Cegah Covid-19: Trend fesyen atau perlindungan kesihatan? Soal doktor USIM

June 24, 2020

SEKARANG ni di mana-mana pun kita boleh nampak ramai orang yang memakai face mask bukan? Nampaknya normal baharu mula dipatuhi.

Sejak wabak Covid-19 mula melanda dunia amnya dan Malaysia khususnya, ramai masyarakat kita yang mempunyai kesedaran untuk memakai topeng penutup hidung dan mulut atau ringkasnya hanya dipanggil topeng muka.

Iklan

Asbab pemakaiannya sudah tentulah bagi mencegah penularan dan jangkitan virus jahat itu.

Ironinya, pada saat pengguna dinasihati supaya menggunakan dan memakai face mask dengan kaedah yang betul, tidak kurang ramai yang membuat dan mengkomersialkan topeng muka yang diperbuat daripada kain atau DIY face mask.

Persoalan itu diulas oleh Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Radzniwan A Rashid dan Penyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Dr Nuruliza Roslan.

Iklan
Dr Mohd Radzniwan dan Dr Nuruliza.

Kedua-dua mereka turut mengemukakan cadangan tentang pemakaian topeng muka yang baik.

Berikut pandangan Dr Mohd Radzniwan dan Dr Nuruliza yang dikongsikan dengan SinarPlus:

Pemakaian topeng muka dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi suatu kemestian pada masa pandemik Covid-19 ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan saranan bagi pemakaian topeng muka sebagai salah satu langkah pencegahan utama selain menjaga jarak sosial, cuci tangan dan jaga kebersihan diri dalam langkah membendung Covid-19.

Ini disokong dengan banyak kajian yang telah membuktikan keperluan tersebut yang mana pemakaian topeng muka boleh mencegah si pemakainya daripada dijangkiti Covid-19.

Akan tetapi, topeng muka yang bagaimana yang perlu dipakai bagi memberi pencegahan dan perlindungan yang paling berkesan kepada si pemakai?

Pada masa ini terdapat pelbagai jenis topeng muka yang di jual di pasaran. Bagaimanapun, jenis topeng muka boleh dikelaskan secara kasarnya kepada “surgical mask” dan “non-surgical mask”.

“Surgical mask” pula dibahagikan kepada “N95 mask” dan “three ply surgical mask”. Kedua-duanya wajib dipakai terutama oleh para petugas kesihatan dan doktor yang secara langsung dan tidak langsung merawat pesakit Covid-19.

“N95 mask”, adalah topeng muka yang paling berkesan bagi mencegah pemakainya daripada terkesan dengan jangkitan Covid-19. Ini adalah kerana ia boleh menapis 95 peratus udara berpartikel saiz besar sehingga sekecil 0.3 microns. Atas dasar itulah namanya topeng muka N95 diberi.

Kajian menunjukkan bahawa partikel udara yang mengandungi Covid-19 bersaiz lebih besar daripada itu. Oleh yang demikian, udara yang disedut oleh pemakai N95 akan terhindar daripada menyedut partikel udara tersebut. Walaupun begitu, pemakainya perlu memastikan tiada rongga di sekeliling yang mana partikel tersebut boleh masuk semasa pemakainya menarik nafas.

Begitu juga dengan topeng muka “surgical mask” jenis “three ply surgical mask”. Ia juga dapat menapis partikal bersaiz yang sedikit besar daripada N95 yang menjadikan topeng muka N95 lebih baik lagi.

Yang bagusnya, topeng ini mempunyai lapisan yang diperbuat daripada bahan yang kalis air. Ia tidak mudah basah berbanding jenis topeng “non-surgical”.

Wajib untuk orang berisiko tinggi

Oleh yang demikian, pemakaian topeng muka N95 dan “three ply surgical mask” “wajib” dipakai oleh orang yang berisiko tinggi yang mana mereka banyak terdedah kepada pencermaran covid di udara.

Disebabkan ini juga maka orang awam yang kurang berisiko, dinasihatkan tidak memakai topeng jenis itu untuk mengelakkan isu kekurangan topeng tersebut di pasaran. Perkara ini telah banyak dibahaskan. WHO telah menyarankan penggunaan topeng muka jenis ini diberi keutamaan untuk dipakai oleh anggota barisan hadapan yang sedang berperang menentang wabak covid ini.

Risiko topeng jenis kain

Selain daripada dua jenis penutup muka yang telah dihuraikan di atas, terdapat satu lagi jenis topeng muka dikategorikan dibawah “non-surgical” yang semakin banyak dipasaran.

Bahan yang digunakan untuk membuat topeng ini terdiri daripada kertas, fabrik, span dan apa jua jenis kain sama ada berasaskan kapas atau tidak.

Topeng jenis kain adalah antara jenis yang paling popular yang mana kita dapati topeng jenis ini dilihat semakin menjadi pilihan dalam kalangan orang awam. Jualannya juga semakin meningkat di pasaran.

Semakin ramai pereka fesyen dan jenama pakaian terkemuka juga mula menghasilkan dan menjual topeng muka kain ciptaan mereka berdasarkan pelbagai corak dan warna pada kain tersebut. Di samping itu, topeng muka kain ini juga sebenarnya boleh dijahit sendiri dan memang ramai yang memakai topeng muka kain mereka buatan sendiri.

Tarikan lain yang menyebabkan ia menjadi semakin popular ialah topeng tersebut boleh dibasuh dan dipakai berulang kali. Ini semestinya memberi impak penjimatan wang kepada si pemakai lebih-lebih lagi di waktu pandemik Covid-19 dimana semua kegiatan ekonomi dilihat terbantut.

Berlainan dengan penutup muka N95 dan “surgical mask”, pemakaiannya perlu membelanjakan sejumlah wang untuk memilikinya, tetapi topeng ini hanyalah sekali dipakai dan hendaklah dibuang selepas itu.

Secara tidak langsung, pemakaian penutup muka kain ini juga sebenarnya membantu dalam pemeliharaan alam sekitar kita atau dianggap “eco-friendly”.

Topeng muka jenis kain atau DIY.

Topeng muka jenis “non-surgical” ini tidak begitu berkesan

Namun begitu, kajian saintifik menunjukkan bahawa topeng muka jenis “non-surgical” ini tidak begitu berkesan kerana ia tidak boleh menghalang covid-19 memasuki ruang pernafasan semasa menghirup udara kerana ia tidak berupaya menyekat partikal yang bersaiz kecil.

Begitupun, pemakaiannya adalah lebih baik kerana kajian menunujukkan apabila pemakai batuk atau bersin, udara tersebut tidak tersebar luas sehingga mengakibatkan “pencemaran” udara yang lebih ketara yang seterusnya dihirup oleh orang yang berdekatan.

Bagaimana pula dengan topeng muka yang mempunyai penapis? Adakah ia lebih berkesan?

Adalah dikhabarkan bahawa keberkesanan pemakaian topeng muka kain yang mempunyai penapis ini lebih baik daripada yang tiada penapis. Malah ada yang menyatakan bahawa ia hampir sama dengan “surgical mask”.

Oleh itu topeng muka kain yang mempunyai penapis adalah lebih berkesan atas sebab-sebab yang telah diterangkan dan harus menjadi pilihan hati pemakainya.

Bahan yang boleh dijadikan penapis topeng kain

Terdapat banyak jenis bahan yang boleh dijadikan penapis. Antaranya, beg kitar semula yang diperbuat daripada bahan polyester atau polypropylene, penapis HEPA yang boleh didapati dalam pendingin hawa dan beg vakum.

Bagaimanapun adalah diingatkan supaya mereka tidak memilih pelapik yang mempunyai bahan yang merbahaya seperti gentian kaca!

Yang penting juga penapik tersebut tidak tebal dan menyekat proses pernafasan sehingga menyukarkan pemakainya untuk bernafas.

Namun begitu, setakat ini belum ada kajian saintifik yang menyeluruh bagi membuktikan keberkesanan jenis penapis yang bagaimana yang paling selamat dan sekiranya berkesan, adakah ia setanding dengan “surgical mask” yang ada sekarang.

Persoalan seperti berikut juga perlu difikirkan oleh si pembeli sebelum memilih topeng jenis ini: Adakah penapis yang dijual itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan? Selamat digunakan? Memenuhi kriteria sebagai penapis yang sesuai untuk topeng muka?

Kesimpulannya walau apa pun jenis penutup muka yang dipilih, semuanya terpulang ke atas kesesuaian sang pemakainya.

Harus diingat kita sebagai pengguna apemakai perlu bertanggungjawab untuk mencari maklumat terbaik bagi memahami jenis-jenis penutup muka yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Dalam pada kita rakus untuk melakukan dan memberikan yang terbaik kepada diri sendiri serta keluarga sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19, melalui pemakaian topeng muka, masyarakat seharusnya beringat untuk memastikan bahawa penutup muka yang dibeli harus mengikut garis panduan daripada WHO.

Isu topeng dibuang merata

Perkara penting yang seringkali kita lalai ialah kemanakah topeng yang telah dipakai itu perlu dibuang. Isu pelambakan topeng muka yang telah dibuang merata-rata juga menjadi ancaman kepada alam sekitar.

Di kesempatan ini, kami ingin mewar-warkan bahawa USIM sedang mengambil langkah untuk menyebarkan kesedaran kepada orang awam bukan sahaja tentang kepentingan penggunaan topeng muka, malah cara yang bagaimana pembuangan topeng muka tersebut perlu dilupuskan.

Kempen yang dinamakan #USIMjagasemua ini diharapkan dapat menyahut usaha kerajaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terjaga dengan baik, di samping menjaga kesihatan yang wajib diamalkan oleh semua.

Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A Rashid
Dr Nuruliza Roslan
Universiti Sains Islam Malaysia
Kempen #USIMjagasemua