BUBUR lambuk merupakan salah satu sajian wajib yang paling dicari tatkala Ramadan menjelma.

Pun demikian, di setiap negeri, cara penyediaan masakan itu berbeza-beza. Paling ketara adalah di Terengganu.

Kepada SinarPlus, Nor Kamariah Mohd Hasan yang sangat mahir membuat menu tradisi itu berkata, berbanding dengan tempat lain, Bubur Lambuk Terengganu menggunakan dua bahan utama iaitu isi ikan dan gabungan pelbagai ulam-ulaman atau dipanggil sebagai daun kayu yang membangkitkan aroma.

Daun kayu itu lazimnya terdiri daripada pucuk midin, pucuk ubi, daun kaduk, pucuk serai kayu dan lain-lain lagi.

“Berbeza dengan bubur lambuk dari negeri utara, Bubur Lambuk Terengganu bergantung kepada rasa rempah dan bahan-bahan sampingan lain seperti telur masin.

“Namun paling penting adalah penggunaan daun kayu dan jenis ikan. Jika bahan-bahan itu tidak diambil dengan nisbah yang seimbang, ia boleh menenggelamkan rasa asli bubur yang dimasak,” kata wanita yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu.

Nor Kamariah.

Berkongsi tip menghasilkan bubur yang sedap dan tahan lama, Nor Kamariah berkata, ikan sardin dan kerisik yang digunakan mesti bersih dan segar.

“Ikan sardin akan membuatkan bubur lambuk menjadi manis dan pekat selain campuran pelbagai daun kayu yang menaikkan aroma bubur,” ujarnya yang mempelajari kulinari itu daripada ibunya, Jamilah Deraman, namun telah mengubah suai sedikit dari segi penggunaan daun kayu.

Beritahu Nor Kamariah, beliau sekeluarga memang gemar menikmati Bubur Lambuk Terengganu terutamanya ketika berbuka puasa.

“Itulah menu wajib kami sehinggakan adik saya yang tinggal di Perak juga akan meminta juadah yang sama apabila berkunjung ke rumah,” katanya.

Sebelum melabuhkan tirai perbualan, ibu kepada lima cahaya mata itu berharap generasi muda memelihara keunikan masakan tradisional orang zaman dulu kala.

“Bagi mereka, resipi warisan turun-temurun ini tak penting, tetapi hakikatnya, ia menjadi lambang identiti sesuatu bangsa dan kaum,” ungkapnya.

Resipi Bubur Lambuk Terengganu

Bahan-bahan bubur

Iklan
  • 200 gram beras
  • 1500 mililiter airBahan-bahan ikan
  • 1/2 kilogram sardin
  • 1 liter airBahan-bahan perisa
  • 1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
  • 5 biji bawang merah dikisar
  • 3 ulas bawang putih dikisar
  • 1 inci halia dikisar
  • 1 sudu besar kerisik
  • 2 batang serai
  • 1 sudu besar budu
  • Sedikit garam (jika perlu)Bahan-bahan daun kayu
  • Pucuk midin
  • Cekur manis
  • Pucuk kaduk
  • Pucuk ubi
  • Pucuk serai kayu
  • Pucuk gambas
  • Daun kesum
  • Daun kunyit

Cara penyediaan:

  1. Rebus ikan sardin bersama air dalam periuk. Asingkan isi ikannya.
  2. Kemudian, dalam periuk berbeza, sediakan bubur menurut sukatan diberi.
  3. Kacau sesekali untuk elakkan bubur melekat pada periuk.
  4. Bawang merah, bawang putih dan halia dikisar lalu dimasukkan ke dalam bubur.
  5. Seusai itu, masukkan lada hitam, aneka daun kayu dan kacau rata.
  6. Perisakan dengan budu atau garam secukupnya.
  7. Bubur lambuk Terengganu siap untuk dihidangkan sebagai menu berbuka puasa.

Sumber: Nor Kamariah Mohd Hasan

ANEKDOT

RESIPI BUBUR ANAK LEBAH        

Iklan

Bahan-bahan

  • 100 gram tepung gandum
  • 100 gram pulut
  • 2 titis pewarna hijau
  • 2 titis pewarna merah
  • 100 gram gula pasir
  • 250 gram santan
  • 600 gram air
  • 1 helai daun pandan (disimpul)
  • 1/2 sudu sudu teh garam

Cara penyediaan:

  1. Jerang air di dalam periuk sehingga menggelegak.
  2. Sementara itu, untuk membuat anak lebah, gaulkan tepung gandum bersama garam dan sedikit air sehingga menjadi doh.
  3. Cubit sedikit doh tadi dan gentel-gentelkan.
  4. Seusai itu, masukkannya ke dalam air yang telah menggelegak tadi (proses ini diulang sehingga habis doh adunan).
  5. Tunggu sehingga tepung timbul dan terapung di permukaan air.
  6. Setelah itu masukkan gula, garam dan daun pandan yang telah disimpulkan.
  7. Kacau sebentar dan masukkan santan pekat. Apabila kuah telah menggelegak dan menjadi pekat, tutup api lalu diketepikan buat sementara waktu.
  8. Gaulkan garam pada pulut kemudian bahagikan kepada dua bahagian.
  9. Titiskan pewarna merah dan hijau serta gaulkan rata lalu dikukus sehinga pulut masak.
  10. Apabila sejuk, curahkan kuah santan yang telah dimasak tadi.Bubur anak lebah sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Facebook Miss Nsyaabdul