Dunia dijangka lebih panas membara pada tahun 2028 daripada sekarang. Saintis suarakan kebimbangan

A
A
A

Dunia dijangka lebih panas membara pada tahun 2028 daripada sekarang. Saintis suarakan kebimbangan

GELOMBANGpanas yang seolah-olah mahu ‘membakar‘ alam semesta kini amat menakutkan.

BBCmelaporkan, seorang saintis meramalkan, suhu global akan terus meningkat menjadi lebih kerap dan berterusan sehingga keseluruhan pelepasan gas rumah hijau dihentikan.

Tempias El Nino telah ‘memarakkan‘ lagi suasana apabila berlaku kelewatan musim hujan yang umumnya terjadi pada bulan Jun setiap tahun.

Menurut Times, apabila puncak El Nino tercetus, anomali suhu permukaan laut akan menjadi 2 darjah Celcius lebih panas berdasarkan unjuran pada tahun 2024 hingga 2025.

Situasi itu sekali gus disifatkan kebanyakan penyelidik sebagai bahaya semula jadi yang paling mematikan dunia.

Malah, ahli kaji cuaca terkemuka, Maximiliano Herrara menerusi Twitternya berkata:

“Gelombang haba yang teruk dalam sejarah Asia.“

Satu kajian yang dilaksanakan di Dartmouth College, Hanover, New Hampshire, Amerika Syarikat baru-baru ini menganggarkan El Nino bakal merugikan ekonomi global hampir AS$4 trilion selama lima tahun berikutnya.

Menurut World Weather Attribution (WWA), suhu paling ekstrem kali terakhir berlaku adalah kira-kira 200 tahun lalu.

Baru-baru ini, APmelaporkan, negara-negara seperti India, Bangladesh, Thailand dan Laos pernah merekodkan suhu mencecah hingga 45 darjah Celcius.

Rekod haba di negara Gajah Putih itu dikatakan telah diburukkan lagi dengan kelembapan yang tinggi, ditambah sejumlah besar kebakaran hutan berlaku pada masa yang sama, kata WWA.

Berdasarkan India Today, atmosfera di India lebih dahsyat apabila sekurang-kurangnya 98 orang maut di Bihar dan Uttar Pradesh apabila wilayah itu terus ‘bergelora‘ di bawah gelombang haba yang melampau.

China, Indonesia, Singapura, Filipina, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun dan terkini, Korea Selatan turut mencatatkan suhu luar biasa.

Di Filipina misalnya, akibat cuaca panas ekstrem, sekitar 150 murid sekolah maut akibat strok haba.

Sementara di negara kita, lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan pernah mencatatkan 35 hingga 37 darjah Celcius pada pertengahan Mei lalu, setakat artikel ini ditulis.

Memetik artikel BBC Future berjudul The High Cost Of An El Nino 2023, pakar klimatologi memberi peringatan bahawa 90 peratus pola cuaca El Nino akan terus berlanjutan hingga akhir tahun ini dan pada awal bulan pertama tahun 2024.

Untuk mengupas fenomena itu lebih lanjut, SinarPlus mendapatkan pandangan lokal dengan menemubual Pakar Kesihatan Pekerjaan, Pantai Hospital Ampang, Dr Nurul Rahman Mohamad Zahari (gambar).

Secara asasnya, ujar Dr Nurul Rahman, El Nino merujuk kepada peningkatan suhu permukaan air di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik yang berlaku secara berkala. Tempoh masanya pula biasanya berlangsung selama beberapa bulan hingga setahun.

Berdasarkan rekod, Malaysia sudah melalui El Nino sebanyak 12 kali bermula tahun 1950-an dan paling teruk adalah pada tahun 2018. Justeru, ditanya adakah kemungkinan pada tahun ini ia dijangka lebih teruk?

Jawab beliau, setakat ini tiada maklumat yang menunjukkan fenomena berkenaan akan lebih kritikal daripada yang sebelumnya.

Pun demikian, kata Dr Nurul Rahman, kemungkinan jerebu dan kemarau berpanjangan mungkin terjadi.

“Bagaimanapun, kepastian tentang situasi ini bergantung kepada faktor-faktor cuaca dan persekitaran yang kompleks,“ jelasnya.

Picu masalah mental

Sudah pastinya, El Nino memberi dampak yang buruk kepada kesihatan. Hal itu diakui oleh Dr Nurul Rahman. Beritahu beliau, pemanasan global akan meluaskan jangkauan kepada banyak penyakit berjangkit.

Selain itu, kemungkinan sistem pernafasan seseorang terganggu, menderita sakit mata, sakit tekak, batuk, selesema, demam dan masalah dehidrasi.

“Individu yang sedang menderita penyakit kardiovaskular, asma dan radang paru-paru termasuk bayi, kanak-kanak serta warga emas akan lebih berisiko,“ ujarnya memberi pencerahan.

Kebarangkalian dan bukan sesuatu yang mustahil kekurangan bekalan makanan turut akan menghantui orang ramai, kata Dr Nurul Rahman.

Tidak hanya itu, ungkapnya, El Nino juga boleh memicu kepada kenaikan kes seperti denggi dan malaria, penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid serta penyakit saluran pernafasan.

Pandangan Dr Nurul Rahman selari dengan satu penulisan berjudul What Is El Nino? yang disiarkan oleh Wellcome, sebuah pertubuhan kebajikan global sejak tahun 1936.

Menurut sumber berkenaan, El Nino mewujudkan satu kondisi yang menggalakkan untuk ‘kemandirian‘ patogen dan vektor pembawa penyakit seperti nyamuk.

Buktinya, beberapa tahun kebelakangan ini, kes malaria menular di Venezuela dan Brazil, denggi bermaharajalela di Kepulauan Pasifik dan wabak taun 'meletus' di selatan India termasuk Bangladesh.

Sekitar tahun 2016, Paraguay pernah mengisytiharkan amaran kesihatan untuk penyakit bawaan nyamuk, denggi.

“Pada tahun sama juga, kebakaran hutan telah mengakibatkan 100,000 kematian, manakala dianggarkan 60 juta orang di seluruh Afrika, Asia, Pasifik dan Amerika Latin memerlukan bantuan makanan.

“Dengan sistem makanan yang sudah terdedah kepada cuaca ekstrem, kita mungkin akan melihat kadar kekurangan zat makanan yang lebih tinggi akibat kegagalan tanaman dunia,“ ujar Wellcome.

Sumber itu menambah, perubahan iklim berupaya mempengaruhi kesihatan mental seseorang yang menyaksikan pertambahan kadar bunuh diri dan kemasukan ke hospital akibat gangguan psikiatri.

Itu bukan omongan. Jurnal Geohealth yang diterbitkan pada 15 Mac lalu bertajuk Chronic Diseases Associated With Mortality in British Columbia, Canada During the 2021 Western North America Extreme Heat Event menyokong pandangan berkenaan.

Ketua Penyelidiknya, Michael Lee berkata, individu yang mengalami gangguan mental mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi berkaitan dengan haba.

“Mereka yang mempunyai sejarah skizofrenia hampir tiga kali lebih berkemungkinan mati.

“Semasa gelombang haba, suhu pada waktu malam akan meningkat menyebabkan pesakit tidak dapat tidur dengan baik. Apabila itu terjadi, boleh ‘menerbitkan‘ tekanan mental.

Kebanyakan kematian (tahun 2021) berlaku di rumah tanpa pendingin hawa yang mencukupi,“ kata beliau.

Namun, paling menyedihkan, betapa sensitifnya haba yang menerpa manusia memberi implikasi berbahaya kepada perkembangan janin.

“Bagi setiap peningkatan darjah Celsius, penyelidik mendapati peningkatan sebanyak 17 peratus dalam ketegangan janin (diukur dengan kadar denyutan jantung janin yang meningkat) dan mengurangkan aliran darah melalui tali pusat,“ kata Wellcome.

Mengulas mengenainya, Pengarah, Global Systems Institute, University of Exeter, England, Tim Lenton berkata, mana-mana wanita bukan sahaja boleh kehilangan kehamilan, malah fungsi otak juga berupaya terjejas.

BACA JUGA: Siap sedia, impak buruk El Nino di beberapa buah negara dikhuatiri berulang. Ada yang tak disangka-sangka

BACA JUGA: 3 kaedah halau ular daripada masuk rumah yang bermaharajalela ketika musim panas. Guna bahan dalam rumah jer

Makin parah

Dalam keadaan cuaca sebegini, adakah segala aktiviti luar terutama bersukan memang langsung tidak digalakkan?

Dr Nurul Rahman yang memberi respons kepada soalan tersebut mengiakan pertanyaan itu.

Kata beliau, aktiviti luar terutamanya bersukan boleh meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan dan krisis kesihatan lain.

Seseorang sangat digalakkan sentiasa berada di tempat sejuk dan minum air yang mencukupi.

Beliau kemudian menyenaraikan langkah kewaspadaan yang perlu dilakukan masyarakat untuk mengelak bahaya El Nino lebih-lebih lagi kalau ia terjadi dalam jangka masa lama.

Antaranya:

-Sentiasa mengikuti perkembangan ramalan cuaca dan arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

-Menjaga kecukupan bekalan air minum dan memastikan penyediaan bekalan makanan yang mencukupi.

-Mengurangkan aktiviti luar pada waktu paling panas dan mengelak terdedah kepada cuaca terik secara berlebihan.

-Memakai pakaian yang sesuai dan melindungi diri daripada pancaran sinar ultraviolet.

-Mengamalkan penjagaan kesihatan yang baik, termasuk memastikan hidrasi yang mencukupi dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, terdapat beberapa mitos yang berlegar tentang gelombang haba yang sedang ‘menggila‘ sekarang seperti yang disebut oleh Health Digest, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur. Antaranya seperti:

-Elakkan daripada minum air yang sangat sejuk semasa panas, terutamanya apabila suhu mencapai 40 darjah Celcius. Ini kerana saluran darah kecil mungkin pecah.

-Mandi air sejuk serta-merta ketika berpeluh boleh menyebabkan seseorang pengsan secara tiba-tiba.

-Tunggu lebih kurang 30 minit sebelum mandi atau menyejukkan badan.

Bagaimanapun, semua kenyataan yang disebutkan itu tidak disokong oleh sumber atau rujukan yang boleh dipercayai.

“Selain itu, berlaku kekurangan kajian yang betul atau bukti saintifik untuk mengesahkannya,“ kata Health Digest.

Sebelum menutup topik ini, SinarPlus ingin membangkitkan kekhuatiran yang dilaungkan oleh penyelidik dari University of Exeter, Lenton tentang pertambahan emisi karbon yang boleh memacu suhu global yang lebih tinggi.

Setiap peningkatan 0,1 darjah Celsius sangat penting. Setiap pemanasan (0,1 darjah Celsius) yang dapat dihindari dapat menyelamatkan 140 juta orang daripada kepanasan yang belum pernah terjadi sebelumnya,“ katanya.

Terdapat berita yang kurang menarik lagi untuk didengari. Menurut WWA, dalam tempoh lima tahun atau lebih tepat lagi pada tahun 2028, suhu panas akan terus mengintai dunia.

Malah, terdapat dua dalam tiga peluang bahawa tahun itu (2028) akan melepasi ambang pemanasan global 1.5 darjah Celsius buat kali pertama. Ini sudah tentu membimbangkan,“ kata mereka.

El Nino tingkatkan risiko krisis jerebu Asia Tenggara, paling teruk dalam tempoh 5 tahun

SINGAPURA, Indonesia dan Malaysia mungkin menghadapi jerebu paling teruk dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun berikutan kemungkinan El Nino kuat yang membawa kepada cuaca lebih panas dan kering, menurut laporan baharu.

South China Morning Post melaporkan, Singapore Institute of International Affairs telah memberi penarafan 'merah' dalam Tinjauan Jerebu 2023 yang dikeluarkan pada hari Rabu minggu lalu.

Berdasarkan rekod, nilai itu yang tertinggi dan kali pertama kod merah diberikan sejak badan pemikir bebas itu mula mengeluarkan laporan tahunan lima tahun lalu.

Pengerusi Singapore Institute of International Affairs, Simon Tay berkata, pada tiga tahun lepas, langit di seluruh ASEAN kekal bebas tanpa jerebu.

"Bagaimanapun, terdapat risiko sebenar pada tahun hadapan bahawa keadaan akan berubah, dan menjadi lebih teruk," katanya.

Kali terakhir Asia Tenggara mengalami jerebu merentas sempadan dalam klasifikasi teruk adalah pada tahun 2015.

El Nino biasanya mengakibatkan kekurangan hujan di Asia Tenggara dan boleh memburukkan lagi penyebaran api semula jadi atau buatan manusia yang sering digunakan untuk membersihkan tanah untuk penanaman kelapa sawit dan getah di Indonesia termasuk Malaysia.

Kesan corak cuaca juga boleh mencetuskan lagi peningkatan kebakaran hutan yang didorong oleh perubahan iklim dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Hal yang sama turut berlaku di Australia, Sepanyol dan Kanada.

Dalam pada itu, US National Ocean and Atmospheric Administration meramalkan 84 peratus keberangkalian jerebu boleh melanda dan 25 peratus kemungkinan Super El Nino akan melanda dunia.

BACA JUGA: Mula simpan air, El Nino kuat dijangka Mei hingga Julai ini. 7 perkara wajib semua ambil tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca