RAMAI antara kita yang kadangkala sering ‘memandang serong’ dengan panadol atau paracetamol. Buktinya, baru-baru ini tular posting di Facebook mengatakan ‘elak makan panadol atau pain killer’ buat mereka yang diserang sakit kepala.

“Bila sakit kepala, ubat-ubatan ni bukan tak elok. Memang boleh hilangkan sakit kepala, tapi boleh juga buat kita ketagih, ketagih maksudnya bila sakit mesti kena ambil, so tak elok sebenarnya, cuba kita kawal,”.

Kata Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali, kenyataan itu hanyalah satu mitos.

“Pengambilan panadol untuk sakit kepala menyebabkan ketagihan itu tidak benar.

“Sebenarnya, panadol atau paracetamol turut dipanggil ubat KK adalah acetominephan yang digunakan secara meluas dalam perubatan sebagai ubat tahan sakit dan juga ubat demam, ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai itu, panadol boleh ditemui dalam bentuk biji, sirap, suppositori dan juga suntikan.

“Secara amnya, paracetamol diambil melalui oral, diserap oleh usus dan diproses pada hati.

“Ubat ini mempunyai jangka hayat dalam dua hingga tiga jam sahaja di dalam badan,” ulasnya.

Oleh itu, ubat berkenaan selamat digunakan dalam kebanyakan keadaan.

Kembali kepada sakit kepala. Pertama sekali, perlu diketahui ada banyak punca boleh menyebabkan sakit kepala.

Iklan

Antaranya adalah:

  • stres
  • masalah kesihatan seperti darah tinggi
  • masalah mata seperti rabun atau jangkitan
  • masalah sinus
  • barah otak
  • migrain
  • anxiety
  • panadkurang tidur

“Semua masalah di atas boleh dirawat. Sakit kepala secara amnya berpunca daripada keadaan sekeliling kita seperti stres, kurang tidur atau anxiety yang mana boleh dikurangkan kesakitannya dengan cara rehat. Tidur yang mencukupi, pemakanan yang sihat, kekalkan hidrasi badan dan melakukan aktiviti ringan seperti yoga,” jelasnya.

Pun demikian, setiap orang mempunyai perbezaan ketahanannya kepada sakit.

Iklan

“Ada orang boleh tahan sakit dan ada yang tidak dapat tahan. Oleh sebab itulah, datangnya kegunaan paracetamol sebagai ubat tahan sakit yang boleh diambil secara berkala dan selamat,” kata Dr Mohamad Suaidi ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Apabila kita ada alternatif untuk menghilangkan kesakitan kenapa perlu untuk menderita menanggung sakit? Betul kan?
Bukan mudah bekerja dalam keadaan sakit kepala… Seandainya selepas makan ubat, sakit kepala masih ada atau berlarutan, segeralah dapatkan nasihat doktor.

“Sekali lagi saya tegaskan, pengambilan paracetamol tidak menyebabkan ketagihan kerana ia dinyah aktifkan oleh hati kita. Jangka hayatnya hanya sekitar dua hingga tiga jam sahaja,”.