DIABETES atau lebih ‘mesra’ dengan panggilan penyakit kencing manis merupakan penyakit jangka masa panjang yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi.

Insulin merupakan hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan membenarkan gula masuk ke dalam sel-sel. Dengan itu, ia akan menurunkan paras gula dalam darah.

Diabetes bukan penyakit biasa-biasa ya. Ia dianggap sebagai salah satu penyakit kronik serius yang boleh menimbulkan pelbagai kerumitan atau maut jika tiada langkah pencegahan ataupun rawatan susulan diambil.

Berdasarkan statistik, seorang daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berusia lebih daripada 18 tahun di Malaysia telah disahkan menghidap diabetes atau kencing manis.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pula, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3 peratus pada tahun 2019 berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Lihat, betapa penyakit diabetes menjadi satu masalah kesihatan yang serius dalam kalangan rakyat Malaysia.

DR Azhari.

turut difahamkan, bilangan yang didiagnos dengan masalah itu semakin meningkat dari hari ke hari.

Mengulas lebih lanjut mengenainya, Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr Azhari Rosman berkata, pola peningkatan penyakit berkenaan sangat membimbangkan walaupun banyak kajian yang menunjukkan bahawa diabetes jenis 2 boleh dicegah.

Antara faktor penyumbang kepada peningkatannya adalah disebabkan masalah berat badan!

“Gaya hidup kurang sihat seperti diet yang kurang baik, kurang cergas dan tidak mengambil langkah pencegahan adalah sebab-sebab mengapa seseorang mudah menghidap diabetes,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Novo Nordisk Mengubah Diabetes di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Dr Azhari lagi, diabetes juga boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidap.

Kerumitan itu antara lain termasuk strok, buta, kegagalan buah pinggang, amputasi (pemotongan) anggota badan dan penyakit kardiovaskular.

“Orang yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.

“Pesakit perlu mendapatkan bantuan kerana statistik mendapati bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian 80 peratus antara mereka yang menghidap diabetes di Malaysia.

“Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular pada usia yang lebih muda,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, jika pesakit tidak mengurus penyakit mereka, paras gula darah tinggi boleh menyebabkan plak terkumpul seterusnya akan akan menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung.

Artikel berkaitan: Awas penyakit hati sukar dikesan, kawal pengambilan gula

Iklan

“Keadaan itu akan menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian,” ujarnya.

Boleh dicegah

Sementara itu, Pakar Runding Endokrinologi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Chan Siew Pheng turut melontarkan pandangannya.

Katanya, pencegahan merupakan salah satu aspek penting untuk mengurangkan beban penyakit.

“Namun, berita baiknya, masalah diabetes ini boleh dicegah dengan beberapa cara,” katanya.

DR Siew Pheng.

Berikut adalah teknik-teknik yang boleh diaplikasi:

i) Pengurusan yang sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan lipid.

Iklan

ii) Amalkan gaya hidup lebih sihat dengan bersenam dengan kerap.

iii) Memantau paras glukosa darah dan mengambil ubat preskripsi sekiranya perlu.

Ujar Dr Siew Pheng, pengurusan dan cara menangani penyakit diabetes sudah berkembang maju.

“Rawatan diabetes juga terus bertambah baik iaitu daripada pengambilan rawatan beberapa kali dalam sehari kepada pengambilan rawatan hanya sekali seminggu.

“Terdapat juga inovasi rawatan baharu yang disediakan di pasaran seperti kelas ubat suntikan GLP-1 RA yang bukan sahaja boleh mengurangkan paras glukosa darah, tetapi juga membantu menguruskan kerumitan lain berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular dan kegemukan,” tambahnya.