Relevan ke fesyen haute couture digayakan pada hari biasa? Ini jawapan pereka label Syafieq Ayman

A
A
A

”ADAKAH relevan menggayakan fesyen adibusana atau dikenali juga sebagai haute couture dalam kehidupan harian?

Penampilan tak nampak pelik?” Mungkin segelintir wanita pernah mempersoalkan pendekatan menyarungkan busana konsep tersebut tatkala bersantai sambil menikmati secawan latte di kafe ataupun keluar membeli-belah bersama teman.

Masakan tidak, rekaannya yang ekstravaganza dari segi potongan dan penggunaan material tertentu menyuntik kegusaran dalam kalangan kaum Hawa untuk menjadikan adibusana sebagai pilihan utama.

Rata-ratanya menyifatkan fesyen sedemikian hanya ideal untuk pertunjukan fesyen atau membaluti tubuh ketika menghadiri majlis berprestij.

Justeru, enggan membiarkan wanita

kekal dibelenggu persepsi sebegitu, jenama Syafieq Ayman mengambil inisiatif menawarkan koleksi fesyen adibusana yang boleh digayakan pada bila-bila masa.

Usaha duo pereka, Mohd Syafiq Suhail Aminuddin dan Fikri Zuakira Zulkifly nampaknya berhasil apabila busana karya mereka ideal dipakai tanpa perlu menunggu acara formal.

Lihat sahaja penampilan pelakon jelita, Rozita Che Wan pada sambutan ulang tahun anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana yang kelima, tahun lalu.

Selebriti berusia 47 tahun itu kelihatan comel dalam persalinan baju-T nuansa hitam yang

dipadankan bersama skirt kembang mewah ala tutu rekaan Syafieq Ayman.

fesyen rozita che wanChe Ta tampak comel menggayakan skirt ala tutu rekaan Syafieq Ayman.

Selain Che Ta, pelakon dan usahawan Rabecca Nur Al-Islam juga membuktikan blaus warna kuning lembut jenama terbabit sesuai

dipakai pada hari-hari biasa.

Syafieq Ayman telah menerapkan elemen adibusana pada bahagian dada dan lengan serta potongan belakang yang kembang ala ekor ikan. Blaus polos itu tampak kasual apabila disuai padan bersama celana putih dan kasut tumit tinggi.

Menurut Syafieq, konsep adibusana menjadi signatur pilihan kerana nilai eksklusifnya tersendiri yang mana setiap rekaan dihasilkan dalam sehelai busana sahaja.

”Ini bermakna anda sukar melihat pelanggan label Syafieq Ayman memakai pakaian yang sama memandangkan kami tidak menghasilkannya secara pukal. Pendek kata,

satu karya hanya khas buat seorang pelanggan.

”Ironinya, selain kreativiti, keunikan konsep haute couture juga terletak pada elemen kemewahan, kualiti, perincian dan kemasan termasuk melibatkan pemilihan palet warna dan jenis potongan supaya lakaran di helaian kertas putih diterjemahkan dengan sempurna demi keselesaan si pemakai,” ujar jejaka berusia 33 tahun itu ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai keistimewaan konsep berkenaan, Syafieq memberitahu, pilihan material juga dititikberatkan mengikut kesesuaian rekaan dan potongan.

pereka syafieq ayman

”Kami lebih cenderung memilih fabrik yang rough kerana ia membuatkan sesuatu rekaan itu tampak lebih tajam dan ‘hidup‘.

Antaranya kain tweed, broked, neoprene atau lebih dikenali kain skuba dan kain tulle (jenis net).

”Dari segi permainan rona material pula adalah bergantung pada warna kulit pelanggan. Pun begitu, kami akan memastikan nuansa busana yang digayakan membantu menyerlahkan pesona wanita bukannya tenggelam dek baju terbabit.

”Dua elemen ini seimbang,” ujar Syafieq yang pernah mengambil kursus fesyen di Central Saint Martin, London.

Pereka kelahiran Perlis itu menambah, pakaian fesyen adibusana juga sesuai untuk mengisi gerobok para hijabi moden, asalkan sopan dan menutup aurat.

”Nasihat saya, jangan gusar untuk menggayakan helaian haute couture. Pilih rekaan dan potongan yang bersesuaian dengan lokasi atau majlis dihadiri.

”Paling penting, pastikan busana itu selesa dipakai dalam tempoh lama. Kadangkala, cantik tidak semestinya selesa,” saran beliau sebelum menamatkan bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca