RAMAI dalam kalangan kita yang ‘alergi‘ dengan susu. Bukan kerana minuman itu menyebabkan kesihatan mereka terganggu, tetapi disebabkan rasa loya dan mual.

Biasanya, jika seseorang ‘alah‘ dengan susu sejak dari zaman kanak-kanak, perilaku itu akan terbawa-bawa sehingga dewasa.

Sedangkan, susu mempunyai nutrisi penting yang mampu menjaga organ tubuh agar tetap berfungsi dengan baik, di samping melindungi daripada serangan penyakit.

Ingat susu bukan hanya untuk bayi dan kanak-kanak sahaja!

Berdasarkan satu kajian sahih, pengambilan susu di Amerika Syarikat didapati telah menurun sebanyak 6 peratus sejak tahun 2015 lagi. Puncanya, rakyat di sana lebih gemar kepada makanan jenis vegan tanpa laktosa, produk bebas tenusu dan berasaskan tumbuhan sahaja.

Pun demikian, di Malaysia tiada data nasional yang boleh dikongsi.

Sempena Hari Susu Sedunia yang disambut baru-baru ini, SinarPlus akan mengupas lanjut mengenai topik ini bersama Pakar Dietetik, Nutrifit 365 dari Johor Bahru, Johor, Siti Amirah Sujali.

Siti Amirah.

Siti Amirah menjelaskan, terdapat banyak jenis susu yang dijual di pasaran. Namun, semuanya bergantung kepada jenama dan kualitinya tersendiri. Berikut antara jenis susu dan penerangannya:

1. Susu penuh krim.Susu yang mempunyai kandungan kalori yang tinggi kerana kandungan lemak yang agak banyak. Secara puratanya, terdapat 10 ke 15 gram (g) per sajian. Sangat sesuai untuk kanak-kanak, individu yang mengalami indeks jisim tubuh (BMI) yang rendah dan juga warga emas bagi menambah kalori dalam keperluan harian mereka.

2. Susu rendah lemak.Pemilihan susu rendah lemak sesuai untuk mereka yang mempunyai BMI yang berlebihan, obes, mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, penyakit kencing manis, kolesterol dan darah tinggi.

3. Susu skim.Ia merupakan pilihan yang lebih sihat untuk individu yang ingin menurunkan berat badan. Sesuai juga untuk mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan darah tinggi.

4. Susu berperisa.Susu jenis itu biasanya dicampur dengan bahan tambahan seperti gula, bahan perisa, pewarna dan juga kondisioner makanan yang dibenarkan.

5. Susu kambing.Susu kambing mempunyai kandungan kalsium dan protein yang lebih tinggi sedikit jika dibandingkan dengan susu lembu. Kebiasaannya, ia menjadi pilihan oleh golongan yang mempunyai masalah intoleransi laktosa dan mereka yang mengamalkan diet vegan.

Ujar Siti Amirah, sejak beribu tahun lamanya, susu telah lama dianggap sebagai minuman yang sihat dan memberi manfaat kepada peminumnya.

Antara faedah-faedah yang dimiliki jika meminumnya secara konsisten:

a) Susu kaya dengan nutrien.

  • Susu mempunyai kandungan mineral dan vitamin yang bagus untuk tubuh badan seperti kalsium, magnesium, fosforus, zat besi, potasium, zink, vitamin A, vitamin K, vitamin B dan vitamin D.
  • Kalsium merupakan mineral yang sangat penting untuk membantu dalam pembentukan tulang (mengelak osteoporosis), gigi yang kuat dan sihat.
  • Vitamin D pula merupakan vitamin larut lemak yang dapat membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat. Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan.

b) Sumber protein yang baik.

  • Membantu untuk tumbesaran, mengekalkan dan memperbaiki sistem pertahanan tubuh yang baik, menggantikan tisu-tisu yang rosak ataupun tercedera.
  • Mengurangkan risiko dan jangkitan kuman serta dapat membantu mencapai berat badan yang normal.
  • Kekurangan pengambilan protein seperti susu dalam pemakanan seharian boleh menyebabkan kehilangan jisim otot, kesihatan terganggu dan badan mudah berasa letih.

c) Mengandungi sterol tumbuhan.

  • Fungsinya bagi membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
  • Sterol tumbuhan merupakan molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol daripada diserap ke dalam darah.

d) Memberi tenaga yang optimum.

  • Segelas susu yang diminum mampu memberikan tenaga lebih kurang 150 kalori. Susu mempunyai beberapa jenis dan setiap jenis susu menyumbang kepada jumlah kalori yang berbeza untuk segelas susu.

Bantu kurus

Kepada SinarPlus, kata Siti Amirah, secara umumnya, tiada masa yang spesifik yang disarankan, namun jika susu diminum pada waktu pagi, seseorang akan menjadi lebih produktif. Sementara, pengambilan pada waktu malam pula membantu seseorang tidur lebih lena.

“Susu mengandungi amino asid yang bernama tryptophan yang mendorong kita untuk tidur dan mengandungi melatonin (hormon) yang membantu mengatur kitaran tidur dan bangun seseorang,“ beritahunya.

Mengulas mengenai susu sebagai sumber protein yang baik seperti yang diperkatakan oleh Siti Amirah, kami berkongsi hasil penyelidikan yang diterbitkan oleh American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2010.

Berdasarkan kajian yang diketuai Danit R. Shahar itu, golongan dewasa yang menikmati sebanyak 580 miligram kalsium setiap hari kehilangan kira-kira 5.44 kilogram selepas enam bulan. Tahap vitamin D yang lebih tinggi dalam darah juga dikaitkan dengan penurunan berat badan yang berjaya.

Iklan

Pandangan Shahar turut dipersetujui oleh Pengarah Program Pengurusan Berat, Hospital Miriam, Rhode Island, Amerika Syarikat, Vincent Pera.

“Susu adalah sumber vitamin D yang hebat dan juga menggantikan makanan lain yang lebih tinggi lemak dan kalori. Saya semakin yakin bahawa terdapat sesuatu yang bermanfaat mengenai vitamin D dalam mengatur berat badan seseorang,“ katanya.

Dalam pada itu, laman web ndtv.com melaporkan, dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2004 menyaksikan, individu yang mengikuti diet rendah kalori iaitu menggunakan tiga hidangan produk tenusu setiap hari, kehilangan berat badan lebih banyak.

“Malah, sejumlah penyelidikan telah menyimpulkan bahawa mereka yang mengikuti diet tinggi susu cenderung mempunyai pengurusan berat badan yang lebih baik. Pengambilan kalsium dalam jumlah yang cukup juga didapati dapat mengurangkan risiko kegemukan, sindrom metabolik, diabetes tahap 2 termasuk penyakit kardiovaskular,“ katanya.

Ibu hamilBagaimana pula dengan ibu hamil? Menjawab pertanyaan itu, Pegawai Dietetik, Hospital Columbia Asia, Seremban, Negeri Sembilan, Hoormila Sagar terlebih dahulu berkata, susu atau sebarang produk tenusu sangat berkesan untuk mendorong pertumbuhan janin dan ukuran kelahiran neonatal.

Hoormila.

Katanya, kajian Achon pada tahun 2019 meringkaskan beberapa penyelidikan tentang kesan dan kaitan penggunaan susu ibu termasuk produk tenusu sewaktu kehamilan dan pada fasa penyusuan.

“Hasil kajian antara lain menunjukkan hubungan positif di antara penggunaan susu atau produk tenusu dengan berat kelahiran bayi termasuk penurunan risiko kelahiran bayi,“ jelas pakar itu.

Berdasarkan Pengambilan Nutrien bagi rakyat Malaysia, wanita hamil yang berusia 13 hingga 19 tahun perlu mengambil 1,300 miligram (mg) kalsium, manakala wanita hamil yang berumur 20 hingga 49 tahun pula 1,000mg kalsium dalam sehari.

Gantikan dengan soya, sayuran atau ikan jika alah pada susu               

JIKA seseorang yang alah atau alergi dengan susu, adakah terdapat makanan lain yang boleh diganti, misalnya memilih untuk mengambil suplemen berbentuk pil atau cecair?

Iklan

Menjawab pertanyaan popular itu, Pegawai Dietetik, MSU Medical Centre, Norul Emyshahida A Majid berkata, pendekatan itu dibolehkan!

Norul Emyshahida.

“Namun demikian, pemilihannya (jenis) perlu diberi penekanan penting untuk mengelak berlakunya pengambilan (suplemen) berlebihan yang boleh memberi kesan sampingan kepada tubuh badan. Berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor sebelum membuat sebarang keputusan,“ nasihatnya.

Ujar Norul Emyshahida lagi, terdapat satu kaedah lain untuk mendapatkan kalsium daripada sumber minuman lain iaitu soya.

Selain kaya dengan sumber protein, soya juga membekalkan kalsium untuk tulang, antioksidan bagi mencegah penyakit kronik seperti jantung serta mengelak diabetes.

Pegawai perubatan itu menambah, susu juga boleh diperoleh daripada sumber-sumber makanan lain.

“Antaranya seperti sayuran berdaun hijau, kekacang, ikan yang mempunyai tulang lembut seperti sardin dan ikan bilis, tauhu dan tempe,“ tuturnya.

Ketika ditanya tentang individu yang sensitif dengan susu tepung, Norul Emyshahida berkata, hal itu berlaku disebabkan mereka mempunyai masalah intoleransi laktosa iaitu sistem penghadaman yang tidak dapat menghadam laktosa.

“Laktosa adalah sejenis karbohidrat semula jadi yang terdapat di dalam susu.  Proses penghadaman laktosa memerlukan sejenis enzim yang disebut enzim laktase. Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai masalah tersebut kebiasaannya tidak menghasilkan enzim laktase yang mencukupi,“ jelasnya.