RAMAI yang mengadu bila dapat ‘penyakit’ bintat berwarna kemerah-merahan ini yang lazim digelar ‘ludah jin’ akan menyebabkan gatal. Bukan biasa-biasa, gatalnya selalu digambarkan sebagai merenyam atau miang yang tak boleh dibawa bincang.

Apa sebenarnya punca ia berlaku pada kulit tubuh?

“Ini namanya URTICARIA RASHES. Allergic reaction. Ubatnya jumpa profesional kesihatan dan guna antihistamine. Jangan duk percaya ludah jin bagai sangat lah. Dah tahun 2020 Masih lagi percaya perkara tak betul.”

Itu kongsi laman page Facebook, PQ Community yang merupakan rakan pengguna yang seringkali berkongsi ilmu, informasi dan maklumat tentang produk kesihatan dan kosmetik yang selamat bersama masyarakat.

Hantaran PQ Community (PQ adalah singkatan daripada “Product Query”) dengan contoh gambar gejala URTICARIA RASHES berkenaan mendapat banyak perkongsian hingga kini.

Tanda alahan atau alergi

Hantaran Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang berkongsi tentang penyakit ini juga pernah tular:

PENYAKIT JILATAN JIN

Ruam seperti ini adalah tanda alahan atau alergi. Nama-nama yang biasa digunakan selain daripada jilat/ ludah jin adalah:
◾B. Melayu: Gegata, kelopak garam
◾B. Inggeris: Wheals, hives
◾Perubatan: Urticaria

Alahan adalah reaksi tubuh terhadap allergen, atau bahan alah yang merangsang tubuh menghasilkan histamine. Histamin inilah yang menghasilkan gejala-gejala alahan.

Gejala alahan yang lazim adalah urticaria, diikuti dengan semput, bengkak dan pengsan akibat tekanan darah rendah.

Urticaria selalunya ruam yang timbul dan leper (bintat), berwarna kemerah-merahan, dan gatal. Gatalnya selalu digambarkan sebagai merenyam atau miang, dan sedap bila digaru.

Jika alahan tidak serius, urticaria akan hilang sendiri dalam masa 24 jam, namun jika ragu-ragu anda digalakkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Rawatan urticaria:
◾Antihistamine (hilangkan gatal)
— Contoh: chlorpheniramine, cetirizine, loratadine
— Boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi

◾Losyen/krim (hilangkan kerengsaan)
— Contoh: calamine, pramoxine
— Boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi

◾Steroid pil atau suntikan (jika alahan teruk)
— Contoh: prednisolone, betamethasone
— Perlukan preskripsi doktor

Jika alahan kerap berulang dan alergen tidak dapat dikenalpasti, doktor mungkin merujuk anda kepada pakar kulit untuk ujian alergi untuk mengenal pasti punca alergi.

Mengenal pasti alergen bukan perkara mudah kerana setiap orang alah kepada benda berlainan, mungkin sesuatu yang dimakan, dihidu, bersentuh dengan kulit/mukosa, sengatan haiwan, sinaran matahari atau suhu sejuk.

Iklan

Doktor pakar akan cadangkan ubat sesuai dengan keadaan pesakit.

Walaupun urticaria ini digelar jilat/ ludah jin, ia bukan akibat perbuatan jin. Ia berlaku akibat kita terdedah kepada alergen. Mungkin kita kena ubah namanya kepada jilat/ ludah alergen.

Semoga bermanfaat!

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti Anda

Nota: gambar tangkap layar yang sedang viral ketika ini.

Petua orang dahulu

Perkongsian kaedah membantu mengurangkan penyakit ini dengan petua orang lama turut tular di media sosial dengan mendapat lebih 750 shares:

Iklan

LUDAH JIN

Orang tua-tua dahulu kata kena ludah jin sebab itulah kulit menjadi gatal serta bengkak di bahagian kulit dan ada juga orang kata penyakit sopak garam, di mana kulit sangat gatal dan semakin digaru semakin bengkak di bahagian kulit.
Jadi hari ini ingin saya kongsikan petua orang dahulu untuk merawat penyakit seperti ini.

Caranya mudah sahaja ambil akar kelapa dalam segenggam kemudian rebus akar kelapa itu untuk dibuat minum dan ambil sedikit air rebusan akar kelapa itu untuk membasuh tempat yang gatal itu, amalkan selama beberapa hari.

In Sha Allah penyakit gatal itu akan hilang malah rebusan akar kelapa itu juga boleh merawat segala penyakit yang bermasalah dengan gatal dengan cara yang sama, kecuali gatal nak kahwin saja akar kelapa itu tak boleh merawat.

Kredit: FB Ustaz Rosdi

Apa pun bacalah perkongsian doktor di atas. Sebaiknya dapatkan komen pengamal perubatan bertauliah sebelum membuat ‘rawatan’ sendiri ya. -AG