Epidural punca utama kaum ibu alami sakit belakang? Ini penjelasan pakar fisioterapi mengenai keadaan itu
BOLEH dikatakan majoriti wanita yang hamil pasti pernah mengalami sakit belakang terutamanya pada bahagian pinggang dan juga pinggul.
Masalah itu biasanya akan mengganggu aktiviti harian termasuklah 'meragut' keselesaan ketika tidur pada waktu malam.
Menurut laman web spine-health.com, dianggarkan seramai 50 hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan wanita akan mengalami sakit belakang apabila hamil.
Portal yang sama turut menyatakan, sakit belakang dan ketidakselesaan pelvis biasanya bermula antara bulan kelima hingga ketujuh ketika hamil.
Sebilangan kecil wanita mungkin mengalami kesakitan seawal empat hingga 16 minggu.
Menghuraikan lebih lanjut mengenai masalah itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pakar Fisioterapi Physiomobile, Nurul Farahena Edora Jeffry.
Tulisnya di Facebook, masalah sakit belakang terutama pada bahagian yang mendapat suntikan epidural sering menyebabkan ramai tertanya-tanya adakah ia penyebab sebenar dalam kalangan ibu-ibu hamil.
"Untuk pengetahuan semua para ibu yang dikasihi, proses kehamilan itu sendiri melibatkan perubahan hormon yang secara tidak langsungnya memberi kesan melembutkan struktur sokongan saluran kelahiran.
"Contohnya seperti ligamen-ligamen tulang pinggul dan tulang belakang," ujar Nurul Farahena.
Jadi, katanya lagi, ibu-ibu di luar sana kena tahu bahawa kesan daripada 'pelembutan' struktur-struktur ligamen itulah yang membuatkan para ibu juga berisiko tinggi untuk mendapat masalah slipped disc.
Namun, ada yang mengatakan epidural penyebab kepada masalah sakit belakang yang berterusan. Apakah ia benar?
Kongsinya, epidural adalah salah satu alternatif penahan sakit semasa bersalin.
Antara artis yang telah menggunakannya termasuklah Rozita Che Wan dan Scha Al-Yahya.
"Sebenarnya, sakit belakang bukanlah penyakit yang jarang terjadi, malah terlalu ramai orang ada masalah sakit belakang.
"Tidak kira jantina dan tidak kira ibu hamil tersebut pernah mendapat epidural atau sebaliknya," ulasnya.
Apa yang pasti, maklum beliau, terima epidural ataupun tidak, wanita mengandung pasti akan mengalami sakit belakang.
"Jadi, ia adalah normal. Namun demikian, jika rasa sakit pada belakang dan pinggul terlalu kuat dan masih tidak berkurangan walaupun sudah berehat, seeloknya lakukanlah pemeriksaan dan dapatkanlah rawatan dengan pakar yang bertauliah," pesannya.
ANEKDOT
CARA-CARA untuk melegakan rasa sakit pada tulang belakang dan pinggul:
1. Senaman.
Lakukan beberapa senaman regangan untuk bahagian belakang, pinggang dan pinggul bagi mengurangkan tekanan pada otot dan tulang belakang, sekali gus membantu dalam memberikan kelegaan bagi masalah yang dialami.
2. Urutan.
Ambil masa untuk berehat dan urut pada bahagian yang sakit dan tidak selesa secara lembut dan perlahan-perlahan agar dapat membantu meningkatkan peredaran darah pada bahagian yang sakit serta mengurangkan rasa tegang pada bahagian otot.
3. Posisi tidur yang betul.
Jika tidur dalam keadaan mengiring, letakkan bantal lembut pada kaki dan di sisi bawah perut. Ia berfungsi untuk menyokong tubuh dan memberi keselesaan.
4. Tuam.
Gunakan pek panas (hot pack) dan tuam pada bahagian yang tidak selesa seperti belakang, pinggang atau pinggul selama 15 minit. Ia membantu memberikan kelegaan dan meningkatkan peredaran darah.
5. Menggunakan maternity belt.
Maternity belt membantu dalam menyokong tulang belakang dan memberikan postur tubuh yang lebih baik dan mengurangkan rasa sakit pada belakang dan pinggul.
6. Pemakaian kasut yang sesuai.
Elakkan daripada memakai kasut yang bertumit tinggi dan tidak selesa kerana ia akan mengurangkan sokongan terhadap pusat graviti dan mengganggu postur tubuh.
Baca juga Postur badan ketika tidur pun penting untuk tulang, elak terkena skoliosis
7. Rehat secukupnya.
Dapatkan rehat yang cukup dan elakkan daripada stres yang melampau, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang.
Sumber: ifixphysiotherapy.com.my.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang