Ditemui tersangkut atas pokok dekat muara sungai, Hud Aryan meninggal dunia

KANAK-KANAK lelaki yang hilang sejak malam kelmarin akhirnya ditemui dalam keadaan yang memilukan sekaligus sekaligus menamatkan tanda tanya serta desas-desus mengenai keberadaannya.
Mayat kecil Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, ditemukan tersangkut di atas pokok di muara sungai dekat Kampung Kerila kira-kira jam 4.20 petang tadi.
Jasad kanak-kanak berusia 19 bulan itu dijumpai pada jarak tujuh kilometer dari kediamannya di Kampung Aira Kuala Tiga, Kelantan.
Penduduk kampung yang sejak awal bertungkus-lumus dan menaruh harapan tinggi agar Hud Aryan ditemui selamat kini hanya mampu menahan sebak.
Suasana pilu menyelubungi kampung apabila berita duka itu disampaikan, dengan ramai yang menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa.
Jurucakap bomba mengesahkan penemuan tragis itu, namun setakat ini, masih tiada maklumat lanjut mengenai kejadian yang meruntun hati ini.
Terdahulu, SinarPlus pernah melaporkan bahawa bapa kepada Hud Aryan tetap menaruh harapan agar anak tunggal kesayangannya kembali dalam keadaan selamat.
Sebagai seorang ayah, naluri hatinya kuat mengatakan bahawa anak lelakinya masih hidup.
Beliau yakin Hud Aryan berada di kawasan darat dan bukannya dekat sungai seperti yang disangka banyak pihak.
Keluarga mangsa pula tidak putus-putus mengerjakan solat hajat dengan memohon agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) membuahkan hasil yang menggembirakan mereka.
Ibunya, Azean Nur Atikah Ramley, turut meluahkan rasa hairan atas kehilangan anaknya yang berlaku dalam sekelip mata.
Menurutnya, Hud Aryan tiba-tiba lenyap dari pandangan sebaik sahaja beliau melangkah ke dapur selepas menyuapkan anak kecil itu makan malam.
Sebelum penemuan jasad kecil Hud Aryan, polis mengesahkan bahawa kehilangan kanak-kanak malang itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur jenayah.
Untuk rekod, Hud Aryan dilaporkan hilang pada Isnin sekitar jam 7.20 malam kelmarin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang