KETIKA dunia masih berdepan dengan Covid-19, siapa yang tidak khuatir berada di tempat orang ramai seperti untuk menaiki pengangkutan awam ketika. Sudahnya sebagai langkah keselamatan, mereka lebih gemar memandu kenderaan sendiri.

Hasil tinjauan melibat 318 orang responden oleh WapCar, lebih 90 peratus rakyat Malaysia khuatir untuk menaiki pengangkutan awam ketika Covid-19 sedang menyerang. Buktinya, 58 peratus daripada responden mengatakan tidak akan menaiki pengangkutan awam buat masa ini dan 33 peratus lagi akan mengelak jika diberi pilihan.

Pada masa yang sama, kajian tersebut turut menyokong trend jualan kereta dan permintaan kereta terpakai di Malaysia yang menunjukkan peningkatan pada bulan Jun. Baru-baru ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan pada Jun 2020 telah meningkat 5 peratus berbanding Jun 2019.

Orang ramai dalam situasi sukar

Hasil kajian menunjukkan seramai 57.9 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak akan menaiki pengangkutan awam pada masa ini. Seramai 32.7 peratus tetap akan menggunakan pengangkutan awam walaupun mereka khuatir tentang keselamatan mereka atas risiko jangkitan Covid-19.

HASIL tinjauan responden.

Lebih berhemah, model kereta berpatutan adalah pilihan terkini

Kajian oleh WapCar menyokong laporan dari MAA yang mengatakan trend jualan kereta lebih cenderung kepada kereta yang berpatutan dan jimat minyak. Hampir 47 peratus daripada responden memilih untuk berbelanja kurang daripada RM100,000 untuk pembelian kereta seterusnya.

Seramai 83 peratus daripada responden pula bersetuju bahawa harga dan diskaun adalah faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan mereka dalam pembelian kereta sewaktu musim pandemik ini. Pengecualian cukai jualan oleh kerajaan dijangka akan membantu meningkatkan industri automotif serta merupakan suatu usaha yang baik dan sesuai dengan keperluan rakyat pada masa ini.

Data menunjukkan dalam tempoh 9 Mac sehingga 30 Jun 2020, terdapat peningkatan carian bagi model yang praktikal dan harga berpatutan, sebagai antara bukti bahawa orang ramai berhemah dalam perbelanjaan.

Spesifikasi dan prestasi kereta dan ketahanan serta penjimatan minyak kereta juga adalah faktor penting. Di antara 10 kereta paling dicari di Malaysia, sembilan daripadanya mempunyai harga permulaan di bawah RM100,000.

Sembilan model tersebut adalah Honda City, Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Axia, Perodua Aruz, Proton X50, Proton X70, Proton Saga dan Toyota Vios.

Iklan

Jenama kereta perlu tingkatkan servis khidmat pelanggan

Kajian menunjukkan bahawa 70 peratus daripada responden bimbang dengan keadaan ekonomi dan kebimbangan ini telah mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli kereta baharu. Tambahan lagi, hampir 50 peratus daripada mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja dan lebih suka menyimpan untuk kecemasan daripada berbelanja untuk barang mahal seperti kereta dalam tempoh enam bulan akan datang.

Majoriti daripada responden sukakan kemudahan yang tidak memerlukan mereka untuk berada di bilik pameran kereta. Selain dari bilik pameran atas talian dan kemudahan penyelesaian kewangan atas talian, lebih 59 peratus daripada responden mengatakan pandu uji dari rumah dan penghantaran kereta terus ke pelanggan adalah antara servis yang mereka mahukan dari jenama kereta.

Iklan

Kemajuan teknologi dan keperluan untuk penjarakan fizikal telah meningkatkan minat untuk membeli kereta atas talian yang dibantu dengan Realiti Maya (VR) atau Realiti Terimbuh (AR) untuk pandu uji secara maya dan secara langsung.

Hasil kajian ini tepat pada masanya untuk WapCar sebagai sebuah hab kandungan automotif di mana baru-baru ini mereka telah memperkenalkan VR Showroom, sebuah ciri interaktif dan berlandaskan teknologi yang membolehkan pelanggan melihat luaran dan dalaman kereta secara 360 darjah di mana-mana dan bila-bila sahaja.

Sumber: Hasil tinjauan WapCar 2020