SETELAH lebih setahun berperang dengan wabak Covid-19, akhirnya vaksin yang menjadi sinar harapan dalam menangani pandemik itu tiba di bumi Malaysia pada 21 Februari lalu.

Tanggal 24 Februari pula menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya.

Antara yang turut terawal menerima vaksinasi ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di samping rakyat Malaysia yang gembira dengan program tersebut, kebanyakan pemain industri turut menarik nafas lega kerana mereka yakin ia dapat memulihkan ekonomi negara ini dan seterusnya mampu mengembalikan kehidupan seperti sediakala.

Berdasarkan rekod, Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin Covid-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Semua yang layak menerima vaksinasi digalakkan untuk mendaftar dan harapan itu turut disuarakan oleh Perdana Menteri sendiri kerana ia penting untuk memastikan Malaysia mencapai sasaran membentuk imuniti berkelompok.

Namun, berdasarkan data kajian Covid-19 World Symptom Survey yang dikendalikan Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, kadar responden dari negara ini yang sanggup divaksinasi adalah sebanyak 74.39 peratus sahaja setakat 6 Februari lalu.

Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia pula dilihat masih ragu-ragu dan berpendirian atas pagar sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin Covid-19.

Ujian klinikal  

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, kegusaran dalam kalangan masyarakat perlu ditangani segera dengan memberi maklumat secara berterusan supaya dapat memupuk pemahaman mengenai kepentingan vaksin.

Menurut beliau, kerajaan sudah menyediakan pelbagai platform untuk mendidik dan memberi maklumat sahih kepada orang ramai tentang vaksin bagi meyakinkan mereka bahawa ia selamat dan tidak memudaratkan kesihatan mereka.

“Buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, portal-portal rasmi dan maklumat daripada kementerian serta agensi berkaitan merupakan platform terbaik untuk rujukan tentang vaksin,” katanya ketika menjadi panel dalam Program Webinar Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi Covid-19′ baru-baru ini.

Beliau menambah, faktor lain yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini adalah aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanannya, selain status halal terhadap vaksin itu.

“Namun, Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menjalankan ujian dan penyelidikan dengan rapi sebelum memberi kelulusan.

Begitu juga dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengesahkan vaksin adalah halal.

“Keberkesanan setiap jenama vaksin adalah berbeza dan masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan bagi kegunaan dalam keadaan tertentu. Semuanya perlu didaftarkan di bawah NPRA terlebih dahulu.

“Tidak semudah itu NPRA menerima apa-apa vaksin masuk ke dalam negara, walaupun vaksin sudah diluluskan oleh pihak dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun apabila mahu masuk ke Malaysia, ia tidak semestinya akan diluluskan serta-merta tanpa menjalankan penyelidikan terlebih dahulu,” tegasnya.

Sementara itu, Pakar Ortopedik, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Dr Muhamad Aizat Mohamed Saat pula berkata, bukan semua penerima vaksin akan menunjukkan kesan sampingan dan jika ada pun, ia adalah minimum.

“Mereka tidak perlu risau kerana selepas menerima vaksin, setiap penerima akan dipantau rapi menerusi aplikasi MySejahtera. Pada masa sama, kerajaan turut menubuhkan satu jawatankuasa pakar khas yang bertanggungjawab meneliti kesan sampingan selepas divaksin.

“Namun demikian, jika mereka mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin ataupun sedang dalam medication, mereka disarankan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan vaksin,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesan sampingan yang dialami ini adalah seperti tanda-tanda seseorang mendapat jangkitan selesema. Namun, akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas disuntik dan ia hanyalah kesan sampingan yang bersifat ringan.

“Sebenarnya, kesan sampingan yang dialami ini adalah tanda bahawa tubuh badan anda sedang bertindak balas selepas menerima suntikan vaksin dan menunjukkan bahawa sistem imun anda berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurut Dr Muhammad Aizat, bagi penghidap penyakit tidak menular (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka juga tidak perlu risau terhadap kandungan vaksin yang mungkin menjejaskan kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.

“Kandungan gula dan garam dalam vaksin itu sangatlah minimum dan ia adalah perlu dalam vaksin bagi mengekalkan kandungan dalam vaksin tersebut, ia tidak akan meningkatkan kandungan gula dan garam dalam tekanan darah mereka apabila divaksinasi,” jelasnya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Pusat Dialisis Lestari, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad, Prof Madya Dr Mohamed Saat Ismail berkata, memandangkan pesakit mereka adalah golongan berisiko tinggi, pihaknya akan memastikan setiap individu mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mendapatkan vaksin.

“Pemantauan rapi harus dilakukan sekiranya mereka dibenarkan untuk mendapatkan vaksin kerana pada masa yang sama mereka juga turut mengambil ubat-ubatan dan menjalankan rawatan dialisis, selain kesan-kesan sampingan selepas vaksin.

“Selain itu, kami juga turut akan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin Covid-19 bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko itu,” katanya.

-Bernama

ANEKDOT

Ia dilaksanakan secara berperingkat terbahagi kepada tiga fasa, dan akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama (Februari-April 2021) melibatkan:

Iklan

a) Kumpulan Utama 1 iaitu petugas barisan hadapan (merangkumi petugas kesihatan kerajaan dan swasta).

b) Kumpulan Utama 2 iaitu petugas barisan hadapan (perkhidmatan penting dan pertahanan). Kedua-dua kumpulan ini melibatkan anggaran 500,000 orang.

Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula dibahagi kepada dua kumpulan iaitu:

a)Kumpulan Utama 1 (baki kakitangan penjaga kesihatan, perkhidmatan penting dan pertahanan.

b) Kumpulan utama 2 (warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya). Kumpulan ini melibatkan sekitar 9.4 juta orang.

Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022) melibatkan penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara).

Keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau. Anggaran sasaran 13.7 juta orang atau lebih.