MALAYSIA akan memasuki fasa  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula Isnin ini. Namun begitu, masih ramai yang bimbang mengenai kemungkinan wabak Covid-19 akan terus menular.

Perkara tersebut secara tidak langsung pastinya menyebabkan ramai pemilik kenderaan akan lebih jarang memandu daripada kebiasaannya.

Buat golongan yang bekerja dari rumah dek PKP, sudah tentu jarang keluar dari kediaman. Barangkali sedikit sebanyak terlupa memantau kondisi kenderaan masing-masing.

Pada awalnya, mungkin tidak menjadi isu besar dan tidak pernah sesekali terlintas di fikiran akan berlaku perkara buruk. Namun, siapa sangka akan terjadi sebaliknya.

Sedar tak sedar, kenderaan yang jarang bergerak dalam suatu tempoh akhirnya boleh mengundang masalah teknikal. Justeru, ambillah sedikit masa untuk menjenguk kenderaan kita.

Titik beratkan faktor keselamatan kerana kita akan kerap menggunakan kemudahan itu apabila bekerja semula nanti. Biarpun jarang digunakan sekarang, pastikan kenderaan kita sentiasa dalam keadaan baik.

Berikut adalah saranan penting oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang perlu diberi perhatian sepanjang tempoh PKP:

1. Parkir di tempat selamat

Penting sekali, perlu diingatkan agar meletakkan kenderaan di lokasi yang selamat dan tidak berisiko tinggi mengalami masalah.

Saranan berkenaan lazimnya merujuk kepada pemilik kenderaan yang tinggal sama ada di rumah flat atau pangsapuri yang tidak menyediakan parkir khas.

Pastikan kenderaan diparkir di kawasan yang teduh dan rata bagi mengelakkan sebarang masalah.

Jangan pula meletakkan kereta secara ‘double park’ bersebelahan dengan kenderaan lain. Ia akan menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi jika berlaku kecemasan.

2. Kunci kenderaan, hidupkan penggera

Seperti sedia maklum, dalam tempoh fasa pergerakan terhad ini, kebanyakan kita akan menghabiskan masa di rumah.

Sungguhpun demikian, terdapat juga risiko berlaku kecurian jika memandang mudah aspek keselamatan kenderaan.

Ingat, jangan sesekali membuka peluang kepada mereka yang hanya mahu mengambil ‘kesempatan dalam kesempitan’ akibat keadaan yang sedang berlaku sekarang.

Jadi, sentiasalah peka dengan keberadaan kereta kita. Pastikannya berkunci dan hidupkan penggera. Ya, bukan mudah untuk memiliki sebuah kereta, bukan?

3. Panaskan enjin kenderaan

Semasa musim PKP ini, curilah sedikit masa untuk memberi ruang kepada pemeriksaan dan pemantauan kenderaan. Panaskan enjin kenderaan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari sekali.

Hal itu secara tidak langsung dapat mengelak daripada berlakunya masalah bateri, brek dan beberapa komponen penting kenderaan akibat sudah lama tidak bergerak.

Paling utama adalah bagi mengelak bateri kereta hilang akibat dicuri. Sekiranya itu berlaku sudah tentulah akan menyebabkan kenderaan tidak dapat dihidupkan.

Iklan

4. Parkir motosikal secara ‘double stand’

Tidak lupa kepada pemilik motosikal, panduan penting yang boleh dipraktikkan adalah parkir secara tongkat dua. Ia perlu dilakukan lebih-lebih lagi apabila motosikal sudah lama tidak digunakan.

Parkir dengan cara berkenaan akan mengelak berlaku masalah pada tayar seperti pancit dan mudah rosak.

5. Jangan tinggalkan barang, alat sensitif

Dalam pada itu, jangan sesekali meninggalkan barang atau alat elektronik sensitif di dalam kenderaan. Faktor cuaca boleh menyebabkan letupan atau kebakaran di dalam kereta.

Ia berisiko terutamanya kepada pemilik kereta yang meletak kenderaan di lokasi terbuka dan panas. Secara tidak langsung boleh mengundang musibah.

Antara barangan sensitif yang tidak boleh ditinggalkan di dalam kabin kereta ialah pengecas telefon bimbit (powerbank), pemetik api dan pewangi beralkohol.

Iklan

6. Waspada barang berharga

Akhir sekali, pastikan juga barangan berharga tidak ditinggalkan di dalam kenderaan.

Komputer riba atau beg duit misalnya adalah antara barangan berharga yang berisiko tinggi untuk dicuri. Pastikan keselamatan kenderaan sentiasa terjamin bagi menghindari insiden kereta dipecah masuk.

Usahakan supaya keselamatan kenderaan berada dalam keadaan semaksimum mungkin bagi menjauhi  sebarang ancaman.

Jenguklah keadaan kenderaan masing-masing sebagai salah satu aktiviti ringan semasa fasa berpuasa ini.