Jangan lupa follow kami di Instagram!

IBU mana yang tidak gusar apabila bayinya tidak sihat apatah lagi mengalami masalah kekuningan yang berpanjangan selepas dilahirkan.

Kalau ditanya nenek moyang kita, mereka pasti akan mencadangkan pelbagai teknik tradisional untuk mengatasinya.

Bukan nak cakap apa, kadangkala amalan yang dipraktikkan pelik-pelik belaka dan ada yang tak masuk dek akal.

Prihatin dengan situasi itu, Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan, Dr Ahmad Luqman Bukhari tampil berkongsi pandangannya.

Dr Ahmad Luqman.

“Saya faham, ibu-ibu di luar sana semua sayangkan anak dan tidak sanggup melihat bayi mengalami kekuningan (jaundice).

“Namun, jangan mudah terikut-terikut dengan amalan yang tidak berasas seperti merendam bayi dalam air cincau,” tulisnya di Facebook.

Mengakui terkejut dengan tindakan yang diambil itu, Dr Ahmad Luqman mengesahkan perilaku berkenaan bukan cara yang betul.

“Sebenarnya, bayi yang mengalami masalah kekuningan memang kerap terjadi kerana kebanyakannya adalah fisiologi biasa untuk bayi tersebut.

“Dalam badan kita, Tuhan sudah tetapkan masa untuk sel darah merah tamat tempoh lalu terurai dan sebahagiannya membentuk bilirubin.

“Bilirubin akan diproses pada hati sebelum dibuang keluar daripada badan melalui najis dan air kencing, ” katanya.

Jelas Dr Ahmad Luqman lagi, sebaik bayi lahir, organ hatinya baru hendak mula ‘dipanaskan’ .

Disebabkan itulah sebahagian bilirubin masih belum diproses dan terlalu banyak dalam darah.

“Akhirnya timbul pada kulit hingga nampak kuning,” tambah beliau.

Melalui entri Facebook yang sama, pegawai perubatan itu turut memberitahu, memang ada kajian yang menunjukkan 50 peratus bayi matang dan 80 peratus bayi pramatang boleh mendapat masalah kekuningan.

“Namun begitu, ia tidak bermakna kesemuanya perlukan rawatan.

Iklan

“Dalam kebanyakan kes, ia akan reda dalam masa dua minggu sahaja dengan pemantauan petugas kesihatan supaya rawatan yang tepat dapat diberikan segera apabila perlu,” katanya.

Kepada para ibu terutamanya, Dr Ahmad Luqman mengingatkan agar si comel selalu disusukan supaya bayi mereka kerap kencing dan berak.

Artikel berkiatan: Bayi jaundis bukan ‘demam’ kuning

“Gagal menyusukan bayi secukupnya hanya akan membuatkan tubuh mereka terhidrasi dan paras jaundice akan semakin menaik.

“Paling menakutkan apabila keadaan itu tidak dipantau. Kita mungkin tidak sedar paras bilirubin sudah meninggi dan akhirnya menyerang otak, boleh tercetus sawan atau alami cacat otak kekal,” ungkapnya.

Oleh itu, saran beliau, ibu-ibu haruslah tenangkan diri dan elakkan stres serta terus fokus susukan bayi dengan baik.

Iklan

Satu lagi, jangan terlalu terikut-ikut petua lama yang tak betul kaedahnya.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada para ibu di luar sana.

Foto: Sumber internet