dan kukus pulut selama 30 minit. Seusai itu, angkat pulut dan masukkan ke dalam bekas.
  6. Panaskan santan, masukkan gula pasir dan garam sehingga larut.
  7. Tuangkan santan panas ke dalam pulut kukus. Kacau sebati sehingga meresap. Biarkan selama 10 minit.
  8. Layur terlebih dahulu daun pisang. Siapkan sehelai daun pisang dan letakkan pulut dan leperkan. Letakkan potongan pisang di tengahnya dan bungkus seperti lepat.
  9. Kemudian, dakapkan dua bungkus bersama dan ikat dengan tali dengan kemas.
  10. Kukus pulut dakap selama 25 minit.
  11. Angkat dan pulut dakap sedia dihidangkan.

Sumber: cookpad.com/@Jeehan_ Kitchen